Wednesday, September 29, 2010

Perhalusi Dasar Pembayaran PTPTN Melalui Pemotongan Gaji

KUALA LUMPUR: Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) meminta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mempertimbangkan semula dasar pembayaran pinjaman PTPTN melalui potongan gaji agar ia dibuat mengikut kemampuan kewangan peminjam.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata pelaksaaan dasar yang dibuat secara mengejut ini sedikit sebanyak membebankan golongan siswazah.

"Dasar yang dibuat ini tidak seharusnya memukul rata seluruh siswazah dengan mewajibkan kepada semua dengan kadar yang sama memandangkan setiap siswazah mempunyai latar belakang kewangan dan gaji berbeza," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan seharusnya menetapkan kadar gaji minimum yang layak untuk dipotong terlebih dahulu sebelum potongan dibuat.

"Permotongan perlu dibuat berdasarkan kedudukan kewangan terutamanya mereka yang berasal daripada keluarga susah, keadaan ini akan merumitkan peminjam memandangkan mereka tergolong dalam berpendapatan di bawah paras minimum.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sebelum ini pemotongan gaji dijangka dilaksanakan pada 2013.

Muhammad Faisal berkata PKPIM bersetuju dengan dasar baru tersebut tetapi berharap PTPTN bersedia untuk menghapuskan sebarang bentuk caj termasuk caj perkhidmatan pada kadar satu peratus.

"Ini kerana terdapat siswazah yang terbeban membuat pembayaran ansuran bulanan hanya untuk membayar caj bunga tanpa mengurangkan walau sedikitpun jumlah hutang sebenar," katanya.

Beliau berkata PTPTN harus memberi penerangan yang jelas kepada peminjam bagi mengelakkan sebarang salah faham antara peminjam dan PTPTN.- BERNAMA

Petikan: MStar Online

Monday, September 27, 2010

Kursus Kemahiran Pelajar Gagal SPM

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu akan menyediakan kursus kemahiran kepada semua pelajar yang gagal dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, kerajaan negeri akan menanggung segala perbelanjaan pelajar berkenaan untuk mengikuti kursus kemahiran tersebut.

"Kita mahu semua pelajar yang gagal dalam SPM memiliki kemahiran agar dapat membantu keluarga mereka keluar dari kepompong kemiskinan," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Ekspo Pendidikan Terengganu 2010, di sini, hari ini.

Katanya, pelajar lepasan SPM akan diberi peluang mengikuti kursus kemahiran di pusat latihan di bawah kerajaan negeri dan mereka yang terpilih mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan diberi pengecualian.

Menurutnya lebih 25,000 pelajar akan menduduki peperiksaan SPM di negeri itu pada tahun ini dan hampir 4,000 daripada mereka dijangka gagal berdasarkan keputusan percubaan baru-baru ini. - Bernama

Petikan: Kosmo Online, 27 September 2010.

SchoolNet Diperluas ke Johor

Infrastruktur fiber optik beri pelajar, guru pengalaman gaya hidup digital

KELMARIN adalah hari bersejarah bagi Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Pasir di Muar, Johor kerana dilawati Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran. Sekolah itu adalah satu-satunya sekolah di bawah projek SchoolNet yang dilengkapi infrastruktur fiber optik, di luar Lembah Klang.

Infrastruktur fiber optik itu membuka satu ‘lebuh raya jalur lebar’ yang menyediakan sekolah berkenaan dengan sambungan jalur lebar pada kelajuan 10Mbps. Infrastruktur fiber berkeupayaan menampung kelajuan yang lebih tinggi pada bila-bila masa bagi memberikan akses internet pantas untuk aplikasi yang memerlukan jalur lebar tinggi dan pemindahan data serta sidang video. Buat masa ini, infrastruktur itu dilaksanakan di lima sekolah di Cyberjaya, 20 sekolah di Putrajaya dan sebuah sekolah di Muar.

Ketika lawatannya, Muhyiddin diberikan taklimat dan pembentangan mengenai pelaksanaan infrastruktur fiber ke sekolah di bawah projek SchoolNet yang boleh memberi manfaat bukan saja kepada sekolah, malah kepada masyarakat setempat. Beliau juga dimaklumkan mengenai pelan penambahbaikan prasarana ICT di sekolah seluruh negara secara keseluruhan.

Infrastruktur fiber akan memberikan pelajar dan guru pengalaman gaya hidup digital bagi membolehkan mereka menikmati pengalaman pembelajaran dan pengajaran di sekolah yang dipertingkatkan setiap masa dalam apa jua bentuk, berinteraksi secara maya dengan sesiapa saja, walau di mana mereka berada pada bila-bila masa dan memanfaatkan internet sepenuhnya.

Sambungan jalur lebar juga merintis kemungkinan untuk masyarakat berhubung, berkomunikasi dan berkolaborasi dengan seluruh dunia.

Selaku pembekal infrastruktur jalur lebar yang terbabit dalam projek itu, TM mempamerkan aplikasi pengajaran dan pembelajaran menggunakan jalur lebar berkelajuan 10Mbps seperti podcasting, sidang video dengan Sekolah Seri Puteri dan Portal SchoolZone. Pengurusan LAN turut dipamerkan bagi menguruskan infra struktur dan prasarana ICT di sekolah berkenaan.

SchoolNet yang dibangunkan pada 2004 dengan sasaran melengkapkan sehingga 10,000 sekolah di negara ini dengan akses internet jalur lebar itu adalah antara usaha memenuhi aspirasi kerajaan bagi mewujudkan sistem pendidikan bertaraf dunia dan melahirkan masyarakat berasaskan pengetahuan.

SchoolNet adalah rangkaian persendirian maya yang menyediakan sambungan internet jalur lebar ke sekolah dan ia adalah pendekatan terbaru sistem pendidikan negara bagi menyediakan kemudahan pembelajaran melangkaui bilik darjah.

Idea projek SchoolNet itu dicetuskan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi serta Kementerian Pelajaran. Susulan itu, GITN Sdn Bhd (GITN), anak syarikat Telekom Malaysia Berhad (TM) menawarkan pelbagai infrastruktur, perkakasan dan perisian kepada agensi kerajaan, diberi tanggungjawab sebagai pengurus projek bagi melaksanakan SchoolNet menerusi Rangkaian Persendirian Maya Internet (IPVPN).

GITN menawarkan infrastruktur melalui tiga jenis teknologi iaitu teknologi Talian Pelanggan Digital Asimetrik (ADSL), tanpa wayar dan Satelit Terminal Kecil (VSAT), yang menyediakan sambungan jalur lebar pada kelajuan sehingga 4Mbps.

SchoolNet menawarkan pelbagai aplikasi kepada penggunanya, termasuk aplikasi komunikasi elektronik seperti e-mel dan kumpulan berita, aplikasi akses jarak jauh, aplikasi pemindahan dokumen, aplikasi pengedaran maklumat dan aplikasi pencarian maklumat.

Melalui SchoolNet, pelajar di seluruh negara akan mendapat faedah daripada akses jalur lebar dan aplikasi internet. SchoolNet mewujudkan satu persekitaran pembelajaran lebih dinamik yang memberikan akses pantas kepada maklumat pendidikan online serta komunikasi interaktif.

Pelaksanaan SchoolNet ini mampu meningkatkan perkongsian ilmu dengan mengoptimumkan tenaga pengajar pakar di negara ini. Melalui teknologi ini, seorang guru pakar mampu mengajar sesuatu mata pelajaran melebihi daripada satu kelas di sekolah yang sama dan sekolah lain.

Selain itu, guru di sekolah SchoolNet boleh memanfaatkan infrastruktur berkenaan bagi mengubah bilik darjah mereka menjadi persekitaran menarik justeru dapat menambah minat pelajar terhadap pendidikan.

Bagi menjadikannya lebih menarik, portal web untuk SchoolNet yang dikenali sebagai SchoolZone, diperkenalkan pada 2008 bertujuan menjadi portal sehenti untuk komuniti sekolah berkenaan. Di portal web itu, pelajar dan guru boleh mendapatkan maklumat mengenai sekolah lain dan SchoolNet, berkongsi maklumat mengenai sekolah masing-masing dan berkomunikasi antara satu sama lain serta mengoptimumkan peranan guru berkemahiran di negara ini.

Dengan teknologi ini, seorang guru yang berkemahiran boleh mengajar sesuatu subjek kepada bilangan bilik darjah lebih banyak di sekolah sama dan sekolah lain. Portal SchoolZone untuk SchoolNet ini membolehkan guru berkongsi modul pembelajaran dan pengajaran interaktif sesama mereka.

Selain itu, komuniti sekolah juga boleh menggunakan portal itu untuk berkomunikasi dengan komuniti dari sekolah lain dalam lingkungan komuniti SchoolZone itu. Fasilitator SchoolZone akan melatih guru IT di sekolah berkenaan untuk memanfaatkan sepenuhnya portal SchoolZone itu.

Bagi memastikan SchoolNet dimanfaatkan sepenuhnya, pada Januari 2008, satu program sekolah angkat dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dilaksanakan dan dikenali sebagai Teknologi Pembelajaran Dalam Sekolah GITN (GTL Schools).

Program GTL membabitkan 50 sekolah di seluruh negara, kebanyakannya di pedalaman dan luar bandar. Sekolah ini dipilih berdasarkan kadar penggunaan SchoolNet yang rendah.

Justeru melalui program ini, diharapkan sekolah berkenaan akan menggunakan sepenuhnya prasarana SchoolNet untuk penambahbaikan proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah masing-masing.

Bagi tujuan ini, sudut IT diwujudkan di makmal komputer sekolah terpilih, termasuklah menaikkan taraf komputer dan menyediakan lima komputer baru, kamera digital dan kamera Web/Headset kepada sekolah terbabit.

Petikan: Berita Harian Online, 27 September 2010.

Sunday, September 26, 2010

Guru Sudah Jadi Kerani

BESARNYA cabaran dan tanggungjawab dipikul guru masa kini menimbulkan pertikaian di kalangan masyarakat adakah golongan itu mampu melaksanakan amanah dengan sempurna.

Lebih menyedihkan, golongan itu turut menjadi sasaran kecaman masyarakat jika gagal melahirkan pelajar cemerlang akademik dan sahsiah diri menyebabkan guru semakin terdesak serta tertekan.Apakah benar peranan guru sebagai sumber pemangkin ilmu semakin terhakis sebaliknya menjadi golongan itu diperkotak katikkan hingga mereka dalam dilema. Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia Cawangan Kedah, Anuar Husin, berkata golongan guru hari ini bukan sekadar memegang tanggungjawab sebagai pendidik malah anggota masyarakat secara keseluruhan.

Menurutnya, cabaran utama bukan lagi menyalurkan ilmu kepada pelajar sebaliknya turut mendidik masyarakat melalui peranan di luar waktu persekolahan sekali gus memberi bebanan dalam melaksanakan tumpuan dan tanggungjawab sebenar.

"Dalam perguruan, tugas hakiki adalah mengajar, malangnya guru masa kini dilambakkan dengan pelbagai tanggungjawab sukar dan mencabar. Mereka bukan sekadar guru tapi turut mendidik masyarakat secara keseluruhan.

"Malangnya masyarakat bersikap sambil lewa dan enggan bersama memikul tanggungjawab mendidik menyebabkan mereka semakin tertekan. Guru juga dihimpunkan pelbagai tugasan tidak sepatutnya seperti perkeranian.

"Justeru, bagaimana mahu menumpukan perhatian pada tugasan? Masyarakat hanya tahu memberi tekanan tapi enggan membantu," katanya.

Bukan isu baru guru terpaksa memikul pelbagai tanggungjawab remeh yang menuntut pengorbanan masa, antaranya mengurus dan mengemaskini sistem maklumat pelajar (Emis), sistem salah laku, pendaftaran, yuran, mengurus kumpulan wang amanah pelajar miskin (KWAPM), rancangan makanan dan susu tambahan.

Memburukkan keadaan, mereka terpaksa berhempas pulas menghabiskan sukatan pengajaran kerana dihantar berkursus selain pembelajaran tergendala.

Mengulasnya, Anuar berkata waktu persekolahan padat serta pelbagai perancangan dibuat menjadikan waktu guru semakin terhad hingga menyukarkan proses pembelajaran berjalan lancar.

"Sungguhpun tugasan sampingan tidak sukar, banyak waktu terbuang. Guru sering merungut kerana terlalu terikat dengan pelbagai tuntutan menyebabkan proses pembelajaran tergendala.


"Ia bukan remeh dan perlu diberi perhatian kerana bersangkut paut pencapaian pelajar masa depan. Guru sentiasa dipersalahkan jika pelajar gagal.

"Masyarakat pula mahukan kecemerlangan tapi enggan memahami. Apabila guru gagal menyempurnakannya, bukankah akan menimbulkan konflik? "Tindakan segera perlu diambil kerana bimbang akan menjejaskan mutu pendidikan keseluruhannya," katanya sambil meminta pihak berkenaan mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasi kemelut itu.

Ditanya adakah rungutan itu disebabkan guru sudah lama dalam zon selesa, beliau berkata golongan itu boleh menerima perubahan namun perlu ada batasan dan mekanisme tertentu bagi menanganinya.

"Guru boleh menerima perubahan malah sedar tanggungjawab dipikul semakin berat tapi perlu ada tolak ansur. Mereka juga ada tanggungjawab lain perlu dipenuhi seperti keluarga.

"Masyarakat juga harus memberi sokongan dan bersama menggembleng tanggungjawab. Jangan lepaskan sepenuhnya pada guru kerana tidak adil," katanya.

Bagi mengatasi kemelut itu, beliau mencadangkan penyusunan semula tugas pekeranian sedia ada hingga tidak mengganggu tugas hakiki guru selain menambah lagi pembantu guru bertaraf kerani.

Bilangan pelajar turut perlu dikurangkan supaya guru tidak terbeban dalam mengemaskini data peribadi selain menerapkan peranan alumni untuk memberi pembelajaran berbeza berdasarkan pengalaman pekerjaan.

"Konflik perlu diatasi secara berhemah supaya semua pihak mendapat manfaatnya. Penyelesaian bukan sekadar jangka pendek tapi berpanjangan demi kebaikan generasi seterusnya.

"Menjadi guru bukan mudah namun kerjaya itu sangat mulia, perlu berlapang dada menerima apa jua cabaran manakala masyarakat juga jangan bersikap lepas tangan.

"Proses penjanaan ilmu tidak akan terhenti, justeru pelbagai pihak perlu mencari penyelesaian supaya konflik sedia ada dapat diatasi," katanya.

Petikan: myMetro, 26 September 2010

CUEPACS Yakin Kerajaan Beri Bonus

KUALA LUMPUR 25 Sept. - Kongres Kesatuan Pekerja Dalam perkhidmatan Awam (CUEPACS) yakin kerajaan akan mempertimbangkan permintaan rakyat untuk mendapatkan bonus pada input belanjawan 2011 nanti.

Presidennya, Omar Osman berkata, pihaknya berharap kerajaan akan terus membantu dan mempertimbangkan permintaan tersebut untuk kesenangan dan kesejahteraan rakyat.

Beliau turut memberitahu, pihaknya sudah membuat permohonan rasmi kepada kerajaan dengan menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak beberapa bulan lalu memohon bonus dua bulan gaji untuk kakitangan awam dan pesara tahun ini.

"Dengan keadaan ekonomi yang menunjukkan peningkatan sekarang ini, kerajaan seharusnya mempertimbangkan permintaan tersebut dan jika tidak boleh diberikan bonus dua bulan gaji, CUEPACS berharap kerajaan mempertimbangkan pemberian sekurang-kurangnya sebulan gaji.

"Kakitangan awam merupakan tunjang kepada pembangunan negara, dengan itu saya harap tiada pihak yang mempertikaikan dan menafikan tuntutan pemberian bonus kepada penjawat awam," katanya ketika dihubungi di sini semalami.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai keyakinan CUEPACS mengenai saranan pembaca blog 1Malaysia Perdana Menteri untuk input Belanjawan 2011 yang meminta bonus kepada kakitangan kerajaan, pengurangan faedah kad kredit dan pinjaman perumahan kerajaan serta pelepasan cukai.

Menurut Omar, permintaan tersebut mampu menyuntik semangat untuk berkhidmat dengan lebih baik dan bermutu selain meringankan beban tanggungan 1.2 juta kakitangan awam.

Selain itu katanya, sudah tiba masanya kerajaan memberikan bonus kepada kakitangan awam kerana sudah dua tahun mereka tidak menerima bonus kecuali pemberian saguhati.

"Pemberian saguhati sebelum hari raya baru-baru ini pula bukan diterima semua penjawat awam seperti pegawai-pegawai atasan.

"CUEPACS yakin kerajaan tidak akan membiarkan kakitangan awam terutama yang berpendapatan rendah berasa terbeban pada tahun ini," katanya.

Petikan : Utusan Malaysia Online, 25 September 2010.

Saturday, September 25, 2010

Sistem Pendidikan Vokasional Akan Dirombak: Muhyiddin

MUAR - Sistem Pendidikan Vokasional Negara akan dirombak bagi membolehkan pelajar mengikuti aliran vokasional lebih awal iaitu selepas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah itu adalah selaras dengan sasaran Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) untuk memastikan 20 peratus pelajar mengikuti aliran vokasional berbanding 10 peratus pada waktu ini.

"Pada dasarnya saya bersetuju ia diawalkan pelajar ini memasuki bidang kemahiran, ini memang dalam penelitian kementerian. Ini kerana mungkin lebih awal maka lebih panjang mereka berada dalam bidang itu dan kemahiran mereka lebih baik," katanya selepas merasmikan Program Melonjakkan Kecemerlangan Pendidikan Pagoh 2010 Dewan Sri Pekembar, Pagoh dekat sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, rombakan tersebut dijangka memberi lonjakan besar kepada pendidikan vokasional negara kerana ia mengandungi elemen penambahbaikan seperti skop dan sukatan mata pelajaran, kemudahan infrastuktur, keperluan industri, tenaga pengajar dan penglibatan pihak swasta.

Timbalan Perdana Menteri mengulas laporan akhbar hari ini yang memaparkan cadangan para pembaca blog 1Malaysia Perdana Menteri untuk input Belanjawan 2011 yang antara lain meminta kerajaan mengembangkan rakyat Malaysia yang berpotensi
menjadi buruh berkualiti dalam aspek kemahiran.

Muhyiddin berkata, ketika ini bidang vokasional hanya diambil oleh pelajar lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan jumlah pelajar aliran vokasional negara masih kecil berbanding negara lain.

Sedangkan, katanya, negara memerlukan sekurang-kurangnya 3.3 juta pekerja mahir dalam tempoh 10 tahun bagi memenuhi keperluan industri negara mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP).

"Pada awal tahun depan, rakyat boleh diberitahu mengenai transformasi vokasional ini dengan lebih jelas dan pada masa yang sama kita tidak mahu ibu bapa menganggap bahawa bidang vokasional adalah pilihan kedua, ini perlu diperbetulkan," katanya.

Menurutnya, kebanyakan negara maju termasuk Perancis mempunyai jumlah pelajar vokasional yang tinggi manakala di Indonesia sebanyak 40 peratus pelajar mereka adalah dalam bidang vokasional.

Sebanyak 60 peratus daripada pelajar di Thailand turut mengikuti aliran kemahiran.

Petikan: Sinar Harian Online, 25 September 2010.

MRSM Buka Permohonan Kemasukan Isnin Ini

KUALA LUMPUR: Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) akan membuka pengambilan pelajar Tingkatan Empat sesi 2011 bermula Isnin ini, kata Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA Ibrahim Ahmad.

Beliau berkata sebanyak 3,232 tempat disediakan di 43 MRSM seluruh negara.

“Permohonan boleh dibuat secara talian dengan percuma,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.
Ibrahim berkata pemohon perlu mendapatkan nombor PIN daripada semua pejabat Mara atau MRSM berdekatan dengan membawa salinan keputusan peperiksaan percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010 dan salinan kad pengenalan yang disahkan serta angka giliran PMR.

“Pemohon yang membawa keputusan percubaan PMR mestilah menunjukkan mereka memenuhi syarat iaitu lulus Matematik dan Sains. Bagaimanapun syarat kemasukan masih sama iaitu sekurang-kurangnya pemohon mendapat 6A 2B dan mendapat gred A dalam Matematik dan Sains,” katanya.

Tawaran kemasukan ke MRSM itu bagaimanapun tidak dibuka kepada pelajar yang menuntut di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi (SBPI).

Tarikh tutup permohonan menerusi talian ialah pada 21 Oktober ini manakala bagi permohonan melalui borang dan dokumen berkaitan, tarikh tutup ialah pada 26 Oktober.


Pemohon turut dinasihati agar membuat permohonan lebih awal dan tidak menunggu sehingga tarikh tutup bagi
mengelak kesesakan talian. Untuk maklumat lanjut pemohon boleh layari laman web MARA di www.mara.gov.my.

Petikan: Berita Harian Online, 25 September 2010.

270 Juta Kotak Susu 1Malaysia Setahun

Perbincangan agih bekalan pada tahap akhir

KOTA MARUDU: Seiring aspirasi membentuk generasi masa depan yang sihat dan cerdas, sejumlah 270 juta kotak Susu 1Malaysia akan diedarkan setahun kepada kira-kira tiga juta murid di 7,685 sekolah rendah seluruh negara membabitkan peruntukan awal RM60 juta yang perlu dihabiskan hingga hujung tahun ini.

Mengumumkan perkara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata butiran berhubung kaedah penghasilan dan pengagihan bekalan berada pada tahap akhir perincian menjelang pelancarannya bulan depan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, perbincangan di antara kementerian dengan Sabah International Dairy (SID) selaku pembekal utama Susu 1Malaysia dijangka dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.

“Seperti diarah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kita mahu menyegerakan projek ini. Kita ada peruntukan RM60 juta yang mesti diselesaikan hujung tahun ini, manakala untuk tahun depan kita akan membuat permohonan lain.

“Fokus utama ialah mencari penyelesaian bagaimana menguruskan agihan bekalan kerana kita tidak mahu kejadian lalu (bekalan susu tercemar) berulang. Kita akan ambil kira faktor logistik dan penyampaian, terutama bagaimana bekalan disimpan serta kaedah apa untuk guru di sekolah menguruskan bekalan.

“Kementerian juga mahu melihat adakah susu diminum separuh dan disimpan bakinya kerana cara itu boleh membuatkan bekalan tercemar. Kita nak pastikan semuanya dilaksanakan dengan betul,” katanya pada sidang media selepas meninjau keadaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandau, di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili. Terdahulu, Muhyiddin melancarkan program ‘Cybersafe In School’ di SMK Tandek.

Projek Susu 1Malaysia diumumkan Perdana Menteri ketika menghadiri program Juara Rakyat peringkat Sabah di Sandakan, minggu lalu. Projek bekalan susu ke sekolah dihentikan kira-kira tiga tahun lalu berikutan masalah murid yang menerima bekalan susu tercemar yang mengakibatkan keracunan makanan.

Muhyiddin mengakui permintaan terhadap bekalan Susu 1Malaysia adalah lebih tinggi, iaitu 270 juta kotak setahun berbanding yang berupaya dihasilkan negeri ini dan kementerian akan berbincang dengan beberapa pihak lain yang boleh menampung permintaan itu.

Beliau turut mengumumkan peruntukan, masing-masing RM34 juta kepada SMK Bandau dan SMK Langkon di sini bagi pembinaan bangunan baru dilengkapi kemudahan sempurna selepas masing-masing selama ini menumpang di Sekolah Kebangsaan (SK) Ongkilan dan SK Langkon.

“Pelan reka bentuk SMK Bandau hampir siap, pembinaan akan dimulakan awal tahun depan dan perlu disiapkan awal 2013. Peruntukan bagi SMK Langkon tersenarai dalam fasa pertama bajet 2010 yang dibawa ke depan. Kita akan mula awal 2011 dan dijangka siap hujung 2013,” katanya.

Sabah mempunyai 27 sekolah menumpang di seluruh negeri dengan kebanyakannya berada di luar bandar dan pedalaman.

Ketika melancarkan program Cybersafe In School, Muhyiddin meminta masyarakat memastikan sumber maklumat yang diperoleh menerusi internet bagi mengelak penyebaran dari punca tidak sahih sehingga boleh memburukkan keadaan.

Katanya, kesedaran penggunaan internet secara positif juga perlu diterapkan kepada anak-anak dalam menjamin keselamatan mereka di alam siber kerana penyalahgunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) boleh mewujudkan persekitaran tidak sihat.

“Ini termasuk murid dan guru yang menggunakan internet bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran. Kita berdepan cabaran besar di ruang siber. Kita juga perlu menangkis penggodam yang mensasarkan infrastruktur maklumat

Petikan : Berita Harian Online, 25 September, 2010.

Friday, September 24, 2010

Potong Gaji Bayar PTPTN Mula 2013

SINTOK: Kementerian Pengajian Tinggi menjangkakan sistem pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui pemotongan gaji hanya dapat dilaksanakan mulai 2013 apabila rekod setiap peminjam dimasukkan dalam fail Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata jika kaedah itu hendak dilaksanakan, PTPTN dan LHDN perlu membuat pelbagai persediaan rapi untuk menentukan kaedah sesuai serta berkesan dan ia dalam peringkat rundingan.

Katanya, ada kekeliruan berhubung laporan akhbar sebelum ini mengatakan pembayaran balik pinjaman PTPTN dilaksanakan mulai Jun tahun depan.

Petikan: Berita Harian Online, 24 September 2010.

Thursday, September 23, 2010

Penurunan Caj 1 Peratus PTPTN Telah Dikuatkuasakan

KUBANG PASU 23 Sept. – Penurunan kadar caj perkhidmatan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada satu peratus telah dikuatkuasakan seperti yang diumumkan oleh kerajaan dua tahun lalu, manakala potongan gaji peminjam untuk bayaran balik dijangka dapat dilaksanakan mulai 2013.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bagaimanapun pelaksanaan penurunan caj tersebut tidak dicerminkan dalam penyata akaun peminjam kerana perbadanan tersebut perlu berurusan dengan mereka secara individu dan ia memakan masa.

''Caj itu telah dikuatkuasakan sebagaimana keputusan yang dibuat oleh kerajaan, hanya tidak dicerminkan dalam penyata,'' katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dan The University of Nottingham, Kampus Malaysia dan Uniutama Management Holding Sdn. Bhd. dan MESB Development Sdn. Bhd. di UUM Sintok di sini hari ini.

Beliau yang dalam Program Ziarah Kerja selama dua hari ke universiti itu sejak semalam ditanya mengenai rungutan peminjam PTPTN yang mendakwa mereka masih menanggung kos pentadbiran sebanyak tiga peratus sungguhpun kerajaan telah mengumumkan penurunan kos itu kepada satu peratus.

Luahan kecewa seorang peminjam mengenai perkara berkenaan turut disiarkan dalam ruangan Forum Utusan Malaysia hari ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan penurunan kadar caj PTPTN kepada satu peratus berkuat kuasa 1 Jun 2008 yang disifatkan sebagai satu langkah yang menggembirakan lebih sejuta peminjamnya yang dapat membuat bayaran balik lebih rendah.

Menurut Mohamed Khaled, terdapat kira-kira 1.5 juta peminjam PTPTN dan perbadanan itu perlu membuat semakan setiap dokumen peminjam sebelum penyeragaman dibuat.

Katanya, kadar bayaran peminjam yang berbeza seperti ada yang membayar penuh, kurang atau separuh menyebabkan proses pengiraan caj satu peratus itu berubah-ubah bagi setiap individu.

''Tetapi PTPTN menjanjikan supaya ia dapat menghijrahkan semua peminjam seboleh-bolehnya sebelum pertengahan tahun depan,'' katanya. – Utusan

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH

Petikan: Utusan Malaysia Online, 23 September 2010.

Wednesday, September 22, 2010

Lawatan Juri Pertandingan Program Bumi Hijau

22 September 2010 - SMT Muadzam Shah menerima lawatan beberapa juri hakim bagi pertandingan Program Bumi Hijau peringkat negeri Pahang. Kehadiran mereka ini disambut oleh pengetua, En. Azmi b. Ismail dan AJK Program Bumi Hijau sekol

Lawatan mereka ini tertumpu kepada lokasi sayur-sayuran yang ditanam, tanaman hidroponik, penternakan ayam, itik, burung puyuh, keli serta tanaman herba. Selain itu, juri-juri ini dibawa menonton dokumentari ringkas tentang projek 'Prime Kitchen Garden" ini. Beberapa komen telah diberikan oleh ketua juri untuk menambahbaik program bumi hijau serta persembahan video.







Lawatan Pengetua-Pengetua SM Teknik Pahang ke SMT Muadzam Shah

22 September 2010 - Beberapa Pengetua daripada SMT negeri Pahang telah datang melawat serta memantau SMT Muadzam Shah. Antara lokasi yang menjadi tempat lawatan tersebut ialah bengkel-bengkel kejuruteraan dan binaan bangunan, galeri sejarah, asrama dan taman herba serya sayuran (prime kitchen garden). Turut hadir ialah mantan pengetua SMT Muadzam Shah, Tn. Hj. Hashim b. Puteh yang kini menjadi pengetua di SMT Bentong, Pahang.

Kehadiran pengetua-pengetua SMT dari negeri Pahang ini, amat dialu-alukan oleh warga SMT Muadzam Shah. Terima kasih kerana sudi datang ke sekolah kami dan semoga sekolah kami dapat menjadi sekolah contoh bagi sekolah teknik di negara ini.

Di lokasi Taman Herba

 Menonton video Prime Kitchen Garden di bilik tayangan.

Bonus: Cuepacs Harap Tidak Dikecewakan Lagi

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan menimbangkan pemberian bonus kepada penjawat awam pada pembentangan bajet bulan depan.

Presidennya Omar Osman berkata Cuepacs sudah menghantar permohonan mengenai perkara itu kepada kerajaan.

"Sudah dua tahun penjawat awam tidak mendapat bonus sejak 2008 dan adalah diharapkan tahun ini kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus tersebut. Kita mohon dua bulan bonus, namun jika tidak boleh dua bulan, sekurang-kurangnya sebulan.

"Bagaimanapun, ia terserah kepada kebijaksanaan dan kemampuan kerajaan. Kita berharap pemberian bonus ini dapat dipertimbangkan memandangkan keadaan ekonomi negara yang semakin menyakinkan," katanya kepada pemberita, di Seremban hari ini.

Beliau yang ditemui selepas majlis Aidilfitri bersama pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Negeri Sembilan berkata pemberiaan bonus itu sudah pasti dapat meringankan beban tanggungan dan menyuntik semangat baru kepada 1.2 juta penjawat awam di seluruh negara.

Katanya ia juga merupakan ransangan bagi penjawat awam untuk menjayakan setiap dasar kerajaan.

"Penjawat awam merupakan tulang belakang kerajaan...jika mereka ceria maka cerialah kerajaan. Saya harap tidak ada pihak yang mempertikaikan pemberian bonus kepada penjawat awam ini kerana jika tidak Cuepacs tidak memperjuangkan, siapa lagi.

"Selain bonus, Cuepacs dipertanggungjawabkan memperjuangkan kebajikan penjawat awam termasuk masalah gaji, elaun, insentif, perubatan, lanjutan umur persaraan dan sebagainya," katanya.

Mengenai isu berlainan, Omar turut meminta kerajaan supaya segera serapkan 14,500 warga Kemas yang berkhidmat secara kontrak ke jawatan tetap memandangkan perkara itu telah lama tertangguh.

"Dalam kedudukan ini, mereka yang terbabit didapati merasa gusar serta dalam keadaan tidak tenang dan tertekan untuk menjalankan tugas kerana kedudukan mereka yang masih terumbang-ambing dan tidak ada jaminan.

"Perkara ini telah lama dibawa ke pengetahuan kerajaan, namun sehingga kini masih belum dapat jawapan. Oleh itu, kita harap kerajaan dapat mengatasi perkara ini dengan segera, kalau boleh dalam tahun ini juga," katanya.

- Bernama

Petikan : Malaysiakini, 22 September 2010

Monday, September 20, 2010

Peperiksaan Percubaan SPM Negeri Pahang Bermula

Pelajar tingkatan 5 Kejuruteraan Awam dan Binaan sedang tekun menjawab kertas pertama B. Melayu pada hari ini. Kami guru-guru di SMTMS mengucapkan selamat menjawab peperiksaan dan semoga berjaya.



 









Sunday, September 19, 2010

Lima Pelajar Hamil Mendaftar di Sekolah Harapan Hari Ini

JASIN 19 Sept. - Lima pelajar berusia 16 dan 17 tahun termasuk seorang Cina menjadi kumpulan pertama mendaftar masuk ke Sekolah Harapan yang ditubuhkan bagi memberi perlindungan kepada remaja hamil esok.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, mereka akan mendaftar di sekolah yang terletak di Jalan Pegawai itu dengan ditemani keluarga masing-masing.

Menurutnya, empat daripada mereka bersekolah dalam tingkatan lima dan seorang dalam tingkatan empat masing-masing berasal dari negeri ini, Johor, Pahang, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

"Kesemua mereka memasuki sekolah ini atas usaha ibu bapa masing-masing, tiada yang datang secara sukarela.

"Seorang daripada mereka adalah Cina dan ini membuktikan kita tidak mengenakan sebarang sekatan dalam memberi perlindungan kebajikan kepada remaja yang memerlukan," katanya selepas menghadiri majlis bacaan tahlil dan meninjau operasi Sekolah Harapan yang beroperasi kelmarin.

Sekolah Harapan kini beroperasi di dua bangunan lama milik Syarikat Air Melaka Berhad yang diubah suai menjadi sekolah itu beserta sebuah asrama dijadikan pusat penginapan pelajar dikenali sebagai Rumah Harapan di bawah pengurusan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Kata Mohd. Ali, daripada lima pendaftaran pelajar tersebut, tiga dibuat melalui Internet yang diselia JAIM.

Jelasnya, peraturan di Sekolah Harapan tetap sama dengan pusat pemulihan dan sekolah biasa lain termasuk mempraktikkan sistem pembelajaran yang serupa.

"Cuma, kita tetapkan peraturan di sekolah ini bahawa orang ramai tidak dibenarkan memasukinya secara bebas dan gambar pelajar juga tidak boleh dirakam demi menjaga kepentingan mereka," ujarnya.

Beliau memberitahu, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan keluarga pelajar terlibat berhubung tindakan Mahkamah Syariah mengikut kesalahan di bawah Seksyen 54 Enakmen Kesalahan Syariah 1991.

"Soal tindakan lanjut ke atas pelajar berkenaan terpulang kepada mahkamah. Perkara ini kita akan runding selepas ini. Kita utamakan dahulu kebajikan dan beri perlindungan kepada remaja perempuan yang hamil ini, saya pasti pihak mahkamah akan beri pertimbangan sewajarnya," kata beliau.

Petikan : Utusan Malaysia Online, 20 September 2010

PTPTN: Potong Gaji Mulai Jun 2011

TEMERLOH 19 Sept. – Mulai Jun tahun depan, semua peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diwajibkan membayar balik pinjaman secara potongan gaji bagi menangani masalah hutang tertunggak.

Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said menegaskan, hanya dengan cara itu pihaknya dapat mengutip semula hutang daripada lebih 46,000 peminjam yang liat membayarnya.

Katanya, PTPTN akan membentangkan cadangan meminda Akta PTPTN 1997 berhubung perkara itu di Parlimen selewat-lewatnya awal tahun depan.

‘‘Kita akan membincangkan mengenai pindaan Akta PTPTN 1997 berhubung perkara itu pada hujung bulan ini dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan cadangan itu akan dibentangkan di Parlimen pada Mac tahun depan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Kuala Krau dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Pemangku Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusuf.

Menurut Ismail, PTPTN akan menunggu keputusan kerajaan sebelum melaksanakan skim potongan gaji peminjam bagi mengutip semula pinjaman tabung tersebut.

Kata beliau, PTPTN juga mengambil kira pelbagai perkara supaya tidak mengganggu pemberian pinjaman kepada peminjam lain yang bakal melanjutkan pengajian pada masa depan.

Beliau berkata, pembayaran secara sukarela oleh peminjam seperti melalui pemotongan gaji, bank dan secara atas talian dilihat tidak berkesan apabila 46,000 daripada 1.6 juta peminjam tidak pernah membayar balik pinjaman.

Ismail yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau berkata, sejak 1997 sehingga Julai lalu, PTPTN telah mengeluarkan dana pinjaman sebanyak RM23 bilion daripada jumlah dana yang diperuntukkan iaitu RM35 bilion.

‘‘Sepatutnya Julai lalu kita berjaya mengutip semula RM3.6 bilion daripada RM23 bilion itu namun setakat ini, kita hanya mampu kutip RM1.8 bilion ekoran kedegilan peminjam yang liat membayar semula pinjaman.

‘‘Daripada jumlah keseluruhan 1.6 juta peminjam, hanya 42 peratus atau 600,000 peminjam yang membayar balik pinjaman,” katanya.

Menurut Ismail, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengarahkan PTPTN supaya bekerjasama dengan kementerian dan jabatan kerajaan terlibat bagi mendapatkan data lengkap peminjam.

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my

Petikan : Utusan Malaysia Online, 20 September 2010

Friday, September 17, 2010

Sekolah Hamil Sedia Terima Pelajar Mulai Hari Ini

Sekolah hamil yang dinamakan Sekolah Harapan untuk memberi perlindungan kepada remaja hamil di Jalan Pegawai di Melaka, mula dibuka hari ini walaupun belum mempunyai pelajar.

Pengerusinya, Datuk Ab Rahaman Ab Karim berkata dua bangunan kerajaan telah diubahsuai menjadi sekolah dan asrama yang menelan belanja RM100,000.

"Walaupun sekolah khas di bawah Majlis Agama Islam Melaka (Maim) ini masih belum mempunyai pelajar, ia tetap dibuka dan Maim akan terus menunggu permohonan pelajar hamil untuk memasukinya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan sekolah itu hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Maim, Datuk Ghazale Muhamad dan Penyelia Sekolah Harapan, Saimah Hiran.

Ab Rahaman berkata MAIM mengambil pendekatan "buka dahulu sekolah ini" kerana ia akan lebih memudahkan pihak pentadbiran untuk menguruskan kemasukan pelajar pada bila-bila masa.

"Buat permulaan, mereka mungkin malu lagi, selain itu, ia juga dapat memberi gambaran awal kepada ibu bapa pelajar hamil mengenai persekitaran dan segala kemudahan di sini," katanya sambil menegaskan identiti pelajar akan dirahsiakan.

Beliau berkata keseluruhan bangunan Sekolah Harapan itu dilengkapi penghawa dingin termasuk di tiga kelas dengan setiap kelas menampung antara 10 dan 12 pelajar.

Keseluruhan lantai bangunan sekolah dua tingkat itu juga dipasang dengan permaidani bagi memberi keselesaan kepada pelajar hamil mengikuti pembelajaran, katanya.

"Asrama ini mempunyai lima kakitangan terdiri daripada seorang pemandu, seorang penyelia, pengawal dan dua orang kerani," katanya.

Katanya waktu pembelajaran pula adalah sama seperti waktu sekolah biasa dan kelas termasuk kelas komputer dan kemahiran memasak serta menjahit.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai sekolah ini boleh menghubungi Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Jabatan Agama Islam Melaka, Rahimin Bani di talian 019-6671564 atau 06-2881534.

- Bernama

Petikan: Malaysiakini, 17 September 2010

Wednesday, September 15, 2010

Bahasa Melayu Bukan Penghalang Kemajuan

Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan tidak menghalang kemajuan, malah penggunaannya sebagai bahasa ilmu lebih 30 tahun lalu membawa banyak kejayaan kepada negara, kata Penyandang Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU), Professor Emeritus Awang Sariyan.“Tidak mustahil dengan ilmu yang diperolehi daripada sumber bahasa Melayu, Malaysia satu hari nanti akan mampu mengatasi negara lain termasuk Singapura dalam beberapa hal termasuk ekonomi,” katanya menerusi kiriman e-mel hari ini.

Beliau mengulas kritikan bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew dalam temu bual di New York Times baru-baru ini, kononnya bahasa Melayu sebagai bahasa sekolah, tidak boleh membantu dalam memperolehi pengetahuan moden.

Ia, kata Lee, dapat dilihat pada Melayu di Singapura ''yang moden serta berpandangan jauh'' kerana berpendidikan Inggeris.

Awang berkata, bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain juga tidak pernah diabaikan malah turut dikuasai rakyat Malaysia sebagai nilai tambah kepada penguasaan ilmu mereka.

Mengulas lanjut, Awang berkata, Lee sepatutnya membaca ulasan bekas perdana menteri sesudahnya, Goh Chok Tong, yang pernah melahirkan kekesalannya akan keadaan generasi muda Cina Singapura yang menurutnya “hanya Cina pada biologinya tetapi sudah kehilangan Cina pada bahasa dan budayanya”.

Mengenai dakwaan Lee tentang "hegemoni Melayu rakyat Malaysia", Awang dengan ringkas berkata, “memaku dulang paku yang serpih".

Awang berkata, Lee tidak akan pernah senang dengan Malaysia kerana sejarah hitam hubungan peribadinya dengan pemimpin Malaysia sebelum ini menyebabkan beliau gemar mengeluarkan kenyataan kontroversi.

- Bernama

Petikan: Malaysiakini, 15 September 2010

Sekolah Harapan Bagi Pelajar Hamil Dibuka Jumaat

Sekolah khas untuk pelajar hamil yang dibiayai oleh kerajaan negeri di Jasin akan dibuka bermula Jumaat ini untuk menempatkan mereka yang secara sukarela mahu ke situ.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata sekolah itu yang dikenali sebagai ''sekolah harapan'', berada di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di bekas pejabat Syarikat Air Melaka (SAM).

Buat permulaan, katanya, sekolah itu yang turut menyediakan kemudahan tempat tinggal, akan dikendalikan oleh seorang penyelia dan tiga pengajar lain.

"Kita sudah lantik guru JAIM yang berpengalaman bagi mengajar di sekolah itu yang boleh memuatkan maksimum 40 pelajar," katanya di kediamannya, Seri Bendahara, di Melaka hari ini.

Mohd Ali berkata, setakat ini, belum ada pelajar hamil yang menghubungi JAIM untuk memasuki sekolah itu dan bagi yang berminat boleh memohon dengan identiti mereka dirahsiakan.

"Kita berniat baik dengan menubuhkan sekolah ini bagi membolehkan remaja yang terlanjur meneruskan persekolahan sehingga mereka bersalin dan tamat edah sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Beliau berkata sukatan mata pelajaran yang diajar bergantung kepada tahap semasa persekolahan pelajar itu.

- Bernama

Petikan: Malaysiakini 15 September 2010

Tuesday, September 14, 2010

MARA Akan Lancar Program 'English Everyday' Di MRSM

BESUT: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan mengadakan program 'English Everyday' di semua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di seluruh negara sebagai usaha memantapkan penggunaan bahasa itu di kalangan pelajarnya.

Pengerusinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata usaha itu dilakukan dalam memastikan setiap pelajar MRSM akan menguasai bahasa Inggeris pada tahap yang maksima untuk kegunaan dalam perbualan seharian dan juga menguasai ilmu.

"Majlis pelancaran program berkenaan akan diadakan pada 3 Oktober depan yang akan disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Anggota Parlimen Jeli di MRSM Jeli," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurutnya antara pengisian program itu termasuk memberi anugerah dan insentif setiap bulan kepada pelajar yang menggunakan bahasa Inggeris dengan baik.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata sebuah lagi MRSM Ulul Albab akan diwujudkan menjelang awal tahun depan, merupakan yang ketiga selepas MRSM Besut, Terengganu dan MRSM Gemenceh di Negeri Sembilan.

Katanya MRSM Ulul Albab yang ketiga akan dibuka ialah di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Idris berkata sejak MRSM Ulul Albab diwujudkan pada tahun 2009, banyak permintaan diterima dari orang ramai supaya ianya diperkembangkan di setiap negeri yang mempunyai MRSM.

Katanya setakat ini didapati hampir 80 peratus daripada pelajar Tingkatan 1 dan 2 di MRSM Ulul Albab yang telah diwujudkan itu telah berjaya menghafaz al-Quran antara 15 hingga 30 juzuk. - BERNAMA

Petikan: mStar Online, 9 September 2010

Cuepacs: Naikkan Umur Persaraan - 60 tahun

Kerajaan diminta menaikkan umur persaraan daripada 58 kepada 60 tahun bagi 1.2 juta penjawat awam di Malaysia supaya seragam dengan amalan negara lain di rantau ini.

Presiden Cuepacs, Omar Osman berkata sehingga kini, Malaysia masih ketinggalan di belakang negara jiran yang mempunyai umur persaraan antara 60 dan 62 tahun.

Beliau berkata sehubungan itu, Cuepacs berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan, akan meluluskan cadangan itu dan mengumumkannya ketika pembentangan Bajet 2011 bulan depan.

"Kami telah meminta supaya umur persaraan dinaikkan kepada 60 tahun sejak beberapa tahun lalu, dan pada 2006, kami menyerahkan satu memorandum berhubung perkara itu, namun kerajaan hanya bersetuju menaikkannya sehingga 58 tahun.

"Justeru, kami harap kerajaan boleh mempertimbangkannya kerana ia satu opsyen dan bukan wajib, seperti juga apabila umur persaraan dinaikkan daripada 56 kepada 58 tahun, ia satu opsyen, bukannya automatik," katanya kepada Bernama dalam satu temubual.

Kerajaan juga, katanya, perlu memastikan bahawa umur persaraan di Malaysia seragam dengan apa yang diamalkan di negara jiran seperti Brunei, Singapura, Thailand dan Indonesia.

Umur persaraan bagi Thailand, Brunei dan Indonesia ialah 60 tahun, manakala di Singapura 62 tahun.

Kali terakhir isu mengenai umur persaraan dibangkitkan di negara ini ialah pada 2008, iaitu sebelum ia dinaikkan kepada 58 tahun.

Omar berkata, baru-baru ini, pemain industri perbankan tempatan telah bersetuju menaikkan umur persaraan pekerjanya dan ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia masih mampu menyumbang kepada ekonomi negara meskipun umur persaraan dinaikkan kepada 60 tahun.

"Graduan baru atau mereka yang masih mempunyai tahun perkhidmatan yang panjang sebagai penjawat awam tidak perlu bimbang. Kita perlu bersikap terbuka kerana ia satu opsyen dan bukannya wajib," katanya.

Beliau berkata ini kerana kepakaran serta pengalaman penjawat awam masih diperlukan, dan dengan menaikkan umur persaraan, ia mampu memberi pilihan kepada mereka yang berpengalaman untuk terus berkhidmat kepada negara.

"Kami tidak pasti jika kerajaan akan menerima cadangan ini, namun kami berharap ia akan dipertimbang dan diputuskan secepat mungkin," katanya.

- Bernama

Petikan: Malaysiakini 14 September 2010

Wednesday, September 1, 2010

Melaka Tangguh Buka Sekolah Remaja Hamil

Sekolah untuk remaja hamil dikenali Sekolah Harapan yang dijadualkan mula beroperasi hari ini, ditangguhkan pembukaannya ke 16 September ini, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Beliau berkata, penangguhan itu disebabkan beberapa keperluan logistik seperti pengambilan staf masih belum dapat dipenuhi oleh Majlis Agama Islam Melaka (Maim).

"Buat permulaan, kita perlu lima ke enam orang staf wanita seperti guru, warden dan kaunselor,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada bekas askar British di pejabatnya di Seri Negeri di Melaka, hari ini.

Sekolah Harapan itu akan beroperasi di sebuah bangunan lama milik Syarikat Air Melaka Berhad di Jasin dan setakat ini, seramai tiga orang remaja telah memohon untuk memasuki sekolah itu.

- Bernama

Petikan: Malaysiakini 1 September 2010