BANK Negara Malaysia berkemungkinan menaikkan kadar faedah sebanyak 0.25 peratus pada separuh kedua tahun ini jika tekanan terhadap inflasi terus meningkat, kata OSK Invesment Bank Bhd.
"Bank Negara mempunyai ruang untuk menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) jika diperlukan, tetapi memandangkan risiko yang ada, kami menjangka ia akan mengekalkannya pada 3.0 peratus, bagi sekurang-kurangnya dalam tempoh separuh pertama ini," kata bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya.
Katanya, ia percaya bank pusat akan menurunkan OPR, hanya jika persekitaran ekonomi global terus merosot.
Pada Selasa lalu, Bank Negara memutuskan untuk mengekalkan OPR pada kadar tiga peratus.
OSK Investment berkata, kemungkinan besar, risiko cenderung kepada kenaikan kadar kerana tekanan inflasi dijangka meningkat susulan perbelanjaan penggunaan awam dan swasta yang kukuh.
Namun ia berkata, inflasi tidak dijangka memberi ancaman kepada ekonomi negara.
Bank pelaburan itu menjangkakan kesan asas yang positif dan pertumbuhan perlahan ekonomi global akan mengurangkan inflasi tahun ini yang dijangka sederhana pada 2.7 peratus.
Sementara itu, MIDF Research berkata kebimbangan masih lagi berkisar sekitar keadaan kewangan dan ekonomi global.
Masalah seperti krisis hutang Eropah dan kemudahruapan pasaran yang meningkat dijangka terus memberi tekanan kepada pertumbuhan di negara maju dan meningkatkan risiko negatif kepada pertumbuhan ekonomi global, katanya.
Firma penyelidikan itu menjangkakan Bank Negara akan mengekalkan kadar faedah pada paras semasa tahun ini, memandangkan keadaan kewangan dan ekonomi global masih tidak menentu serta pertumbuhan ekonomi domestik cenderung kepada perbelanjaan swasta, yang dilengkapkan dengan perbelanjaan awam.
Petikan: Berita Harian Online 3 Februari 2012
No comments:
Post a Comment