Showing posts with label Dasar Kerajaan. Show all posts
Showing posts with label Dasar Kerajaan. Show all posts

Sunday, April 1, 2012

Panggilan Percuma Talian Nur 15999 di Sekolah

KUALA LUMPUR: Sebanyak 40,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara bakal menikmati perkhidmatan panggilan percuma Talian Nur 15999 melalui telefon awam mulai Jun depan secara serentak, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno berkata, inisiatif ini selaras dengan usaha berterusan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi memelihara keselamatan kanak-kanak serta remaja yang menghadapi permasalahan sosial.

“Ini adalah peningkatan perkhidmatan yang diberikan di bawah kementerian, khususnya untuk kumpulan sasaran kita seperti orang kurang upaya (OKU), wanita, keluarga, kanak-kanak serta warga emas membabitkan isu kebajikan dan pembangunan sosial.

“Kita mahu memberi penekanan kepada aduan dibuat kanak-kanak kerana kementerian menggabungkan ‘child line’ dengan Talian Nur 15999 bagi memastikan kanak-kanak lebih mudah menghubungi talian itu dan kita beri secara percuma,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan KAR1SMA Komuniti KPWKM 2012, di sini, semalam. Mengenai kemungkinan perkhidmatan itu disalahgunakan, beliau tidak menolak perkara itu, namun kementerian bersedia menghadapi serta menangani pelbagai kerenah. - Bernama

Petikan: myMetro Online

Wednesday, March 7, 2012

Sistem Baru Nilai Calon STPM

SELAYANG: Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) akan melaksanakan sistem pentaksiran baru Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi menggantikan sistem peperiksaan sedia ada bermula sesi pengambilan 2012/2013.

Pengerusinya, Prof Datuk Dr Mohd Noh Dalimin berkata, buat pertama kalinya, dua kaedah pentaksiran yang diperkenalkan itu akan dijalankan iaitu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dengan wajaran 20 peratus hingga 40 peratus dan peperiksaan akhir berpusat dengan wajaran 60 peratus hingga 80 peratus.

Katanya, PBS yang diperkenalkan itu akan diguna pakai untuk semua mata pelajaran tingkatan enam terdiri daripada tiga bentuk kerja kursus iaitu kerja projek atau tugasan, kerja amali dan kajian luar mengikut keperluan mata pelajaran.

Menurutnya, penilaian kerja kursus ini akan dilakukan guru mata pelajaran di sekolah manakala penyelarasan akan dijalankan MPM dan pelaksanaan itu adalah selari dengan hasrat Kementerian Pelajaran.

“Dalam pentaksiran ini, tempoh pengajian dan peruntukan waktu adalah sama. Begitu juga dari segi penawaran bilangan mata pelajaran yang tidak berubah iaitu masih 23 mata pelajaran dan sistem penggredan yang sama.

“Satu kelebihan sistem ini ialah pelajar diberi peluang untuk memperbaiki keputusan penggal satu dan dua dengan menduduki semula peperiksaan pada hujung penggal tiga, manakala pelajar yang mencapai keputusan tidak baik pada penggal tiga boleh menduduki semula peperiksaan pada akhir penggal tiga.

“Beban pelajar untuk mempelajari kandungan kurikulum adalah kurang dan ini akan membolehkan mereka lebih fokus menghadapi pembelajaran,” katanya ketika mengumumkan keputusan peperiksaan STPM 2011 di sini, semalam.

Petikan: myMetro Online

Friday, February 3, 2012

Bank Negara Mungkin Naikkan Kadar Faedah 0.25 Peratus

BANK Negara Malaysia berkemungkinan menaikkan kadar faedah sebanyak 0.25 peratus pada separuh kedua tahun ini jika tekanan terhadap inflasi terus meningkat, kata OSK Invesment Bank Bhd.

"Bank Negara mempunyai ruang untuk menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) jika diperlukan, tetapi memandangkan risiko yang ada, kami menjangka ia akan mengekalkannya pada 3.0 peratus, bagi sekurang-kurangnya dalam tempoh separuh pertama ini," kata bank pelaburan itu dalam nota penyelidikannya.
Katanya, ia percaya bank pusat akan menurunkan OPR, hanya jika persekitaran ekonomi global terus merosot.
Pada Selasa lalu, Bank Negara memutuskan untuk mengekalkan OPR pada kadar tiga peratus.

OSK Investment berkata, kemungkinan besar, risiko cenderung kepada kenaikan kadar kerana tekanan inflasi dijangka meningkat susulan perbelanjaan penggunaan awam dan swasta yang kukuh.

Namun ia berkata, inflasi tidak dijangka memberi ancaman kepada ekonomi negara.

Bank pelaburan itu menjangkakan kesan asas yang positif dan pertumbuhan perlahan ekonomi global akan mengurangkan inflasi tahun ini yang dijangka sederhana pada 2.7 peratus.
Sementara itu, MIDF Research berkata kebimbangan masih lagi berkisar sekitar keadaan kewangan dan ekonomi global.

Masalah seperti krisis hutang Eropah dan kemudahruapan pasaran yang meningkat dijangka terus memberi tekanan kepada pertumbuhan di negara maju dan meningkatkan risiko negatif kepada pertumbuhan ekonomi global, katanya.

Firma penyelidikan itu menjangkakan Bank Negara akan mengekalkan kadar faedah pada paras semasa tahun ini, memandangkan keadaan kewangan dan ekonomi global masih tidak menentu serta pertumbuhan ekonomi domestik cenderung kepada perbelanjaan swasta, yang dilengkapkan dengan perbelanjaan awam.

Petikan: Berita Harian Online 3 Februari 2012

Tuesday, January 31, 2012

Bank Negara Kekal Kadar Faedah Tempatan

BANK Negara Malaysia mengekalkan kadar faedah tempatan pada paras semasa bagi memacu kegiatan ekonomi negara di tengah-tengah kemerosotan keadaan ekonomi dan kewangan dunia.

Bank pusat dalam kenyataannya berkata, Jawatankuasa Dasar Monetarinya (MPC) pada mesyuarat semalam memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang menjadi penanda aras kadar pinjaman asas (BLR) bank tempatan pada kadar tiga peratus.
“Sejak beberapa bulan yang lalu, keadaan ekonomi dan kewangan global mengalami kemerosotan berikutan krisis hutang kerajaan yang bertambah ketara di Eropah, pengukuhan fiskal yang berterusan dan keadaan ketidakpastian dasar yang nyata.
“Peningkatan turun naik pasaran, perantaraan kewangan yang terjejas dan keadaan pasaran pekerja yang lemah terus memberikan kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara maju.

“Keadaan ini telah menyebabkan terdapatnya risiko pertumbuhan global akan menjadi lebih perlahan. Di Asia, meskipun pertumbuhan terus disokong oleh permintaan dalam negeri yang mampan, momentum pertumbuhan menjadi sederhana dalam keadaan persekitaran luaran yang lebih lemah,” katanya.

Bank pusat itu berkata, dari segi ekonomi domestik, petunjuk terkini memberikan gambaran pertumbuhan yang berterusan pada suku keempat tahun lalu, didorong penggunaan domestik dan kegiatan pelaburan yang mapan manakala sektor luaran pula menunjukkan tanda penyederhanaan.

Pada masa akan datang, jelasnya ekonomi negara dijangkakan terus berkembang disokong oleh kegiatan ekonomi sektor swasta yang berterusan selain dikukuhkan lagi oleh perbelanjaan sektor awam.
Keadaan guna tenaga pula, katanya dijangka kekal stabil, sementara prospek bagi sektor berorientasikan dalam negara terus menggalakkan.

“Prospek pertumbuhan keseluruhan bagaimanapun akan dipengaruhi oleh permintaan luaran yang lebih perlahan lantas menyebabkan pertumbuhan eksport dan pengeluaran perindustrian yang lebih rendah,” katanya.

Bank pusat itu menambah, untuk tahun ini, penilaian yang dibuat menunjukkan inflasi dorongan kos akan menjadi lebih sederhana memandangkan kegiatan ekonomi global yang bertambah perlahan akan mengurangkan tekanan terhadap harga komoditi utama.

Katanya, kesan daripada faktor permintaan dalam negeri terhadap inflasi dijangka terkawal, sejajar dengan keadaan permintaan dalam negeri yang stabil.

“Dengan itu, kadar inflasi dijangka menjadi sederhana tahun ini. Namun risiko kepada inflasi mungkin timbul daripada gangguan terhadap bekalan yang akan mengakibatkan kenaikan harga makanan dan komoditi,” katanya.

Bank Negara berkata, dalam penilaian MPC, persekitaran global akan menjadi lebih mencabar pada masa akan datang.

“Memandangkan prospek pertumbuhan ekonomi dan inflasi Malaysia akan dipengaruhi perkembangan luaran ini, MPC akan terus membuat penilaian yang teliti terhadap risiko kepada pertumbuhan dalam negeri dan inflasi,” katanya.

Bank Negara mengekalkan kadar faedah pada paras semasa sejak 5 Mei tahun lalu apabila ia menaikkan OPR kepada tiga peratus daripada 2.75 peratus sebelum itu.

Petikan: Berita Harian Online 1 Februari 2012

Saturday, October 16, 2010

310,000 Penjawat Awam Bakal Nikmati Cuti Bersalin 90 Hari

KUALA LUMPUR : Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menganggarkan 310,000 daripada 451,000 penjawat awam wanita berusia antara 20 hingga 39 tahun, menikmati lanjutan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari sebelum ini kepada 90 hari berikutan pengumuman Bajet 2011.

Menterinya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, menyifatkan cuti bersalin 90 hari itu penting dari segi perspektif kesihatan kerana tempoh masa panjang membolehkan mereka yang bersalin pulih dari segi fizikal malah dari segi emosi, mental dan psikologi.

“Lanjutan tempoh itu membolehkan ibu bersalin lebih mesra dengan anak yang baru dilahirkan,” katanya pada satu kenyataan media di sini, semalam.

Katanya pembinaan hospital wanita dan kanak-kanak di bawah inisiatif projek perkongsian awam-swasta amat bertepatan pada masanya, sekali gus memperlihatkan komitmen Kerajaan terhadap kesihatan dan kesejahteraan golongan wanita dan kanak-kanak.

Langkah itu turut meningkatkan jangkauan kumpulan sasar berkenaan kepada kemudahan kesihatan yang berkualiti.

Petikan: Berita Harian Online

Friday, October 1, 2010

Kerajaan Tetap Laksanakan Cadangan Gaji Minimum: Subramaniam

GENTING HIGHLANDS: Kerajaan akan tetap melaksanakan cadangan gaji minimum walaupun dibantah Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan akan berusaha meyakinkan MEF mengenai kepentingan pelaksanaan gaji minimum menerusi perbincangan antara kementerian dan persekutuan itu kelak.

"Kementerian berharap supaya MEF akan setuju apabila kerajaan membuat keputusan muktamad mengenai pelaksanaan gaji minimum tersebut, kerana dasar yang diperkenalkan kerajaan ini adalah untuk jangka masa panjang," katanya selepas merasmikan persidangan peniaga kertas ke-49 di Pusat Konvensyen Genting Highlands di sini, hari ini.

Beliau berkata, kementerian memahami tindakan MEF membantah cadangan itu kerana mereka mempunyai pandangan berbeza.

Katanya, ia akan meliputi semua sektor termasuk perusahaan kecil serta sederhana, dan apabila diperkenalkan kelak, semua majikan perlu mematuhi dasar tersebut kerana kerajaan akan bertindak sebagai agensi pemantau.

Mengulas isu pembekuan penghantaran pembantu rumah Indonesia ke Malaysia, Subramaniam berkata, ia masih di peringkat perbincangan, dan kedua-dua pihak sedang mencari jalan penyelesaian terbaik.

Selain itu, kata putus berhubung isu lain seperti gaji minimum dan cuti rehat pembantu rumah juga belum dicapai.
Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Muhaimin Iskandar sebelum ini mengarahkan penghantaran pembantu rumah republik itu ke negara ini dibekukan berikutan kejadian dera oleh majikan terhadap golongan itu di Malaysia.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Subramaniam berkata, usaha sama serta penubuhan perkongsian serta pejabat di Malaysia dan India oleh ahli FPTA serta Persatuan Saudagar Kertas Malaysia, bakal membawa kepada penembusan kompetitif dalam pasaran global.

Bagaimanapun, beliau menggesa peserta industri berkenaan supaya sentiasa mengutamakan teknologi hijau dalam setiap aspek operasi mereka yang membabitkan tanah dan penjimatan tenaga, pengurusan sisa pepejal, udara dan penulenan air serta kitar semula.

Subramaniam berkata, peserta industri perlu mencontohi inovasi yang digunakan industri kertas Eropah iaitu menggunakan bahan boleh dibaharui, sebahagiannya daripada pengurusan lestari hutan, dengan penanaman pokok yang cepat tumbuh seperti kayu putih dan akasia.

Pendekatan hijau ini telah membantu meningkatkan kawasan hutan daripada 25 peratus pada abad lalu kepada 29 peratus pada ketika ini, katanya. - BERNAMA

Petikan: Berita Harian Online