KUALA LUMPUR: Pembelajaran mata pelajaran kemahiran vokasional dan teknikal perlu dimulakan dari Tingkatan 1 untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar yang lemah dari segi akademik mempelajari pelbagai aspek kemahiran, cadang Umno Wilayah Persekutuan.
Ketua Pemuda Umno Cheras, Syed Medhar Syed Abdullah berkata, peluang-peluang kemahiran itu perlu diberikan kepada para pelajar yang dikenal pasti lemah dan sederhana dalam bidang akademik di peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
"Selepas sahaja pelajar-pelajar ini menduduki UPSR, kita dah dapat kenal pasti ada yang cemerlang, lemah, baik dan sederhana. Bagi yang lemah dan sederhana, kita tahu mereka tidak boleh pergi kepada akademik," katanya semasa membahas usul agama dan pendidikan pada Perhimpunan Agung Umno 2010 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini hari ini.
Cadangan itu turut dibangkitkan oleh wakil Pemuda Umno, Mohd Gasing Saling, yang mahu supaya Kementerian Pelajaran memartabat aliran vokasional, di samping mengangkatnya menjadi aliran pilihan, dan menurutnya persepsi negatif pelajar vokasional yang dikatakan pilihan pelajar lemah, harus dihapus.
Ketua pemuda Kalabakan itu berkata, di Eropah penyertaan pelajar dalam aliran vokasional mencapai 50 peratus dari keseluruhan pelajar dan menjadi cabang pendidikan yang diminati pelajar serta ibu bapa.
Malah pelajar diberi pilihan untuk mengikuti aliran vokasional sejak Tingkatan Satu dan bukan hanya di Tingkatan 4 seperti yang berlaku sekarang. Beliau juga berkata, kerajaan perlu melihat mengenai gaji graduan pusat kemahiran yang masih rendah iaitu RM500 hingga RM700 sebulan walaupun mempunyai tahap pendidikan kemahiran yang tinggi. - Bernama
Petikan: myMetro
No comments:
Post a Comment