Saturday, September 25, 2010

Sistem Pendidikan Vokasional Akan Dirombak: Muhyiddin

MUAR - Sistem Pendidikan Vokasional Negara akan dirombak bagi membolehkan pelajar mengikuti aliran vokasional lebih awal iaitu selepas Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah itu adalah selaras dengan sasaran Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) untuk memastikan 20 peratus pelajar mengikuti aliran vokasional berbanding 10 peratus pada waktu ini.

"Pada dasarnya saya bersetuju ia diawalkan pelajar ini memasuki bidang kemahiran, ini memang dalam penelitian kementerian. Ini kerana mungkin lebih awal maka lebih panjang mereka berada dalam bidang itu dan kemahiran mereka lebih baik," katanya selepas merasmikan Program Melonjakkan Kecemerlangan Pendidikan Pagoh 2010 Dewan Sri Pekembar, Pagoh dekat sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, rombakan tersebut dijangka memberi lonjakan besar kepada pendidikan vokasional negara kerana ia mengandungi elemen penambahbaikan seperti skop dan sukatan mata pelajaran, kemudahan infrastuktur, keperluan industri, tenaga pengajar dan penglibatan pihak swasta.

Timbalan Perdana Menteri mengulas laporan akhbar hari ini yang memaparkan cadangan para pembaca blog 1Malaysia Perdana Menteri untuk input Belanjawan 2011 yang antara lain meminta kerajaan mengembangkan rakyat Malaysia yang berpotensi
menjadi buruh berkualiti dalam aspek kemahiran.

Muhyiddin berkata, ketika ini bidang vokasional hanya diambil oleh pelajar lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan jumlah pelajar aliran vokasional negara masih kecil berbanding negara lain.

Sedangkan, katanya, negara memerlukan sekurang-kurangnya 3.3 juta pekerja mahir dalam tempoh 10 tahun bagi memenuhi keperluan industri negara mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP).

"Pada awal tahun depan, rakyat boleh diberitahu mengenai transformasi vokasional ini dengan lebih jelas dan pada masa yang sama kita tidak mahu ibu bapa menganggap bahawa bidang vokasional adalah pilihan kedua, ini perlu diperbetulkan," katanya.

Menurutnya, kebanyakan negara maju termasuk Perancis mempunyai jumlah pelajar vokasional yang tinggi manakala di Indonesia sebanyak 40 peratus pelajar mereka adalah dalam bidang vokasional.

Sebanyak 60 peratus daripada pelajar di Thailand turut mengikuti aliran kemahiran.

Petikan: Sinar Harian Online, 25 September 2010.

No comments:

Post a Comment