Wednesday, February 29, 2012

CUEPACS Rayu Kakitangan Awam Diberi Pilihan Kedua

KANGAR: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu peluang kedua diberi kepada kakitangan awam untuk memilih opsyen melanjutkan umur persaraan daripada 58 kepada 60 tahun, walaupun tarikh penyerahan borang bagi tujuan itu berakhir 31 Disember lalu.

Gesaan itu dibuat Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berikutan masih ramai lagi penjawat awam berminat untuk memilih opsyen terbabit, tetapi terlepas peluang berbuat demikian sebelum ini.
“Saya dapat tahu ramai penjawat awam berminat selepas mendapat tahu kelebihan memilih opsyen terbabit yang ditawarkan melalui pelaksanaan Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
“Namun, disebabkan kurangnya kefahaman terhadap opsyen terbabit ketika ia mula ditawarkan, termasuk faktor tempoh masa singkat diberikan kepada penjawat awam untuk memikirkannya sebelum ini, menyebabkan ramai yang terlepas peluang berbuat demikian.

“Justeru, saya harap ketua jabata n dapat memberi sedikit kelonggaran di peringkat dalaman kepada kakitangan masing-masing untuk menyertai skim terbabit.

“Ia terbukti membawa banyak faedah kepada penjawat awam dan saya sendiri percaya ia dapat dilakukan tanpa menjejaskan ketetapan sedia ada,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Seminar Pengurusan Kesatuan Pekerja anjuran bersama Kesatuan Pekerja Kastam Semenanjung Malaysia (KPKSM) dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) di sini, semalam.
Hadir sama, Presiden KPKSM, Ibrahim Ahmad.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini bersetuju melanjutkan tarikh penerimaan tawaran opsyen SBPA bagi penjawat awam sehingga 15 Januari, tetapi mengekalkan tempoh penerimaan opsyen bagi umur persaraan pada 60 tahun pada 30 Disember lalu.

Sebelum itu, penjawat awam diberi tempoh 15 hari mulai 16 Disember lalu bagi membuat pilihan sama ada memilih SBPA atau kekal dalam skim perkhidmatan lama.

Dalam skim baru berkenaan, hiraki perkhidmatan awam dibahagikan kepada empat peringkat iaitu Kumpulan Premier, Kumpulan Pengurusan Tertinggi, Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana.

Petikan: Berita Harian Online

Tuesday, February 28, 2012

KPPK Pohon Kenaikan Bagi Guru Lulus PTK

KUALA LUMPUR 28 Feb. - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (KPPK) meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi kenaikan gaji atau pangkat kepada mereka yang telah lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) sebelum kaedah itu dimansuhkan.

Presidennya, Hasim Adnan berkata, ini bagi mengelakkan ketidakadilan kepada mereka yang telah lulus penilaian itu.

"Ramai guru-guru veteran yang setuju bahawa mereka yang telah ambil penilaian ini di peringkat tiga atau empat perlu diberi peluang untuk kenaikan gaji atau pangkat terlebih dahulu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Katanya, terdapat kira-kira 10,000 guru yang tergolong dalam kelompok itu.

Justeru, Hashim memohon pihak JPA agar membuat pertimbangan semula dan memberi ruang setahun atau dua tahun sebelum memansuhkannya.

Sebelum ini, JPA mengumumkan untuk menggantikan PTK dengan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) yang dikatakan akan membuka lebih peluang kepada penjawat awam mendapat kenaikan pangkat berkuat kuasa pada Julai ini.

Hashim berkata, pemansuhan serta-merta PTK juga dilihat tidak adil, yang mana bagi kelayakan jawatan di peringkat tinggi, keputusan penilaian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Ijazah dan lain-lain diambil kira, tetapi keputusan bagi penilaian itu tidak diambil kira. — BERNAMA

Petikan: Utusan Malaysia Online

Thursday, February 23, 2012

Sekolah Dalam Hospital Dapat Sambutan Menggalakkan

PUTRAJAYA 23 Feb. - Selepas hampir setahun ditubuhkan, Sekolah Dalam Hospital (SDH) kelolaan Yayasan Nurul Yaqeen terus mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka terus mendapat pendidikan walaupun berada di katil hospital.

Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang juga Penaung Projek Hati Nurani: SDH, berkata, sehubungan itu SDH akan diperluaskan ke beberapa hospital milik kerajaan dalam masa terdekat bagi memastikan setiap permintaan dipenuhi.

Katanya, sehingga kini, SDH telah dilaksanakan di tiga buah hospital iaitu Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Ampang dan Hospital Serdang.

"Kerjasama dan sokongan erat Yayasan Nurul Yaqeen, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan membolehkan ramai pelajar mengikuti kelas di bawah program berkenaan.

"Sambutan menggalakkan serta permintaan daripada hospital lain untuk menyediakan SDH di tempat mereka memberi kami semangat untuk memperluaskan program ini ke hospital kerajaan yang lain di seluruh negara," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra dan Taklimat SDH, di Dewan Bankuet, Sri Satria di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Urusan Perusahaan Otomobil Nasional Kedua Sdn. Bhd. (Perodua), Datuk Aminar Rashid Salleh, Pengerusi Hati Nurani, Prof. Madya Normah Dali dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Sufa'at Tumin.

Pada majlis tersebut, Perodua menyumbang RM300,000 manakala syarikat telekomunikasi tempatan, DiGi Telecommunications (DiGi) menyumbang 15 unit komputer riba dan penerbit majalah Ana Muslim menyumbang bahan bacaan bernilai RM10,000.

Selain itu, syarikat pengendali pendidikan dalam talian, Kenshido International Sdn. Bhd., menaja penggunaan percuma pembelajaran dalam talian kepada pelajar terbabit.

Menurut Noorainee, SDH menggunakan sukatan pelajaran kebangsaan sama seperti di sekolah rendah dan sekolah menengah bagi memberi tumpuan kepada pesakit mengikut peringkat usia serta silibus membabitkan mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Selain itu katanya, kewujudan projek SDH juga mampu menghilangkan rasa bimbang para ibu bapa terhadap pelajaran anak-anak mereka apabila menerima rawatan di hospital.

"Kebimbangan ini tentunya lebih tinggi jika anak-anak mereka akan menduduki peperiksaan awam pada tahun berkenaan atau pun terpaksa berada di hospital dalam tempoh masa yang agak lama," katanya lagi.

Petikan: Utusan Malaysia Online

Najib Bakal Buat Pengumuman Adil, Saksama Bagi Penjawat Awam

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka membuat pengumuman yang adil dan saksama berkaitan perkhidmatan awam, termasuk mengenai Skim Saraan Malaysia (SSM) dan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Perkara itu dinyatakan Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman selepas mengadakan pertemuan hampir dua jam dengan Perdana Menteri di pejabatnya di sini, hari ini.
Pertemuan itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
"Perkara itu akan diumumkan dalam waktu terdekat dan dijangka memberikan keadilan dan kebaikan untuk semua penjawat awam," katanya tanpa mengulas lanjut mengenai perkara yang bakal diumumkan itu.

Omar berkata, CUEPACS sendiri akan menyambut baik apa sahaja perkara yang bakal diumumkan serta mengucapkan terima kasih di atas kesudian serta kesediaan Perdana Menteri untuk mengadakan perbincangan dan mendengar cadangan demi kebaikan penjawat awam.

"Pertemuan hari ini menyentuh mengenai secara keseluruhan apa tuntutan serta pandangan yang dikemukakan Cuepacs selama ini berhubung permasalahan penjawat awam termasuk mengenai isu SBPA," katanya.

Omar berkata, Perdana Menteri turut menyatakan kesediaan untuk menghadiri perhimpunan besar-besaran yang akan mengumpul seramai 15,000 penjawat awam yang akan diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 12 Mac depan. - BERNAMA

Petikan: Berita Harian Online

Tuesday, February 14, 2012

Harga Kereta di Malaysia ke-2 Termahal

KUALA LUMPUR 13 Feb. - Harga kereta di Malaysia adalah lebih tinggi berbanding negara-negara ASEAN lain kecuali Singapura.

Bagaimanapun sekiranya mengambil kira kos-kos pemilikan yang lain, harganya adalah kompetitif di peringkat rantau ini, demikian menurut kajian terbaharu Institut Automotif Malaysia (MAI) di sini.

''Meskipun harga kereta di negara ini lebih tinggi berbanding negara-negara ASEAN yang lain, tetapi ia masih rendah berbanding harga yang ditawarkan di negara maju, Singapura,'' kata MAI

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Madani Sahari, harga Honda City dan Toyota Vios bagi segmen 1500 cc di Thailand adalah termurah di kalangan negara ASEAN iaitu 40 peratus lebih rendah berbanding harga jualan di Malaysia.

Secara kasarnya, perbezaan harga jualan Honda City model 1.5S i-Vtec di Thailand adalah kira-kira RM34,192 lebih murah berbanding harga yang ditawarkan di Malaysia.

Beliau berkata, kereta Honda City dan Toyota Vios juga dijual rendah di Filipina, Indonesia dan Vietnam berbanding Malaysia iaitu masing 32 peratus, dua peratus dan 1.8 peratus.

''Tidak dinafikan bahawa jika diteliti harga jualan kenderaan bagi model-model popular adalah lebih tinggi di negara ini, tetapi ia berbeza jika dibandingkan dengan Singapura,'' kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini.

Bagi segmen 1800 cc, harga Honda Civic di Filipina adalah 43 peratus lebih murah berbanding di Malaysia manakala Thailand dan Vietnam, masing-masing lebih rendah sebanyak 35 peratus dan lima peratus berbanding harga yang ditawarkan di Malaysia.

Bagaimanapun, harga Honda Civic yang dijual di Indonesia tiga peratus lebih tinggi berbanding harga jualan di negara ini.

Harga Toyota Altis di Thailand terus kekal sebagai termurah di ASEAN dengan 44 peratus lebih rendah dari Malaysia, manakala Filipina (38 peratus), Indonesia (29 peratus) dan Vietnam sebanyak tujuh peratus lebih rendah berbanding harga jualan di Malaysia.

Bagi segmen 2,000 cc dan ke atas, harga Toyota Camry yang dijual di Filipina dan Thailand adalah termurah di ASEAN dengan masing-masing 32 peratus dan 16 peratus lebih murah berbanding harga jualan di negara ini.

Bagaimanapun harga jualan bagi model itu di Indonesia dan Vietnam adalah 11 peratus dan lima peratus lebih tinggi berbanding harga jualan di sini.

Madani menambah, setiap model yang dinyatakan adalah lebih mahal di Singapura.

Katanya, jika dibanding dengan Malaysia, harga jualan model kenderaan Toyota dan Honda di Singapura lebih tinggi secara purata 137 peratus lebih tinggi berbanding di Malaysia.

''Bagi perspektif di luar negara, secara realitinya seseorang individu ingin membeli kenderaan untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.

''Pengangkutan awam merupakan pilihan tetapi memiliki kenderaan sendiri adalah lebih selesa,'' ujarnya.

Walaupun begitu, MAI telah melakukan analisis mendalam bagi menilai kos penyelenggaraan kenderaan berbanding kos kenderaan baharu.

Kos-kos tersebut meliputi yuran pendaftaran, bayaran premium insurans, cukai jalan dan bahan bakar.

Setiap kos tersebut dipanggil sebagai Kos Pemilikan Kenderaan (CVO).

Madani berkata, kajian MAI mendapati bahawa Malaysia menawarkan cukai jalan dan yuran pendaftaran kenderaan terendah berbanding negara-negara ASEAN termasuk Filipina, Thailand dan Vietnam.

Malah, katanya, sekali lagi Singapura dan Indonesia menunjukkan cukai jalan tahunan dan yuran pendaftaran kenderaan paling tinggi iaitu lebih tinggi 577 peratus dan 442 peratus berbanding Malaysia.

Kata Madani, bayaran perlindungan insurans kenderaan tahunan di Malaysia, Filipina dan Vietnam adalah terendah berbanding negara-negara ASEAN lain.

''Thailand , Singapura dan Indonesia masing-masing lebih tinggi sebanyak 210 peratus, 175 peratus dan 126 peratus berbanding di Malaysia,'' ujarnya.

Selain itu, Madani menambah, Malaysia mempunyai harga minyak paling rendah di kalangan negara-negara ASEAN manakala Thailand merupakan negara tertinggi harga minyak di ASEAN diikuti Singapura, Indonesia, Vietnam dan Filipina.

Petikan: Utusan Malaysia Online

Cuepacs Yakin Masalah SBPA Selesai Awal

PUTRAJAYA 14 Feb. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yakin segala masalah berbangkit berhubung Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan dapat diselesaikan lebih awal iaitu sebelum tempoh ditetapkan untuk pasukan khas itu membuat semakan yang berakhir 16 April ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, selepas bermesyuarat sebanyak tiga kali, pihaknya mendapati anggota jawatankuasa pasukan khas itu juga semakin terbuka dalam mendengar pandangan dan maklum balas daripada Cuepacs.

"Dalam perbincangan hari ini, suasana tenang sedikit selepas dua mesyuarat petugas khas berjalan. Kita berbincang dengan baik dan dalam perbincangan, kita harap SBPA dapat diselesaikan sebaik mungkin," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat ketiga pasukan petugas khas itu di sini hari ini.

Beliau berkata, selain mengambil perhatian mengenai aduan-aduan individu berhubung SBPA, lima tuntutan utama Cuepacs sebelum ini masih dibincangkan pada mesyuarat kali ini.

Lima tuntutan itu ialah mengkaji semula prinsip pemindahan gaji penjawat Gred 54 ke bawah; mengekalkan status kekananan penjawat dalam Skim Saraan Malaysia (SSM); mengkaji semula tangga gaji maksimum; menyenaraikan penjawat yang layak memperoleh kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus dan menyemak semula penstrukturan kenaikan gaji bagi semua gred.

Omar berkata, mesyuarat pasukan petugas khas seterusnya dijangka diadakan pada 22 Februari ini. - BERNAMA

Petikan: Utusan Malaysia Online

Sunday, February 12, 2012

15,000 Guru Berijazah Belum Naik Gred DG41

Terpaksa tanggung beban bayaran pinjaman pendidikan

SEREMBAN: Kira-kira 15,000 guru lepasan ijazah di seluruh negara belum menerima kenaikan gred G41 walaupun sebahagian mereka sudah melepasi proses temu duga sejak dua tahun lalu, kata Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng.

Beliau berkata, perkara itu menimbulkan ketidakpuasan hati kumpulan guru terbabit yang sanggup membuat pinjaman pendidikan atau mengeluarkan simpanan sendiri bagi menampung kos menyambung pelajaran sebelum ini.
Dengan jaminan kenaikan gred itu, mereka membuat keputusan berkenaan (menyambung pelajaran) dengan harapan dapat meningkatkan pendapatan. - Lok Yim Pheng, Setiausaha Agung NUTP
Katanya, berikutan penangguhan itu, sebahagian guru terbabit kini menanggung masalah kewangan termasuk untuk membayar semula pinjaman pendidikan kerana gaji diterima masih di takuk lama.

“Mereka membuat perancangan rapi terutama membabitkan soal kewangan sebelum mengambil keputusan menyambung pelajaran kerana kebanyakannya sudah berkeluarga dan mempunyai banyak komitmen.

“Dengan jaminan kenaikan gred itu, mereka membuat keputusan berkenaan (menyambung pelajaran) dengan harapan dapat meningkatkan pendapatan.

“Namun, proses kenaikan gred itu kini digantung dan kami tidak tahu sampai bila,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Yim Pheng berkata, sebelum ini, proses kenaikan gred selepas seseorang calon melepasi temu duga biasanya mengambil masa kurang setahun untuk berkuat kuasa tetapi penangguhan itu turut menjejaskan tempoh perkhidmatan bagi kenaikan pangkat.

Justeru, beliau berkata, pihaknya meminta Kementerian Pelajaran menyegerakan proses berkenaan kerana jumlah guru yang tamat pengajian ijazah semakin bertambah dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Yim Pheng meminta Kementerian Pelajaran memberi peluang kepada guru yang lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) aras tiga dan empat yang layak menikmati anjakan gaji menikmatinya, walaupun tempoh sah penilaian itu tamat tahun ini berikutan pemansuhannya.

Beliau berkata, kebanyakan guru terbabit belum cukup syarat tempoh perkhidmatan dan hak mereka dinafikan kerana tempoh sah penilaian itu tamat sebelum mereka mencukupkan syarat berkenaan.

“Tidak adil bagi guru terbabit yang berusaha lulus PTK dan ketika menunggu masa untuk menikmati anjakan gaji, tiba-tiba kelulusan PTK mereka tidak boleh digunakan dan terpaksa menduduki penilaian baru,” katanya.

Petikan: Berita Harian Online

Saturday, February 11, 2012

Kajian Pelajar Tak Minat Sains

IPOH: Masalah kemerosotan ketara minat pelajar dalam jurusan sains di sekolah akan ditangani melalui kajian menyeluruh sistem pendidikan kebangsaan yang sedang dilakukan dan dijangka siap seawal-awalnya akhir tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pasukan yang diberi tanggungjawab mengkaji bagi menambah baik sistem pendidikan itu akan mengemukakan pelbagai cadangan untuk dilaksanakan bagi mengatasi masalah berkenaan.

Malah, beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kajian itu tidak terhad kepada isu bidang sains malah mata pelajaran lain, termasuk Matematik dan bahasa Inggeris.

“Kajian ini dibuat oleh pakar yang akan buat perakuan dan cadangan dan kita (kerajaan) akan mengambil (menerima) cadangan itu. Mungkin kajian ini boleh siap sebelum akhir tahun ini atau awal tahun depan,” katanya selepas menghadiri Program Pengurusan Pementoran Perkhidmatan Awam dan Majlis Dialog Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Pendidik Perak, sempena lawatan seharinya ke Perak, semalam.

Pada majlis berkenaan beliau turut menyerahkan mok cek bernilai RM12 juta kepada Bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin Perak dan RM14.5 juta kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) KAFA Perak.

Sebelum ini, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meluahkan kebimbangannya kerana walaupun kerajaan sudah memperkenalkan banyak inisiatif memajukan bidang sains, minat pelajar untuk mengambil mata pelajaran berkenaan di sekolah semakin merosot ke tahap yang kritikal.

Bilangan pelajar yang mengikuti bidang sains secara keseluruhan adalah kira-kira 37 peratus dengan 29 peratus yang dilaporkan sebelum ini hanya membabitkan sains tulen.
Muhyiddin berkata, walaupun pada beberapa peringkat negara mencatat kejayaan agak membanggakan dalam bidang pendidikan, tetapi ada beberapa pihak melihat Malaysia agak terkebelakang dibandingkan beberapa negara lain, oleh itu, kajian dibuat meletakkan mengukur sistem dan kejayaan sedia ada dengan penanda aras antarabangsa bagi mengetahui kelemahan yang ada dalam sistem pendidikan negara.

Sementara itu, ketika menjawab soalan pada sesi dialog, Muhyiddin berkata, beliau secara prinsip bersetuju menyemak semula elaun guru besar yang didakwa terlalu rendah, iaitu RM100 sebulan.

Petikan: Berita Harian Online

Monday, February 6, 2012

Murid di Seoul Tak Banyak Rehat

SEOUL: Murid sekolah rendah di ibu negara menghabiskan masa purata 195.6 minit sehari dalam aktiviti santai, iaitu hampir sama dengan purata masa yang dihabiskan pelajar sekolah menengah iaitu 195.2 minit, menurut laporan agensi kerajaan, Institut Polisi Belia Nasional.

Akhbar Korean Herald melaporkan, kajian itu dibuat terhadap 1,745 pelajar sekolah rendah, menengah dan tinggi di Seoul akhir tahun lalu.
Ibu bapa warga Korea Selatan dikenali dengan semangat pendidikan sering meletakkan tekanan terhadap pelajar untuk mendapatkan gred baik dan memasuki universiti berprestij.
Graduan dari kolej elit dianggap mudah mendapatkan kejayaan dalam kerjaya dan mempunyai masa depan yang stabil.

Laporan itu dilihat sebagai petunjuk murid sekolah rendah walaupun menghabiskan sedikit masa berbanding pelajar lebih tua, tetapi terpaksa menghabiskan masa lapang mereka belajar di institusi swasta dan terbabit dengan aktiviti kurikulum.

Secara purata pelajar sekolah menengah menghabiskan masa 241.2 minit – Agensi

Petikan: Berita Harian Online

Saturday, February 4, 2012

430,000 Guru Tidak Setuju SBPA

KUALA LUMPUR: Seramai 430,000 guru dari seluruh negara tidak bersetuju dengan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan meminta kerajaan menimbang semula kepentingan penjawat awam, terutama golongan pendidik, dalam mesyuarat anjuran Majlis Permuafakatan Kesatuan Persatuan Guru (MPKPG) di Taman Setiawangsa, di sini, semalam.

Pengerusinya, Jemale Paiman berharap kerajaan menimbang seadil-adilnya rumusan mesyuarat yang diputuskan bersama 320 pemimpin kesatuan dengan memberi tempoh lapan hari.


Beliau berkata, selain Ceupacs sebagai panel tetap, wakil peguam dan JPA sebagai sekretariat, tiga wakil khas mewakili warga pendidik dilantik untuk berjumpa atau berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi tujuan penambahbaikan pelaksanaan SBPA, terutama bagi membela nasib golongan berkenaan.


“Kami mendapati ada klausa kurang jelas dalam pelaksanaan SBPA, misalnya tidak mengambil kira kenaikan gaji tahunan antara tujuh hingga 13 peratus untuk menampung kos sara hidup yang makin tinggi.


“Disebabkan golongan pendidik sektor penting dalam pembangunan negara, perkara itu harus dipertimbangkan sebaik-baiknya.

Petikan: myMetro 5 Februari 2012

Pindah Gaji SSM Kepada SBPA

CUEPACS kemuka formula perpindahan gaji untuk semakan semula skim baru

SIBU: CUEPACS akan mengemukakan formula perpindahan gaji daripada Skim Saraan Malaysia kepada Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) untuk dipertimbangkan dalam semakan semula skim baru itu.
Timbalan Presiden 1 CUEPACS, Aziz Muda, berkata perpindahan gaji berkenaan mengambil kira gaji maksimum dan kekananan supaya ia diterima baik oleh semua penjawat awam.
“Setakat ini, kenaikan gaji penjawat awam dalam SBPA tidak jelas dan mengelirukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam Kesatuan Sekerja Lembaga Air Sibu (SWBEU), di sini, malam kelmarin.

Beliau berkata, hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi iaitu sekitar RM45,000 setahun menjelang 2020 tidak akan tercapai dengan kadar gaji yang diperkenalkan SBPA sebelum ini.

Sementara itu, CUEPACS mengemukakan lima tuntutan utama yang akan menjadi petunjuk tuntutannya kepada kerajaan bagi memastikan penambahbaikan berlaku secara menyeluruh pada pelaksanaan SBPA.

Beliau berkata berdasarkan perkembangan semasa, CUEPACS yakin lima asas utama itu akan dipertimbangkan pasukan petugas khas SBPA.
“Sekiranya lima asas utama tuntutan ini masih tidak diterima oleh jawatankuasa, CUEPACS juga tidak akan menerima pandangan mereka. Ini kerana penambahbaikan tidak berlaku.

“Kalau ini (penambahbaikan) tidak berlaku, ia akan menyebabkan rasa tidak puas hati (di kalangan penjawat awam) berterusan,” katanya. – BERNAMA

Petikan: Berita Harian Online 5 Februari 2012

Friday, February 3, 2012

Bank Negara Mungkin Naikkan Kadar Faedah 0.25 Peratus

BANK Negara Malaysia berkemungkinan menaikkan kadar faedah sebanyak 0.25 peratus pada separuh kedua tahun ini jika tekanan terhadap inflasi terus meningkat, kata OSK Invesment Bank Bhd.

"Bank Negara mempunyai ruang untuk menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) jika diperlukan, tetapi memandangkan risiko yang ada, kami menjangka ia akan mengekalkannya pada 3.0 peratus, bagi sekurang-kurangnya dalam tempoh separuh pertama ini," kata bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya.
Katanya, ia percaya bank pusat akan menurunkan OPR, hanya jika persekitaran ekonomi global terus merosot.
Pada Selasa lalu, Bank Negara memutuskan untuk mengekalkan OPR pada kadar tiga peratus.

OSK Investment berkata, kemungkinan besar, risiko cenderung kepada kenaikan kadar kerana tekanan inflasi dijangka meningkat susulan perbelanjaan penggunaan awam dan swasta yang kukuh.

Namun ia berkata, inflasi tidak dijangka memberi ancaman kepada ekonomi negara.

Bank pelaburan itu menjangkakan kesan asas yang positif dan pertumbuhan perlahan ekonomi global akan mengurangkan inflasi tahun ini yang dijangka sederhana pada 2.7 peratus.
Sementara itu, MIDF Research berkata kebimbangan masih lagi berkisar sekitar keadaan kewangan dan ekonomi global.

Masalah seperti krisis hutang Eropah dan kemudahruapan pasaran yang meningkat dijangka terus memberi tekanan kepada pertumbuhan di negara maju dan meningkatkan risiko negatif kepada pertumbuhan ekonomi global, katanya.

Firma penyelidikan itu menjangkakan Bank Negara akan mengekalkan kadar faedah pada paras semasa tahun ini, memandangkan keadaan kewangan dan ekonomi global masih tidak menentu serta pertumbuhan ekonomi domestik cenderung kepada perbelanjaan swasta, yang dilengkapkan dengan perbelanjaan awam.

Petikan: Berita Harian Online 3 Februari 2012

Lambakan 13,000 Guru Sains, Matematik

Pendidik mula terima kesan kekurangan pelajar sehingga terpaksa mengajar subjek lain

TANJUNG MALIM: Seramai 13,000 graduan mengajar Sains dan Matematik di seluruh negara mula menerima kesan penurunan pelajar mengambil jurusan sains sehingga ada yang terpaksa mengikuti latihan semula subjek lain.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Kementerian Pelajaran perlu menghantar graduan ke universiti untuk dilatih kemahiran baru bagi mengelak berlaku pengangguran.
“Kalau kita hantar mereka ke sekolah untuk mengajar Sains dan Matematik sedangkan pelajar tidak berminat, keadaan itu tidak wajar,” katanya pada sidang media selepas melawat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Rujhan Mustafa dan Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Tan Sri Abi Musa Assari Mohamed Nor.

Mohamed Khaled mengulas taklimat Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Zakaria Kasa yang berkata, berlaku lambakan 13,000 graduan Sains dan Matematik seluruh negara yang dihantar ke universiti itu untuk latihan semula.

Turut menyumbang masalah ialah perubahan dasar persaraan wajib penjawat awam daripada 58 tahun kepada 60 tahun.
Bagaimanapun, Zakaria berkata, masalah itu tidak berlaku di UPSI berikutan usahanya menawarkan subjek minor seperti Sejarah kepada pelajar jurusan Sains dan Matematik bagi mengelak berlaku pembaziran tenaga pengajar.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan guru opsyen Matematik dan Sains terpaksa mengajar pelbagai subjek lain, termasuk Pendidikan Jasmani dan Pengetahuan Agama Islam berikutan lebihan guru di sekolah di seluruh negara.

Mohamed Khaled pada amanat tahun barunya dilaporkan berkata, sejak 2007, peratus pelajar mengambil jurusan sains menurun sehingga 29 peratus tahun ini.

Keadaan itu berterusan ke peringkat universiti, jika berlanjutan boleh membantutkan usaha meningkatkan inovasi teknologi ke arah transformasi ekonomi negara maju berpendapatan tinggi.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled berkata, pihaknya bangga UPSI muncul universiti pertama menubuhkan sekolah makmal yang menempatkan sekolah bermula prasekolah sehingga Tingkatan Enam Atas di kawasan universiti.

Katanya, ketika ini 70 murid berpeluang mengikuti sesi belajar peringkat prasekolah dan pengambilan pertama murid Tahun Satu bermula sesi pengajian tahun depan, membabitkan 50 murid yang dibahagikan kepada dua kelas.

Katanya, pelaksanaan sekolah makmal ini adalah secara berperingkat dan apabila dilaksanakan sepenuhnya kemasukan keseluruhan pelajar adalah 600 orang.

Petikan: Berita Harian Online 3 Februari 2012

Harga Emas, Minyak Naik Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Harga emas dan minyak dijangka naik tahun ini ekoran sentimen positif bagi kedua-dua komoditi itu dalam kelembapan ekonomi global, kata Standard Chartered Bank.

Ketua Pakar Strategi pelaburan pengurusan kekayaan kumpulan perbankan konsumernya, Steve Brice, berkata harga emas dijangka mencecah purata AS$1,975 seauns dalam suku keempat, disebabkan oleh empat faktor.
"Faktor-faktor itu ialah tahap hutang yang tinggi di Barat; kadar faedah sebenar yang negatif; permintaan tinggi dari China dan India serta bank-bank pusat; dan bekalan terhad logam berharga itu," katanya dalam satu taklimat media di sini hari ini.
Beliau berkata keadaan tidak menentu ekonomi global yang berterusan telah merangsang minat terhadap emas sebagai alternatif lindung nilai berbanding pelaburan yang lebih berisiko.

Beliau berkata harga minyak dijangka meningkat kepada AS$100 setong dalam tempoh enam bulan kedua tahun ini ekoran risiko geopolitik di Timur Tengah dan permintaan kukuh dari pasaran-pasaran baru muncul, terutama China.

"Kami tidak menjangkakan sebarang penurunan harga minyak tahun ini," katanya.

Mengenai ekuiti, beliau berkata bank itu membuat saranan 'neutral' ke atas pasaran ekuiti Malaysia.
Brice berkata pasaran ekuiti negara ini mencatatkan prestasi kukuh tahun lalu secara relatif.

Bagaimanapun, katanya, harga ekuiti telah meningkat selepas itu dan lebih mahal sekarang. - BERNAMA

Petikan: Berita Harian Online