Monday, September 27, 2010

Kursus Kemahiran Pelajar Gagal SPM

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu akan menyediakan kursus kemahiran kepada semua pelajar yang gagal dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, kerajaan negeri akan menanggung segala perbelanjaan pelajar berkenaan untuk mengikuti kursus kemahiran tersebut.

"Kita mahu semua pelajar yang gagal dalam SPM memiliki kemahiran agar dapat membantu keluarga mereka keluar dari kepompong kemiskinan," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Ekspo Pendidikan Terengganu 2010, di sini, hari ini.

Katanya, pelajar lepasan SPM akan diberi peluang mengikuti kursus kemahiran di pusat latihan di bawah kerajaan negeri dan mereka yang terpilih mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan diberi pengecualian.

Menurutnya lebih 25,000 pelajar akan menduduki peperiksaan SPM di negeri itu pada tahun ini dan hampir 4,000 daripada mereka dijangka gagal berdasarkan keputusan percubaan baru-baru ini. - Bernama

Petikan: Kosmo Online, 27 September 2010.

No comments:

Post a Comment