Sunday, April 1, 2012

Panggilan Percuma Talian Nur 15999 di Sekolah

KUALA LUMPUR: Sebanyak 40,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara bakal menikmati perkhidmatan panggilan percuma Talian Nur 15999 melalui telefon awam mulai Jun depan secara serentak, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno berkata, inisiatif ini selaras dengan usaha berterusan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi memelihara keselamatan kanak-kanak serta remaja yang menghadapi permasalahan sosial.

“Ini adalah peningkatan perkhidmatan yang diberikan di bawah kementerian, khususnya untuk kumpulan sasaran kita seperti orang kurang upaya (OKU), wanita, keluarga, kanak-kanak serta warga emas membabitkan isu kebajikan dan pembangunan sosial.

“Kita mahu memberi penekanan kepada aduan dibuat kanak-kanak kerana kementerian menggabungkan ‘child line’ dengan Talian Nur 15999 bagi memastikan kanak-kanak lebih mudah menghubungi talian itu dan kita beri secara percuma,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan KAR1SMA Komuniti KPWKM 2012, di sini, semalam. Mengenai kemungkinan perkhidmatan itu disalahgunakan, beliau tidak menolak perkara itu, namun kementerian bersedia menghadapi serta menangani pelbagai kerenah. - Bernama

Petikan: myMetro Online

No comments:

Post a Comment