Tuesday, August 31, 2010

Guru Kena Kreatif Pupuk Perpaduan

Aktiviti dalam, luar bilik darjah mampu wujud integrasi kaum di kalangan murid: TPM


KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta sekolah dan guru lebih kreatif serta menggunakan kebijaksanaan mereka menyusun aktiviti dalam dan luar bilik darjah bagi memastikan pembabitan murid pelbagai kaum, selaras usaha memupuk perpaduan di peringkat awal.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, perpaduan di kalangan murid sudah terjalin secara tidak langsung melalui aktiviti berkenaan tanpa disedari dan menjadi tanggungjawab sekolah dan guru untuk terus memupuk serta menjaganya sebaik mungkin.

“Saya percaya murid pelbagai kaum dan latar belakang tidak menghadapi masalah untuk belajar bersama-sama dalam satu bilik darjah, menyertai acara sukan dan kokurikulum serta menyokong pasukan rumah sukan masing-masing tanpa mengira perbezaan warna kulit.

“Pembabitan murid pelbagai kaum dalam aktiviti itu memberi ruang kepada mereka berinteraksi secara langsung dan seterusnya mewujudkan persefahaman. Inilah yang perlu terus dipupuk dan dijaga sebaik mungkin kerana murid bakal pemimpin negara,” katanya dalam perutusan Hari Kemerdekaan ke-53, semalam.

Muhyiddin amat berharap generasi harapan negara itu dapat meneruskan kelangsungan hidup bersatu padu pada masa depan demi menjaga warisan kemerdekaan, selain menguasai ilmu dan kemahiran pelbagai bidang.

“Saya juga meminta murid menghayati dan memahami erti kemerdekaan dengan keinsafan kerana hanya dengan cara itu saja, baru mampu menggalas tanggungjawab menjadikan kemerdekaan ini milik kita selama-lamanya. Jika tidak berhati-hati dan asyik bertelagah sesama sendiri, keharmonian dan kebebasan yang kita nikmati tidak akan bertahan lama,” katanya.

Muhyiddin juga berkata, Kementerian Pelajaran terus komited untuk menumpukan kepada empat sub Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) sebagai penjana transformasi pendidikan merangkumi usaha meluaskan dan memantapkan pendidikan prasekolah, meningkatkan kadar literasi dan numerasi, mewujudkan sekolah berprestasi tinggi serta mengiktiraf pengetua dan guru besar yang menunjukkan prestasi cemerlang.

Justeru, guru harus sentiasa bersedia menjadi penggerak transformasi dengan berusaha menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran, merapatkan jurang pencapaian murid tanpa mengira latar belakang kaum dan sosio ekonomi serta membantu meningkatkan prestasi sekolah dalam semua bidang.

“Guru juga perlu ikhlas dalam mendidik dengan bertunjangkan matlamat pembinaan negara bangsa, serta
menjunjung aspirasi perpaduan selaras dengan semangat dan cita-cita 1Malaysia,” katanya.

Petikan: Berita Harian Online 1 September 2010 (Zanariah Abd Mutalib)

Pendidikan Malaysia Berkualiti – Puad

JEMPOL: Kedudukan Malaysia yang disenaraikan sebagai lapan terbaik dalam kategori pendidikan di kalangan negara berpendapatan sederhan atas, membuktikan bahawa sistem pendidikan negara adalah berkualiti, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.


Beliau berkata banyak faktor yang menyumbang kepada kejayaan tersebut yang faktor utamanya ialah berkaitan dasar pelajaran negara yang sentiasa relevan dengan keperluan semasa terutama dalam bidang sains dan matematik.

"Yang kedua, fokus tinggi kerajaan dalam bidang pendidikan di mana setiap tahun kerajaan memperuntukkan jumlah yang besar untuk bidang pendidikan.

"Yang ketiga, kejayaannya juga banyak berpunca daripada kualiti guru di mana kita berjaya melahirkan guru-guru berkualiti dan terlatih," katanya kepada pemberita di sini pad Selasa.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan survei Newsweek mengenai "Negara-negara Terbaik", yang turut meletakkan Malaysia di ranking ke-37 dalam senarai dari penyediaan ekonomi, politik, pendidikan, kesihatan dan kualiti kehidupan. -BERNAMA

Petikan: mStar Online 31 Ogos 2010

Pemandu Disenarai Hitam Boleh Bayar Saman Secara Ansuran Hingga 28 Februari 2011

KUALA LUMPUR: Pemandu kenderaan yang disenaraihitamkan boleh membayar saman mereka secara ansuran sehingga 28 Februari tahun depan, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Solah Mat Hassan.

Beliau berkata perkara itu diputuskan bagi membolehkan orang ramai memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan mereka setelah mendengar alasan, aduan dan rayuan orang ramai dan ahli jemaah menteri berkaitan masalah itu.

"Selepas 1 Mac, kena bayar penuh...mata demerit juga akan disambung semula," katanya ketika ditemui pemberita di kaunter JPJ, Terminal Bas Sementara Bukit Jalil, di sini, Selasa.

Pada 11 Ogos lepas, Kabinet memutuskan untuk menarik balik tindakan menyenarai hitam pemilik kenderaan yang masih belum menjelaskan saman buat sementara waktu.

Tempoh penarikan itu juga diambil kira ekoran musim perayaan yang bermula dengan sambutan Aidilfitri diikuti Deepavali, Krismas dan Tahun Baru Cina. Solah berkata bayaran saman secara ansuran itu boleh dibuat mengikut kemampuan pemandu.

Sementara itu, Solah berkata pihak JPJ juga akan membuat pemantauan terhadap perkhidmatan teksi selain bas, daripada segi tambang, penggunaan meter dan kerjasama daripada segi pengambilan penumpang.

"Pemandu teksi yang mengenakan tambang secara lebihan, tidak menggunakan meter dan enggan mengambil penumpang akan dikenakan tindakan seperti bayaran kompaun," katanya.

Mengulas isu "ulat tiket", Solah menasihatkan orang ramai agar membeli tiket yang sah di 92 kaunter yang terdapat di terminal bas dan bukannya dari ulat-ulat tiket sempena sambutan Aidilfitri akan datang.

"Tiket masih ada...pihak Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP)akan tambah jumlah bas seperti bas sekolah dan bas kilang jika perlu. Masalah kehabisan tiket jelas tidak berbangkit," katanya. -BERNAMA

Petikan: mStar Online 1 September 2010

Monday, August 30, 2010

Selamat Hari Merdeka

Warga SMTMS mengucapkan Selamat Hari Merdeka kepada pengunjung blog SMT Muadzam Shah. Malaysia negaraku tercinta...

Saturday, August 28, 2010

Duit Raya RM500 Dibayar 1 September

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan membayar Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada lebih 1.24 juta petugas awam pada 1 September ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan berkata, pembayaran bagi pesara melalui sistem pembayaran melalui bank pula akan dilakukan pada 6 September manakala bagi pesara yang dibayar melalui waran akan diposkan sebelum tarikh tersebut.

Jabatan itu berkata, pegawai yang layak terdiri daripada pegawai tetap, sementara, sangkut, sambilan, kontrak, guru sandaran dan pegawai yang bercuti separuh gaji.

Rabu lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan akan membayar Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 sebagai tanda keprihatinan dan penghargaan terhadap sumbangan pegawai dalam pembangunan negara.

Petikan : Kosmo Online 28 Ogos 2010

Wednesday, August 25, 2010

CUEPACS Terima Kasih Kepada Kerajaan Atas Bantuan Khas Kewangan

2010/08/25

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Persatuan Pesara Kerajaan berterima kasih kepada kerajaan atas pemberian bantuan khas kewangan RM500 kepada penjawat awam dan golongan pesara seperti yang diumumkan hari ini.

Presiden CUEPACS, Omar Osman, berkata pemberian bantuan khas kewangan bagi Gred 1 hingga 54 dan pesara kerajaan itu akan meringankan beban mereka ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri bulan depan.

"Kami berterima kasih kepada kerajaan atas pemberian itu, ini sebagai bantuan sumbangan perayaan yang bakal menjelang. Kami sebelum ini memohon bonus sekurang-kurang RM1,000 atau dua bulan gaji kepada semua penjawat awam," kata ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Beliau juga berharap kerajaan akan mempertimbangkan bonus yang lebih tinggi pada pembentangan Bajet 2011 pada 15 Oktober ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan pemberian bantuan khas itu yang akan membabitkan lebih 1.24 juta penjawat awam dan dan 590,000 pesara kerajaan.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan itu diambil selepas mengambil kira kebajikan penjawat awam dan pesara kerajaan terutamanya bagi meringankan beban kos persediaan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pesara Kerajaan, Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawanteh, berkata pihaknya amat berpuas hati kerana golongan pesara tidak dipinggirkan.
"Kita ucapkan terima kasih dan menghargai keprihatinan Perdana Menteri yang mana setiap kali pemberian bonus atau bantuan khas, kerajaan tidak melupakan golongan pesara yang telah berkhidmat kepada negara," katanya.

Raja Wan Mahmood berkata, pemberian itu menunjukkan keprihatinan Najib terhadap golongan pesara selain
meringankan beban yang ditanggung oleh golongan berpendapatan rendah. - Bernama

Petikan: Berita Harian Online

Najib Umum Duit Raya Untuk Petugas Awam dan Pesara

2010/08/25

KUALA LUMPUR: Lebih 1.24 juta petugas awam dan 590,000 pesara kerajaan mendapat durian runtuh apabila kerajaan hari ini mengumumkan akan membayar Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dalam satu kenyataan hari ini bahawa bayaran itu adalah untuk petugas dalam Gred 1 hingga 54 dan pesara kerajaan dan akan dibuat sebelum 1 Syawal.

"Keputusan ini diambil selepas mengambil kira kebajikan kakitangan awam dan pesara Kerajaan terutamanya bagi meringankan beban kos persediaan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri," kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Menurut beliau bayaran itu membabitkan perbelanjaan sebanyak RM934.6 juta iaitu RM639.6 juta bagi petugas awam dan RM295 juta bagi pesara. -Bernama

Petikan:  Mymetro

Tuesday, August 24, 2010

Taklimat SPM 2010

Taklimat peperiksaan SPM 2010 oleh setiausaha peperiksaan Sekolah Menengah Teknik Muadzam Shah. Dengan tibanya jadual peperiksaan SPM, tentunya bahang peperiksaan semakin dirasai. Selamat berusaha...

Pelajar tekun mendengar...

Antara calon SPM 2010








Dari kiri: SU Peperiksaan, Pengetua dan GPK1.

Monday, August 16, 2010

Hari Pendidikan 2010

Hari Pendidikan SMTMS yang ke 17 telah diadakan pada 4 Ogos 2010. Hari pendidikan ini diadakan bagi menghargai pelajar yang cemerlang dalam akademik dan kokurikulum, disamping turut menghargai sumbangan dan perkhidmatan cemerlang para guru serta kakitangan SMTMS.

Pada tahun ini sambutan hari pendidikan begitu meriah dan dirasmikan oleh Penolong Pegawai Daerah Rompin iaitu Cik Sabrina binti Long.  Di sekitar Dewan Teknokrat pula terdapat pelbagai pameran oleh beberapa institusi pendidikan dan juga daripada pihak sekolah sendiri. Persembahan kawad kaki kadet polis, persembahan silat, dikir barat dan pentomin oleh pelajar juga menambahkan lagi seri suasana.

Pihak sekolah mengucapkan tahniah kepada para guru, pelajar dan kakitangan yang terlibat dalam Hari Pendidikan ke 17 ini. Semoga budaya kerja berpasukan ini kekal dan diteruskan sampai bila-bila. Guru Cemerlang, Pelajar Gemilang, Sekolah Terbilang.













Program Kecemerlangan Matematik

Panitia matematik telah mengadakan Program Kecemerlangan Matematik melibatkan semua pelajar tingkatan 5 Kejuruteraan Awam dan 5 Binaan Bangunan pada 14 Ogos 2010 bertempat di Dewan Teknokrat.

Program ini membincangkan teknik-teknik menjawab soalan SPM kertas 1 dan kertas 2 dengan lebih berkesan.

Antara guru-guru yang terlibat ialah En. Aidil bin Abu Bakar, Pn. Rahaiza binti Othman, En. Mohd Kamaruddin bin Mohd Noor dan Cik Norhidayah binti Ramlee.

Semoga program ini dapat meningkatkan prestasi pelajar dalam mata pelajaran matematik dalam SPM 2010. Selamat maju jaya.






Sunday, August 15, 2010

Selamat Berpuasa

Sekolah Menengah Teknik Muadzam Shah (SMTMS) mengucapkan selamat berpuasa kepada guru-guru, kakitangan sekolah, pelajar, bekas guru dan pelajar serta pengunjung  blog SMT-MuadzamShah. Selamat mengunjungi blog rasmi sekolah.