Saturday, November 13, 2010

Henti Jadikan Kakitangan Awam 'Lubuk Emas'

Bekerja sebagai penjawat awam merupakan impian emas ramai orang kerana faktor kestabilan pendapatan bulanan dan faedah-faedah yang diterima berbanding kerjaya dalam bidang swasta atau bekerja sendiri.

Gaji bulanan yang tetap dianggap sebagai satu jaminan untuk kehidupan yang sejahtera. Justeru, ramai ibu bapa berharap agar anak-anak mereka dapat menjadi polis, tentera, pegawai kerajaan, atau sekurang-kurangnya kerani di mana-mana jabatan.

Namun, sesetengah pihak yang panjang akal melihat hal ini sebagai satu kesempatan untuk menjana pendapatan mereka dengan cara tersendiri, atau untuk mengaut keuntungan seolah-olah penjawat awam adalah lubuk emas.

Hal ini dapat dilihat apabila banyak golongan terutama yang berorientasikan perniagaan menyasarkan penjawat awam sebagai pasaran utama mereka. Bermula dengan pelbagai syarikat insurans, pinjaman peribadi, Ah Long, pakej percutian, alatan komputer dan telefon bimbit, serta tidak ketinggalan aksesori kenderaan. Banyak daripada mereka menjadikan penjawat awam sebagai pelanggan nombor satu mereka.

Benar, banyak transaksi boleh berlaku dengan hanya menggunakan skim 'potong gaji' atau skim ansuran. Namun, kita dapat melihat ramai penjawat awam yang merungut kerana berasa terperdaya dengan produk yang tidak berkualiti, lebih mahal daripada harga sebenar di pasaran, khidmat pasca-jualan yang tidak memuaskan dan kemudian di hujung bulan, mereka merungut kerana lebih banyak hutang berbanding pendapatan bulanan.

Lebih teruk apabila penjawat awam ini mengambil sikap melulu dalam membeli sesuatu produk atau perkhidmatan tanpa membuat kajian kualiti terhadap produk atau perkhidmatan tersebut. Ini ditambah dengan sikap sesetengah daripada mereka yang membeli dengan alasan 'kerana boleh berhutang' walaupun produk tersebut bukan keperluan mereka.

Saya menyeru kepada pihak yang terlibat dalam memanipulasi penjawat awam ini agar berhenti daripada menjadikan kakitangan awam sebagai lubuk emas mereka. Berniagalah dengan adil dan tawarkanlah produk atau perkhidmatan yang benar-benar berkualiti, bukan semata-mata untuk keuntungan peribadi.

Para penjawat awam pula hendaklah tidak sewenang-wenang membuat sebarang 'hutang' atau pembelian produk dan perkhidmatan yang bukan keperluan mereka.

Banyak saluran boleh digunakan oleh penjawat awam untuk mendapatkan nasihat atau pandangan kedua sebelum membeli sesuatu. Sekurang-kurangnya, mereka boleh merujuk kepada majikan masing-masing, atau lebih baik, mencari maklumat lanjut daripada Persatuan Pengguna atau di Internet.

Petikan: Malaysiakini

Tukar Guru Besar Cemerlang UPSR

APABILA keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2010 diumumkan Khamis lalu, ia memberikan berita gembira kepada banyak pihak.

Sebanyak 48,327 daripada 482,334 calon memperoleh kelulusan semua A dalam mata pelajaran yang mereka ambil. Ia disifatkan sebagai pencapaian yang paling tinggi dalam sejarah peperiksaan UPSR.

Apakah yang dapat difahami daripada keputusan tersebut?

Pada tahun 1998, kira-kira 12 tahun lalu, terdapat 466,353 pelajar menduduki UPSR. Bilangan yang memperoleh semua subjek A hanya 21,009 orang.

Pada 2010, bilangan yang meraih semua A telah meningkat kepada 48,327. Berbanding angka tahun 1998, pada tahun ini ada pertambahan 27,318 orang pelajar memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diambil.

Statistik itu memperlihatkan para pelajar semakin cerdik dan kompetitif. Ia juga membawa makna bahawa sekolah-sekolah berasrama penuh sudah tidak mencukupi untuk menampung para pelajar yang bertambah cemerlang.

Siapakah yang berada di belakang kejayaan ini? Ada banyak. Antaranya calon peperiksaan sendiri, ibu bapa, guru-guru dan para pegawai pelajaran.

Bagaimanapun, salah satu faktor lain ialah bagaimana sekolah-sekolah ditadbir. Kita dapati sekolah-sekolah yang diurus dengan baik oleh guru-guru besar cemerlang menghasilkan keputusan UPSR yang hebat untuk sekolah masing-masing.

Guru besar menjadi individu yang memotivasikan guru-guru, ibu bapa dan pelajar untuk mengejar kejayaan dalam pelajaran.

Pada 1998, sebuah sekolah kebangsaan di Damansara, di bawah pentadbiran seorang guru besar yang komited, telah berjaya melahirkan 102 orang pelajar yang memperoleh 5A dalam UPSR tahun tersebut.

Malangnya, guru besar itu kemudian bersara kerana faktor umur dan digantikan dengan guru besar lain.

Dari setahun ke setahun, di bawah guru besar baru, sekolah tersebut semakin merosot dari segi keputusan peperiksaan UPSR.

Pada 2010 hanya terdapat 30 orang pelajar sekolah itu yang memperoleh 5A dalam UPSR berbanding 102 orang pada tahun 1998. Ia merupakan satu kejatuhan yang memalukan.

Persekitaran sekolah masih sama. Taraf kehidupan ibu bapa dan pelajar tetap serupa. Sebahagian daripada guru masih orang yang dulu. Yang berbeza hanyalah guru besar.

Keputusan peperiksaan yang berbeza dalam kes sekolah di Damansara itu seharusnya mencetuskan minat untuk Kementerian Pelajaran mengkaji punca kegagalan dan kecemerlangan sesebuah sekolah.

Awang percaya guru besar merupakan pemimpin yang mencorakkan arah tuju sekolah dan masa depan para pelajarnya.

Begitu juga dengan kejayaan banyak sekolah lain di bandar, luar bandar dan pedalaman. Guru besar yang berwawasan menjadikan sesetengah sekolah lebih kehadapan daripada sekolah yang lain.

Jika guru besar sekolah hebat seperti Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara dan Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail 1 di Kuala Lumpur ditukarkan ke Kerling di Hulu Selangor atau Cherok Paloh dekat Pekan, Pahang, sekolah-sekolah di luar bandar itu akan memperoleh keputusan UPSR yang lebih baik.

Kalau itulah yang akan berlaku dan sekiranya kepimpinan guru besar menjadi katalis yang melahirkan sekolah cemerlang, Kementerian Pelajaran harus segera merangka perancangan untuk 7,685 guru besar yang sedang mentadbir 7,685 buah sekolah rendah di seluruh negara.

Ada tiga opsyen boleh dipertimbangkan:

Pertama, melatih lebih ramai guru besar menjadi seperti guru besar sekolah-sekolah cemerlang.

Kedua, mencontohi model pendidikan sekolah-sekolah tersebut, membuat penambahbaikan dan memperluaskannya ke seluruh negara.

Ketiga, memindahkan guru-guru besar cemerlang itu ke sekolah-sekolah yang kurang berjaya di luar bandar bagi melahirkan para pelajar berkualiti yang berani menghadapi cabaran meritokrasi.

Dalam keterujaan kita untuk menghalusi idea ini, ada soalan lain yang wajar dipertanyakan iaitu adakah menghasilkan lebih ramai pelajar yang memperoleh 5A dalam UPSR akan menjadikan negara kita lebih baik pada masa depan dan melahirkan generasi yang lebih berbakat?

Soalan ini sahaja akan mencetuskan perdebatan yang tidak sudah-sudah.

Petikan: Utusan Malaysia ONline

Pelajar Cemerlang Miskin Diutama Masuk SBP 2011

Tindakan elak matlamat asal sekolah tersasar: Muhyiddin

TAN Sri Muhyiddin Yassin berkata, bermula tahun depan, hanya pelajar cemerlang daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah akan dipilih memasuki sekolah berasrama penuh (SBP).

Timbalan Perdana Menteri berkata, pemilihan berdasarkan kriteria yang saksama dan merit pencapaian pelajar sejajar matlamat asal penubuhan sekolah itu.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menjelaskan, ketika kerajaan mewujudkan SBP dulu, ia bertujuan memberikan peluang kepada pelajar cemerlang daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah belajar di tempat selesa tanpa mengeluarkan belanja besar.

Bagaimanapun, katanya, sejak kebelakangan ini, ia sudah lari daripada matlamat asalnya apabila SBP ini dianggap sebagai sekolah elit untuk pelajar dengan keputusan terbaik.

Beliau menegaskan, ini menyebabkan ibu bapa berlumba-lumba mahu menghantar anak mereka ke sekolah berkenaan, walaupun hakikatnya sekolah bukan berasrama penuh turut mencapai keputusan cemerlang.

Jadi saya sudah meminta pegawai di Kementerian Pelajaran supaya meneliti semula asas kenapa kita adakan sekolah berasrama penuh ini. Ini akan dimulakan bagi pengambilan persekolahan tahun depan, katanya kepada wartawan Malaysia selepas menamatkan hari pertama Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, bahawa hanya 10 peratus daripada 48,327 murid yang memperoleh 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini akan berpeluang melanjutkan pelajaran di sekolah berasrama penuh.

Muhyiddin juga menjelaskan, walaupun Kementerian Pendidikan membuat pengambilan berdasarkan asas itu akan ada juga di kalangan pelajar yang layak gagal mendapatkan tempat di sekolah berkenaan kerana bilangannya mungkin jauh lebih besar daripada hanya kira-kira 7,000 tempat yang ada.

Jika 70 atau 80 peratus daripada 80,000 yang memohon adalah daripada kalangan miskin, sudah tentu kita tidak dapat penuhi semuanya. Justeru, kita akan menggunakan kriteria saksama dan berdasarkan merit pencapaian mereka, katanya.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, langkah yang akan diambil Kementerian Pelajaran itu tidak seharusnya mengecewakan ibu bapa pelajar yang lain kerana usaha meningkatkan mutu pembelajaran di semua sekolah sudah dilakukan.

Malah, katanya, banyak sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah berprestasi tinggi (SBT) bukan daripada kalangan SBP.

Saya akan mengumumkan 30 sekolah berprestasi tinggi yang sebahagian besarnya bukan SBP, katanya.

Petikan: Berita Harian Online

Monday, November 8, 2010

300,000 Komputer Riba Diagih

Pelajar daripada keluarga miskin, berpendapatan rendah diberi ‘Netbook 1Malaysia’

CYBERJAYA: Sebanyak 300,000 unit komputer riba lagi akan diagihkan kepada pelajar daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah dalam tempoh tiga bulan mulai Disember ini dalam fasa kedua program ‘Netbook 1Malaysia’.

Pemangku Pengarah Kanan, Bahagian Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Zulkarnain Mohd Yassin, berkata ia adalah antara projek di bawah fasa dua program USP yang menyediakan peruntukan kira-kira RM3.3 bilion bagi tempoh tiga tahun dari 2009 hingga 2011.


 “Program ‘Netbook 1Malaysia’ menyediakan peruntukan RM1 bilion dan setakat ini sebanyak 123,000 komputer riba sudah diagihkan kepada mereka yang layak,” katanya pada sesi soal jawab selepas majlis taklimat media di sini, semalam.

Difahamkan majlis itu diadakan berikutan timbul rungutan pelbagai pihak mengenai sistem agihan komputer riba itu yang dianggap tidak adil serta gagal mencapai matlamat yang ditetapkan.

Pengagihan satu juta komputer riba 1Malaysia itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Mac lalu ketika melancarkan inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) dan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB), bagi memberi peluang kepada pelajar sekolah menengah serta institusi pengajian tinggi yang berkelayakan mendapat akses internet jalur lebar.

Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata, selain agihan komputer riba, fasa kedua program USP itu turut membabitkan pembinaan Pusat Jalur Lebar Komuniti Mini dengan RM10 juta, Pusat Jalur Lebar Komuniti ke Rumah (RM150 juta), perluasan rangkaian (RM40 juta) dan Kampung WiFi (RM520 juta).

“Dalam fasa pertama, SKMM membelanjakan kira-kira RM1.5 bilion bagi program USP antaranya untuk kemudahan telefoni asas (RM629 juta), Menara Komunikasi Lebuhraya Timur Barat (RM64.7 juta) dan Pusat Jalur Lebar Komuniti (RM527.7 juta),” katanya.

Mengenai kos bagi setiap komputer riba 1Malaysia, beliau berkata, kira-kira RM1,000 dibelanjakan bagi setiap komputer riba yang diberi nama ‘Idola’ itu termasuk pemasangan anti virus dan perisian Microsoft.

Dalam pada itu, mengulas usaha untuk mengelakkan komputer itu dijual oleh penerima bantuan, katanya, pihaknya sudah melaksanakan pelbagai mekanisme bagi membendung perkara itu termasuk mewajibkan mereka mendaftar dengan Pusat Jalur Lebar Komuniti dan mengikuti kelas komputer yang ditetapkan.

Terdahulu, pada ucapan aluan majlis taklimat, Pengerusi SKMM, Tan Sri Khalid Ramli, berkata suruhanjaya maklum mengenai perhatian yang diberikan pihak media kepada pihaknya yang berfungsi sebagai pemaju dan penguat kuasa sektor komunikasi dan multimedia di negara ini.

Petikan: Berita Harian 9 November 2010.