KUALA LUMPUR: Pemandu kenderaan yang disenaraihitamkan boleh membayar saman mereka secara ansuran sehingga 28 Februari tahun depan, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Solah Mat Hassan.
Beliau berkata perkara itu diputuskan bagi membolehkan orang ramai memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan mereka setelah mendengar alasan, aduan dan rayuan orang ramai dan ahli jemaah menteri berkaitan masalah itu.
"Selepas 1 Mac, kena bayar penuh...mata demerit juga akan disambung semula," katanya ketika ditemui pemberita di kaunter JPJ, Terminal Bas Sementara Bukit Jalil, di sini, Selasa.
Pada 11 Ogos lepas, Kabinet memutuskan untuk menarik balik tindakan menyenarai hitam pemilik kenderaan yang masih belum menjelaskan saman buat sementara waktu.
Tempoh penarikan itu juga diambil kira ekoran musim perayaan yang bermula dengan sambutan Aidilfitri diikuti Deepavali, Krismas dan Tahun Baru Cina. Solah berkata bayaran saman secara ansuran itu boleh dibuat mengikut kemampuan pemandu.
Sementara itu, Solah berkata pihak JPJ juga akan membuat pemantauan terhadap perkhidmatan teksi selain bas, daripada segi tambang, penggunaan meter dan kerjasama daripada segi pengambilan penumpang.
"Pemandu teksi yang mengenakan tambang secara lebihan, tidak menggunakan meter dan enggan mengambil penumpang akan dikenakan tindakan seperti bayaran kompaun," katanya.
Mengulas isu "ulat tiket", Solah menasihatkan orang ramai agar membeli tiket yang sah di 92 kaunter yang terdapat di terminal bas dan bukannya dari ulat-ulat tiket sempena sambutan Aidilfitri akan datang.
"Tiket masih ada...pihak Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP)akan tambah jumlah bas seperti bas sekolah dan bas kilang jika perlu. Masalah kehabisan tiket jelas tidak berbangkit," katanya. -BERNAMA
Petikan: mStar Online 1 September 2010
No comments:
Post a Comment