Showing posts with label Kakitangan Awam. Show all posts
Showing posts with label Kakitangan Awam. Show all posts

Tuesday, July 3, 2012

Penjawat Awam Digesa Ubah Mentaliti Cara Kerja

KUALA LUMPUR: Penjawat awam perlu melakukan anjakan sikap drastik seiring dengan gagasan dan usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju.

Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata penjawat awam tidak seharusnya berasa selesa berada pada takuk lama sehingga pencen dan sentiasa cepat berpuas hati dengan pencapaian serta urusan harian yang biasa. “Penjawat awam perlu menyahut saranan Perdana Menteri sebagai satu cabaran bagi meningkatkan daya saing mereka. Mahu naik gaji tapi sikap pada tahap lama tidak mahu berubah macam mana?

“Kita menyokong untuk menjadikan penjawat awam berpendapatan tinggi tapi mesti seimbangkan pendapatan dengan sikap serta kerja yang dilakukan,” katanya hari ini, semalam.

Kelmarin, Najib berkata, penjawat awam perlu sentiasa mengambil sikap Cepat, Tepat dan Integriti (CTI) sebagai panduan dalam melaksanakan tugas harian. Sikap itu pula perlu disokong dengan satu lagi akronim - PCI - ‘Productivity, Creativity and Inovation’ (Produktiviti, Kreativiti dan Inovasi).

Perdana Menteri yang dikenali ramai sebagai ‘peminat bola,’ turut memberi contoh kejayaan Sepanyol menjuarai Euro 2012 menumpaskan Itali 4-0 yang menurutnya dicapai apabila pasukan itu menampilkan pendekatan baru dengan beraksi tanpa pemain penyerang, sebaliknya bergantung kepada enam pemain tengah untuk menjaringkan gol.

Omar berkata, bahagian latihan dan sumber manusia setiap agensi kerajaan perlu memainkan peranan dalam membentuk minda penjawat awam supaya mampu berfikir di luar daripada kebiasaan bagi menyelesaikan masalah dihadapi rakyat.

“Dengan menggunakan kaedah bukan konvensional, mekanisme baru bagi menyelesaikan masalah rakyat dan melakukan kerja harian akan terbentuk dan mekanisme ini akan membantu penjawat awam melaksanakan tanggungjawab mereka dengan lebih baik dan berkesan,” katanya. - BERNAMA

Petikan: Berita Harian Online

Wednesday, March 7, 2012

Pelarasan Gaji Berkuatkuasa 1 Jan

PUTRAJAYA, 8 Mac (Bernama) -- Pelarasan gaji yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak Khamis akan berkuatkuasa 1 Jan tahun ini dan dibayar mulai bulan ini atau April, kata Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman.

Katanya ia berdasarkan kepada perbincangan Cuepacs dengan Perdana Menteri sebaik selesai Perhimpunan Khas Penjawat Awam Bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini di mana pengumuman itu dibuat.

"Sama ada pembayaran akan dibuat secara penuh atau berperingkat, ia bergantung kepada jabatan masing-masing," kata Omar ketika ditemui pemberita selepas itu.

Pada perhimpunan itu Perdana Menteri turut mengumumkan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan mengembalikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang akan ditambah baik.

Najib turut mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 13 peratus untuk Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana Gred 1 hingga 54; sembilan peratus untuk Gred Utama dan Gred Khas C,B dan A; lapan peratus Kumpulan Turus III dan Turus II; dan tujuh peratus untuk Kumpulan Turus I dan Ketua Setiausaha Negara.

Omar berharap pengumuman itu disambut baik 1.4 juta penjawat awam dan tiada lagi suara tidak puas hati sebaliknya mereka perlu membalas keperihatinan kerajaan dengan bekerja lebih rajin serta berusaha meningkatkan produktiviti.

Mengenai penubuhan suruhanjaya yang akan turut disertai wakil Cuepacs untuk mengkaji secara menyeluruh perkhidmatan awam Malaysia, beliau berharap suruhanjaya itu akan memberi tumpuan kepada tuntutan Cuepacs yang lain.

Mengenai Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) beliau berkata, PTK kekal dimansuhkan seperti mana yang diumumkan sebelum ini dan diganti dengan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK).

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Lok Yim Pheng berkata pengumuman Perdana Menteri itu turut menggembira kaum guru.

"Ia jelas menunjukkan golongan pendidik tetap diberi keutamaan oleh kerajaan kerana kenaikan pangkat tidak perlu menunggu masa yang lama iaitu selama 10 tahun," katanya.

Kerajaan mengumumkan akan mengekalkan keputusan penambahbaikan laluan kerjaya berasaskan prinsip "time-based" pegawai Perkhidmatan Pendidikan seperti yang dimumkan dalam Bajet 2012.

-- BERNAMA

Petikan: bernama.com

Thursday, February 23, 2012

Najib Bakal Buat Pengumuman Adil, Saksama Bagi Penjawat Awam

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka membuat pengumuman yang adil dan saksama berkaitan perkhidmatan awam, termasuk mengenai Skim Saraan Malaysia (SSM) dan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Perkara itu dinyatakan Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman selepas mengadakan pertemuan hampir dua jam dengan Perdana Menteri di pejabatnya di sini, hari ini.
Pertemuan itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
"Perkara itu akan diumumkan dalam waktu terdekat dan dijangka memberikan keadilan dan kebaikan untuk semua penjawat awam," katanya tanpa mengulas lanjut mengenai perkara yang bakal diumumkan itu.

Omar berkata, CUEPACS sendiri akan menyambut baik apa sahaja perkara yang bakal diumumkan serta mengucapkan terima kasih di atas kesudian serta kesediaan Perdana Menteri untuk mengadakan perbincangan dan mendengar cadangan demi kebaikan penjawat awam.

"Pertemuan hari ini menyentuh mengenai secara keseluruhan apa tuntutan serta pandangan yang dikemukakan Cuepacs selama ini berhubung permasalahan penjawat awam termasuk mengenai isu SBPA," katanya.

Omar berkata, Perdana Menteri turut menyatakan kesediaan untuk menghadiri perhimpunan besar-besaran yang akan mengumpul seramai 15,000 penjawat awam yang akan diadakan di Stadium Bukit Jalil pada 12 Mac depan. - BERNAMA

Petikan: Berita Harian Online

Tuesday, February 14, 2012

Cuepacs Yakin Masalah SBPA Selesai Awal

PUTRAJAYA 14 Feb. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yakin segala masalah berbangkit berhubung Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan dapat diselesaikan lebih awal iaitu sebelum tempoh ditetapkan untuk pasukan khas itu membuat semakan yang berakhir 16 April ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, selepas bermesyuarat sebanyak tiga kali, pihaknya mendapati anggota jawatankuasa pasukan khas itu juga semakin terbuka dalam mendengar pandangan dan maklum balas daripada Cuepacs.

"Dalam perbincangan hari ini, suasana tenang sedikit selepas dua mesyuarat petugas khas berjalan. Kita berbincang dengan baik dan dalam perbincangan, kita harap SBPA dapat diselesaikan sebaik mungkin," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat ketiga pasukan petugas khas itu di sini hari ini.

Beliau berkata, selain mengambil perhatian mengenai aduan-aduan individu berhubung SBPA, lima tuntutan utama Cuepacs sebelum ini masih dibincangkan pada mesyuarat kali ini.

Lima tuntutan itu ialah mengkaji semula prinsip pemindahan gaji penjawat Gred 54 ke bawah; mengekalkan status kekananan penjawat dalam Skim Saraan Malaysia (SSM); mengkaji semula tangga gaji maksimum; menyenaraikan penjawat yang layak memperoleh kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus dan menyemak semula penstrukturan kenaikan gaji bagi semua gred.

Omar berkata, mesyuarat pasukan petugas khas seterusnya dijangka diadakan pada 22 Februari ini. - BERNAMA

Petikan: Utusan Malaysia Online

Saturday, February 4, 2012

430,000 Guru Tidak Setuju SBPA

KUALA LUMPUR: Seramai 430,000 guru dari seluruh negara tidak bersetuju dengan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan meminta kerajaan menimbang semula kepentingan penjawat awam, terutama golongan pendidik, dalam mesyuarat anjuran Majlis Permuafakatan Kesatuan Persatuan Guru (MPKPG) di Taman Setiawangsa, di sini, semalam.

Pengerusinya, Jemale Paiman berharap kerajaan menimbang seadil-adilnya rumusan mesyuarat yang diputuskan bersama 320 pemimpin kesatuan dengan memberi tempoh lapan hari.


Beliau berkata, selain Ceupacs sebagai panel tetap, wakil peguam dan JPA sebagai sekretariat, tiga wakil khas mewakili warga pendidik dilantik untuk berjumpa atau berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) bagi tujuan penambahbaikan pelaksanaan SBPA, terutama bagi membela nasib golongan berkenaan.


“Kami mendapati ada klausa kurang jelas dalam pelaksanaan SBPA, misalnya tidak mengambil kira kenaikan gaji tahunan antara tujuh hingga 13 peratus untuk menampung kos sara hidup yang makin tinggi.


“Disebabkan golongan pendidik sektor penting dalam pembangunan negara, perkara itu harus dipertimbangkan sebaik-baiknya.

Petikan: myMetro 5 Februari 2012

Saturday, November 13, 2010

Henti Jadikan Kakitangan Awam 'Lubuk Emas'

Bekerja sebagai penjawat awam merupakan impian emas ramai orang kerana faktor kestabilan pendapatan bulanan dan faedah-faedah yang diterima berbanding kerjaya dalam bidang swasta atau bekerja sendiri.

Gaji bulanan yang tetap dianggap sebagai satu jaminan untuk kehidupan yang sejahtera. Justeru, ramai ibu bapa berharap agar anak-anak mereka dapat menjadi polis, tentera, pegawai kerajaan, atau sekurang-kurangnya kerani di mana-mana jabatan.

Namun, sesetengah pihak yang panjang akal melihat hal ini sebagai satu kesempatan untuk menjana pendapatan mereka dengan cara tersendiri, atau untuk mengaut keuntungan seolah-olah penjawat awam adalah lubuk emas.

Hal ini dapat dilihat apabila banyak golongan terutama yang berorientasikan perniagaan menyasarkan penjawat awam sebagai pasaran utama mereka. Bermula dengan pelbagai syarikat insurans, pinjaman peribadi, Ah Long, pakej percutian, alatan komputer dan telefon bimbit, serta tidak ketinggalan aksesori kenderaan. Banyak daripada mereka menjadikan penjawat awam sebagai pelanggan nombor satu mereka.

Benar, banyak transaksi boleh berlaku dengan hanya menggunakan skim 'potong gaji' atau skim ansuran. Namun, kita dapat melihat ramai penjawat awam yang merungut kerana berasa terperdaya dengan produk yang tidak berkualiti, lebih mahal daripada harga sebenar di pasaran, khidmat pasca-jualan yang tidak memuaskan dan kemudian di hujung bulan, mereka merungut kerana lebih banyak hutang berbanding pendapatan bulanan.

Lebih teruk apabila penjawat awam ini mengambil sikap melulu dalam membeli sesuatu produk atau perkhidmatan tanpa membuat kajian kualiti terhadap produk atau perkhidmatan tersebut. Ini ditambah dengan sikap sesetengah daripada mereka yang membeli dengan alasan 'kerana boleh berhutang' walaupun produk tersebut bukan keperluan mereka.

Saya menyeru kepada pihak yang terlibat dalam memanipulasi penjawat awam ini agar berhenti daripada menjadikan kakitangan awam sebagai lubuk emas mereka. Berniagalah dengan adil dan tawarkanlah produk atau perkhidmatan yang benar-benar berkualiti, bukan semata-mata untuk keuntungan peribadi.

Para penjawat awam pula hendaklah tidak sewenang-wenang membuat sebarang 'hutang' atau pembelian produk dan perkhidmatan yang bukan keperluan mereka.

Banyak saluran boleh digunakan oleh penjawat awam untuk mendapatkan nasihat atau pandangan kedua sebelum membeli sesuatu. Sekurang-kurangnya, mereka boleh merujuk kepada majikan masing-masing, atau lebih baik, mencari maklumat lanjut daripada Persatuan Pengguna atau di Internet.

Petikan: Malaysiakini

Friday, October 22, 2010

Perkhidmatan Awam Tulang Belakang Pembangunan Negara

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Rakyat perlu menghargai peranan sektor perkhidmatan awam kerana ia merupakan tulang belakang pembangunan negara.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman berkata, pihak yang suka menghentam sektor awam sebenarnya merupakan golongan yang hanya suka mencari kesalahan orang lain.

"Pihak berkenaan harus sedar akan kepentingan sektor awam. Mereka inilah yang membantu menjadi jentera kepada dasar negara agar mencapai segala pembangunan yang dikecapi sekarang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi peringatan kepada pihak yang sesuka hati menuduh perkhidmatan awam tidak cekap.

Pihak tersebut katanya, kadangkala suka memperbesarkan benda-benda yang kecil dalam usaha menunjukkan perkhidmatan awam tidak cekap.

Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Datuk Mohd. Ali Baharom pula meminta pihak berkenaan berhenti daripada terus mencemuh perkhidmatan awam.

"Saya harap pihak berkenaan tidak menjadi pengkhianat negara sehingga mengadakan tuduhan mengenai aset ketenteraan negara.

"Perkara ini tidak boleh dibiarkan dan tindakan tegas mesti diambil kepada mereka ini. Janganlah mensia-siakan perjuangan anggota keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan serta keamanan negara ini," ujarnya.

Kata beliau, ini tidak bermakna perkhidmatan awam tidak boleh dikritik tetapi ia harus dilakukan sekiranya ia betul-betul berlaku dan bukannya berunsur fitnah.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bekas-bekas Polis, Shafie Bakri berkata, sektor perkhidmatan awam telah terbukti memainkan peranan penting dalam membangunkan negara.

"Sekiranya kakitangan awam yang menjadi kumpulan pelaksana tidak cekap, sudah tentu kita tidak menikmati kemajuan seperti sekarang.

"Kita akui terdapat segelintir penjawat awam yang tersasar daripada objektif dan ia telah digunakan oleh sesetengah pihak untuk memburukkan perkhidmatan awam. Janganlah hanya kerana nila setitik, rosak susu sebelanga," tegasnya.

Petikan: Utusan Malaysia Online

Saturday, October 16, 2010

Bonus: Penjelasan PM

KUALA LUMPUR 16 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan tidak boleh memberi bonus sebulan gaji kepada 1.2 juta kakitangan awam dalam Bajet 2011 kerana ia membabitkan perbelanjaan besar sebanyak RM3.1 bilion.

Beliau berkata, pembayaran sebanyak itu jika dilaksanakan akan menyebabkan perbelanjaan negara melebihi pendapatan.

‘‘Saya tahu banyak yang lobi saya supaya mengisytihar bonus satu bulan, tetapi saya nak kongsi dengan tuan-tuan dan puan-puan bahawa bonus satu bulan ini menelan belanja sebanyak RM3.1 bilion.

‘‘Kalau ikut hati memang saya hendak bagi bonus, tetapi sebagai Menteri Kewangan yang bertanggungjawab, saya tidak boleh belanja lebih daripada pendapatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia Bersama Perdana Menteri yang dihadiri 14,000 guru dari seluruh negara di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini hari ini.

Turut hadir timbalannya yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Semalam, Najib mengumumkan penjawat awam akan menerima Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 bagi meringan beban dan menampung perbelanjaan persiapan sekolah untuk anak-anak.

Bantuan kewangan itu yang dibayar pada Disember ini akan diberikan kepada penjawat awam gred 54 dan ke bawah termasuk pegawai kontrak dan pesara kerajaan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, pemberian RM500 itu adalah langkah sehabis baik yang boleh beliau lakukan bagi meringankan beban penjawat awam.

‘‘Sekurang-kurangnya akhir tahun kita bagilah sedikit sumbangan hendak beli baju, kasut serta beg sekolah dan ini sangat-sangat berguna sekali.

‘‘Kerajaan juga bermurah hati untuk panjangkan sumbangan ini kepada pesara kerajaan walaupun barangkali mereka tidak ada anak-anak lagi (yang bersekolah),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib berkata, beliau sedang meneliti beberapa memorandum yang disampaikan oleh wakil guru yang mencadangkan supaya dilakukan penambahbaikan kepada skim perguruan.

‘‘Saya pohon masa sedikit untuk meneliti implikasi kewangannya sebab guru ini bilangannya 400,000 orang. Kalau kita darab apa-apa pun dengan bilangan ini, ia akan menjadi jumlah yang amat besar sekali.

‘‘Sebab itulah saya perlu meneliti bersama-sama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan. Sekiranya kerajaan mampu, Tan Sri Muhyiddin boleh buat pengumuman bila sampai masanya,” jelasnya.

Petikan: Utusan Malaysia Online

Saturday, August 28, 2010

Duit Raya RM500 Dibayar 1 September

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan membayar Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada lebih 1.24 juta petugas awam pada 1 September ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan berkata, pembayaran bagi pesara melalui sistem pembayaran melalui bank pula akan dilakukan pada 6 September manakala bagi pesara yang dibayar melalui waran akan diposkan sebelum tarikh tersebut.

Jabatan itu berkata, pegawai yang layak terdiri daripada pegawai tetap, sementara, sangkut, sambilan, kontrak, guru sandaran dan pegawai yang bercuti separuh gaji.

Rabu lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan akan membayar Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 sebagai tanda keprihatinan dan penghargaan terhadap sumbangan pegawai dalam pembangunan negara.

Petikan : Kosmo Online 28 Ogos 2010

Wednesday, August 25, 2010

Najib Umum Duit Raya Untuk Petugas Awam dan Pesara

2010/08/25

KUALA LUMPUR: Lebih 1.24 juta petugas awam dan 590,000 pesara kerajaan mendapat durian runtuh apabila kerajaan hari ini mengumumkan akan membayar Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, dalam satu kenyataan hari ini bahawa bayaran itu adalah untuk petugas dalam Gred 1 hingga 54 dan pesara kerajaan dan akan dibuat sebelum 1 Syawal.

"Keputusan ini diambil selepas mengambil kira kebajikan kakitangan awam dan pesara Kerajaan terutamanya bagi meringankan beban kos persediaan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri," kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Menurut beliau bayaran itu membabitkan perbelanjaan sebanyak RM934.6 juta iaitu RM639.6 juta bagi petugas awam dan RM295 juta bagi pesara. -Bernama

Petikan:  Mymetro