Friday, October 28, 2011

Jangan Khianati Martabat Bahasa Melayu

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Semua pihak diseru supaya tidak mengkhianati martabat bahasa Melayu dengan mempersoalkan tindakan kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Seruan itu dikemukakan oleh 49 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini berikutan wujud usaha segelintir pihak untuk mempertahankan PPSMI termasuk beberapa NGO dan akhbar berbahasa Inggeris yang dilihat cuba melaga-lagakan serta memecah-belahkan rakyat berhubung isu itu.

Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Kamal Syukri Abdullah Sani yang mewakili NGO-NGO berkenaan berkata, demi kepentingan nasional, penggunaan bahasa Melayu perlu diutamakan berbanding bahasa lain termasuk bahasa Inggeris kerana ia menguntungkan segelintir kumpulan elit semata-mata.

"Meneruskan PPSMI sama ada sepenuhnya atau sebahagiannya adalah seperti mengkhianati keupayaan dan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa sains dan teknologi di rantau ini.

"Bahasa Melayu bukan sekadar wahana ilmu, malah mengandungi nilai, budaya dan teras jati diri sebagai warganegara Malaysia," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohd. Ali Hassan; Setiausaha Gerakan Memansuhkan PPSMI, Hasni Abas dan Ketua Penerangan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Abu Qassim Nor Azmi.

Turut hadir, Presiden Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (KPIM), Ahmad Fahmi Mohd. Samsudin dan Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd. Arsad.

Baru-baru ini, Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) meminta kerajaan menimbang semula keputusan memansuhkan PPSMI berikutan soal selidik yang dijalankan mereka selama empat bulan terhadap 15,000 responden daripada kalangan ibu bapa mendapati hampir 55 peratus tidak bersetuju dua subjek itu diajar dalam bahasa Melayu.

Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) pula mahu sekolah aliran kebangsaan diberi pilihan untuk meneruskan dasar PPSMI.

Kamal Syukri memberitahu, satu memorandum menyokong pemansuhan PPSMI akan diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kelapan, Sabtu ini.

Sambil menyifatkan soal selidik JMM itu sebagai satu kajian tidak menyeluruh serta meragukan dan kenyataan PAGE tidak berasas, Abu Qassim pula menyifatkan tindakan kedua-dua pertubuhan itu seolah-olah mencabar keputusan Kabinet.

"Mereka seperti membelakangkan segala kajian berhubung dasar tersebut oleh Kementerian Pelajaran dan memperlekeh kedaulatan bahasa kebangsaan di negara ini," ujarnya.

Oleh SOFIAN BAHAROM
sofian.baharom@utusan.com.my

Petikan : Utusan Online 28 Oktober 2011

Wednesday, October 26, 2011

Perkasa Sokong CUEPACS Protes Kenaikan Harga Barang

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyokong saranan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) supaya melakukan protes terhadap kenaikan harga barang terutamanya ayam mulai bulan depan.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, ia bagi memberi pengajaran kepada peniaga atau penjual ayam supaya mereka sedar dan insaf dengan perbuatan menaikkan harga sesuka hati.
"Saya seru semua yang hadir pada hari ini dan juga mereka di luar sana supaya memboikot peniaga serta penjual ayam ini.
"Saya yakin kita masih boleh hidup sekiranya tidak makan ayam. Mari kita berikan mereka pengajaran sekiranya mereka masih berdegil mahu menaikkan harga ayam dengan sesuka hati," katanya ketika berucap pada Persidangan Agung Perkasa Kedua di sini, hari ini.
Beliau mengulas saranan Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman terhadap 1.3 juta penjawat awam di negara ini melakukan protes secara senyap terhadap kenaikan harga barang terutamanya ayam mulai bulan depan.
Sementara itu, pada sidang akhbar selepas perasmian persidangan tersebut, Ibrahim Ali mendedahkan bahawa Perkasa mempunyai kuasa dan boleh memainkan peranan dalam menentukan kemenangan atau kekalahan seseorang calon yang bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Katanya, dengan jumlah ahli yang dijangka mencecah angka 500,000 menjelang PRU, Perkasa boleh mempengaruhi ahlinya supaya tidak memilih calon yang dilihat sering membangkitkan isu berhubung Melayu dan Islam.
"Kami mempunyai kuasa untuk menentukannya dengan jumlah ahli yang ramai. Setakat ini, di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), sekurang-kurangnya kami mempunyai 600 ahli," katanya.
"Ketika ini kami memantau beberapa calon yang berpotensi untuk bertanding pada PRU akan datang dan sekiranya mendapati mereka tidak sensitif dengan isu berkaitan Melayu serta Islam, kami boleh mengarahkan ahli yang berada di kawasan calon tersebut supaya tidak mengundi.
"Ia bukan hanya pada calon berketurunan Cina, India atau parti pembangkang sahaja tetapi meliputi calon Melayu dan parti pemerintah. Jadi, berwaspadalah ketika berkata-kata dan jangan sesekali cuba membangkitkan isu berkaitan Melayu serta Islam," katanya.

Petikan: Utusan Online 27/10/2011