Monday, November 8, 2010

300,000 Komputer Riba Diagih

Pelajar daripada keluarga miskin, berpendapatan rendah diberi ‘Netbook 1Malaysia’

CYBERJAYA: Sebanyak 300,000 unit komputer riba lagi akan diagihkan kepada pelajar daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah dalam tempoh tiga bulan mulai Disember ini dalam fasa kedua program ‘Netbook 1Malaysia’.

Pemangku Pengarah Kanan, Bahagian Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Zulkarnain Mohd Yassin, berkata ia adalah antara projek di bawah fasa dua program USP yang menyediakan peruntukan kira-kira RM3.3 bilion bagi tempoh tiga tahun dari 2009 hingga 2011.


 “Program ‘Netbook 1Malaysia’ menyediakan peruntukan RM1 bilion dan setakat ini sebanyak 123,000 komputer riba sudah diagihkan kepada mereka yang layak,” katanya pada sesi soal jawab selepas majlis taklimat media di sini, semalam.

Difahamkan majlis itu diadakan berikutan timbul rungutan pelbagai pihak mengenai sistem agihan komputer riba itu yang dianggap tidak adil serta gagal mencapai matlamat yang ditetapkan.

Pengagihan satu juta komputer riba 1Malaysia itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Mac lalu ketika melancarkan inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) dan Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB), bagi memberi peluang kepada pelajar sekolah menengah serta institusi pengajian tinggi yang berkelayakan mendapat akses internet jalur lebar.

Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata, selain agihan komputer riba, fasa kedua program USP itu turut membabitkan pembinaan Pusat Jalur Lebar Komuniti Mini dengan RM10 juta, Pusat Jalur Lebar Komuniti ke Rumah (RM150 juta), perluasan rangkaian (RM40 juta) dan Kampung WiFi (RM520 juta).

“Dalam fasa pertama, SKMM membelanjakan kira-kira RM1.5 bilion bagi program USP antaranya untuk kemudahan telefoni asas (RM629 juta), Menara Komunikasi Lebuhraya Timur Barat (RM64.7 juta) dan Pusat Jalur Lebar Komuniti (RM527.7 juta),” katanya.

Mengenai kos bagi setiap komputer riba 1Malaysia, beliau berkata, kira-kira RM1,000 dibelanjakan bagi setiap komputer riba yang diberi nama ‘Idola’ itu termasuk pemasangan anti virus dan perisian Microsoft.

Dalam pada itu, mengulas usaha untuk mengelakkan komputer itu dijual oleh penerima bantuan, katanya, pihaknya sudah melaksanakan pelbagai mekanisme bagi membendung perkara itu termasuk mewajibkan mereka mendaftar dengan Pusat Jalur Lebar Komuniti dan mengikuti kelas komputer yang ditetapkan.

Terdahulu, pada ucapan aluan majlis taklimat, Pengerusi SKMM, Tan Sri Khalid Ramli, berkata suruhanjaya maklum mengenai perhatian yang diberikan pihak media kepada pihaknya yang berfungsi sebagai pemaju dan penguat kuasa sektor komunikasi dan multimedia di negara ini.

Petikan: Berita Harian 9 November 2010.

No comments:

Post a Comment