Showing posts with label PTPTN. Show all posts
Showing posts with label PTPTN. Show all posts

Saturday, March 31, 2012

PTPTN Diberi Dana Tambahan RM6 Bilion

KUALA LUMPUR: Kerajaan meluluskan peruntukan tambahan RM6 bilion kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk tempoh dua tahun, mulai tahun ini bagi membiayai pengajian pelajar institut pengajian tinggi (IPT).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata permohonan penambahan dana yang dikemukakan kementeriannya itu diluluskan dalam mesyuarat Kabinet, kelmarin.

Dana bagi 2012 dan 2013 itu diluluskan kerajaan selepas melihat kepentingan dan relevan PTPTN dalam membiayai pengajian pelajar IPT.

“Sehingga 29 Februari lalu, 1.9 juta peminjam menerima pembiayaan PTPTN membabitkan pembayaran RM43.6 bilion,” katanya berucap pada majlis penutup Karnival Pengajian Tinggi Negara 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

Majlis perasmian penutup karnival itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Terdahulu, Khaled berkata, bagi sesi akademik 2012/2013, bilangan tempat yang akan ditawarkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dijangka meningkat 8.8 peratus kepada 202,339 tempat berbanding 185,966 pada sesi akademik lalu.

Katanya, peningkatan itu merangkumi pertambahan 11 peratus tempat peringkat ijazah iaitu daripada 51,805 kepada 57,492 tempat, manakala kemasukan peringkat diploma, sijil pengajian teknikal dan latihan vokasional (TEVT)-Politeknik serta meningkat 25 peratus daripada 78,780 kepada 99,034.
Beliau berkata, pertambahan itu membuktikan komitmen kerajaan dalam merealisasikan hasrat mengarusperdanakan pengajian TEVT, terutama bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

“Mulai tahun ini juga, empat universiti penyelidikan iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) diberi autonomi dalam pengurusan kemasukan pelajar peringkat Ijazah Pertama,” katanya.

Mengenai karnival pula, Khaled berkata, ia berjaya menarik lebih 460,000 pengunjung sepanjang penjelajahannya di seluruh negara.

Petikan: Berita Harian Online

Friday, October 1, 2010

Pengurangan Caj Pentadbiran PTPTN Akan Dinikmati Semua Peminjam Jun 2011

KUALA LUMPUR: Kira-kira 800,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang mempunyai baki bagi pinjaman selepas 1 Jun 2008 dan masih membayar caj pentadbiran tiga peratus akan ditawarkan pembiayaan pendidikan berlandaskan syariah berkonsepkan Ujrah satu peratus.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata tawaran itu tidak termasuk peminjam yang tamat tempoh jadual bayaran balik sebelum 1 Jun 2008, dan peminjam yang dikenakan tindakan saman.

Beliau membuat penjelasan itu selepas beberapa peminjam PTPTN dilaporkan merungut apabila ada antara mereka yang masih menanggung kos pentadbiran tiga peratus walaupun kerajaan mengumumkan penurunan kos itu kepada satu peratus, kira-kira dua tahun lepas.

"Seramai 300,000 pelajar yang mempunyai lebih dari satu pinjaman pula akan ditawarkan dengan pembiayaan ini secara berperingkat," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Penganugerahan Pelepasan Pelajar Kelas Pertama Peminjam PTPTN dan Majlis Bersama Media di sini, pada Khamis.

Katanya walaupun pengurangan caj itu diumumkan pada 2008, namun masih ada yang membayar caj tiga peratus akibat kekangan sistem sedia ada yang memerlukan penambahbaikan serta semakan terperinci setiap akaun yang perlu dibuat bagi mengelak kesilapan.

Khaled berkata pengurusan data yang membabitkan hampir 1.4 juta pinjaman yang layak menikmati pengurangan caj tersebut sebelum ini tertangguh selama hampir dua tahun, dan beliau menjangka semua urusan itu akan diselesai pada pertengahan tahun depan.

Beliau menjelaskan bahawa dua proses utama akan dijalankan; iaitu proses input maklumat oleh peminjam secara online melalui laman web PTPTN bermula 30 September 2010; dan proses penawaran.

"Proses penawaran akan dilaksanakan oleh PTPTN pada 10 hari bulan setiap bulan secara berperingkat mengikut fasa bagi semua peminjam yang diluluskan pinjaman bermula tahun 2006 hingga 2008," katanya.

Sementara itu, katanya seramai 2,162 orang penerima pembiayaan PTPTN di semua Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang mendapat Ijazah Kelas Pertama dari Januari hingga Julai 2010 ditukar menjadi biasiswa dengan anggaran pembiayaan berjumlah RM59.70 juta.

"Jumlah itu dijangka akan bertambah sehingga penghujung tahun ini kerana ada di kalangan pelajar yang akan menamatkan pengajian mereka pada bulan Oktober ini," katanya.

Mengenai isu peminjam tegar yang dilarang ke luar negara pula, Khaled menyeru mereka agar berunding dengan pihak PTPTN dalam tempoh tujuh hari bekerja sebelum hari penerbangan mereka ke luar negara.

"Ini hanyalah untuk kes luar jangkaan seperti kematian, urusan perniagaan atau apa-apa urusan yang tidak boleh dielakkan," katanya dan menambah PTPT Nmemerlukan masa seminggu untuk menguruskan isu kebenaran ke luar negara kerana ia melibatkan pelbagai pihak termasuk Jabatan Imigresen.

Peminjam tegar merujuk kepada peminjam yang mengabaikan setiap usaha PTPT Nsejak lebih lima tahun lepas meminta mereka membayar pinjamannya. -BERNAMA

Petikan: mStar Online

RM59.7 Juta Pinjaman PTPTN Jadi Biasiswa

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM59.7 juta pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ditukarkan kepada biasiswa sebagai pelepasan kepada 2,162 pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) yang memperoleh ijazah kelas pertama, tahun ini.

Pelaksanaan dasar baru itu selaras pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam pembentangan Bajet 2010 tahun lalu bahawa kerajaan akan menukarkan pinjaman PTPTN kepada biasiswa bagi pelajar yang memperoleh ijazah sarjana muda kelas pertama atau setaraf bermula tahun ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata jumlah penerima ganjaran setakat ini adalah berdasarkan perangkaan dari Januari hingga Julai lalu, dan bilangan itu dijangka bertambah menjelang akhir tahun ini apabila baki IPT lain mengumumkan keputusan pelajar masing-masing tidak lama lagi.

Katanya, ganjaran itu diharap akan menjadi dorongan kepada pelajar lain untuk mencapai kecemerlangan.


Ini menunjukkan kerajaan bukan hanya memandang serius aspek kejayaan pelajar, tetapi turut mengambil inisiatif mendorong kecemerlangan dengan menukarkan pinjaman PTPTN kepada biasiswa, katanya pada majlis Penganugerahan Pelepasan Pelajar Kelas Pertama dan Majlis Bersama Media anjuran PTPTN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Pada majlis itu, Mohamed Khaled turut menyampaikan surat pelepasan berkenaan kepada 13 pelajar terbabit sebagai simbolik.

Selain itu, beliau turut menyaksikan penyerahan sumbangan zakat RM100,000 oleh Bank Islam Malaysia Bhd kepada PTPTN untuk membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bagi pelajar miskin.
Menjelaskan lanjut pada sidang media, Mohamed Khaled berkata, pemberian ganjaran itu tidak menjejaskan dana pinjaman pendidikan kerana PTPTN sudah mengambil kira perkara itu dalam pelaksanaannya.

Katanya, PTPTN memberi jaminan selesaikan keseluruhan proses penurunan caj perkhidmatan pinjaman daripada tiga kepada satu peratus dan menyelaraskannya dengan kaedah syariah atau ujrah, menjelang Jun depan.

Petikan: Berita Harian Online

Wednesday, September 29, 2010

Perhalusi Dasar Pembayaran PTPTN Melalui Pemotongan Gaji

KUALA LUMPUR: Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) meminta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mempertimbangkan semula dasar pembayaran pinjaman PTPTN melalui potongan gaji agar ia dibuat mengikut kemampuan kewangan peminjam.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata pelaksaaan dasar yang dibuat secara mengejut ini sedikit sebanyak membebankan golongan siswazah.

"Dasar yang dibuat ini tidak seharusnya memukul rata seluruh siswazah dengan mewajibkan kepada semua dengan kadar yang sama memandangkan setiap siswazah mempunyai latar belakang kewangan dan gaji berbeza," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan seharusnya menetapkan kadar gaji minimum yang layak untuk dipotong terlebih dahulu sebelum potongan dibuat.

"Permotongan perlu dibuat berdasarkan kedudukan kewangan terutamanya mereka yang berasal daripada keluarga susah, keadaan ini akan merumitkan peminjam memandangkan mereka tergolong dalam berpendapatan di bawah paras minimum.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata sebelum ini pemotongan gaji dijangka dilaksanakan pada 2013.

Muhammad Faisal berkata PKPIM bersetuju dengan dasar baru tersebut tetapi berharap PTPTN bersedia untuk menghapuskan sebarang bentuk caj termasuk caj perkhidmatan pada kadar satu peratus.

"Ini kerana terdapat siswazah yang terbeban membuat pembayaran ansuran bulanan hanya untuk membayar caj bunga tanpa mengurangkan walau sedikitpun jumlah hutang sebenar," katanya.

Beliau berkata PTPTN harus memberi penerangan yang jelas kepada peminjam bagi mengelakkan sebarang salah faham antara peminjam dan PTPTN.- BERNAMA

Petikan: MStar Online

Friday, September 24, 2010

Potong Gaji Bayar PTPTN Mula 2013

SINTOK: Kementerian Pengajian Tinggi menjangkakan sistem pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melalui pemotongan gaji hanya dapat dilaksanakan mulai 2013 apabila rekod setiap peminjam dimasukkan dalam fail Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata jika kaedah itu hendak dilaksanakan, PTPTN dan LHDN perlu membuat pelbagai persediaan rapi untuk menentukan kaedah sesuai serta berkesan dan ia dalam peringkat rundingan.

Katanya, ada kekeliruan berhubung laporan akhbar sebelum ini mengatakan pembayaran balik pinjaman PTPTN dilaksanakan mulai Jun tahun depan.

Petikan: Berita Harian Online, 24 September 2010.

Thursday, September 23, 2010

Penurunan Caj 1 Peratus PTPTN Telah Dikuatkuasakan

KUBANG PASU 23 Sept. – Penurunan kadar caj perkhidmatan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada satu peratus telah dikuatkuasakan seperti yang diumumkan oleh kerajaan dua tahun lalu, manakala potongan gaji peminjam untuk bayaran balik dijangka dapat dilaksanakan mulai 2013.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, bagaimanapun pelaksanaan penurunan caj tersebut tidak dicerminkan dalam penyata akaun peminjam kerana perbadanan tersebut perlu berurusan dengan mereka secara individu dan ia memakan masa.

''Caj itu telah dikuatkuasakan sebagaimana keputusan yang dibuat oleh kerajaan, hanya tidak dicerminkan dalam penyata,'' katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dan The University of Nottingham, Kampus Malaysia dan Uniutama Management Holding Sdn. Bhd. dan MESB Development Sdn. Bhd. di UUM Sintok di sini hari ini.

Beliau yang dalam Program Ziarah Kerja selama dua hari ke universiti itu sejak semalam ditanya mengenai rungutan peminjam PTPTN yang mendakwa mereka masih menanggung kos pentadbiran sebanyak tiga peratus sungguhpun kerajaan telah mengumumkan penurunan kos itu kepada satu peratus.

Luahan kecewa seorang peminjam mengenai perkara berkenaan turut disiarkan dalam ruangan Forum Utusan Malaysia hari ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan penurunan kadar caj PTPTN kepada satu peratus berkuat kuasa 1 Jun 2008 yang disifatkan sebagai satu langkah yang menggembirakan lebih sejuta peminjamnya yang dapat membuat bayaran balik lebih rendah.

Menurut Mohamed Khaled, terdapat kira-kira 1.5 juta peminjam PTPTN dan perbadanan itu perlu membuat semakan setiap dokumen peminjam sebelum penyeragaman dibuat.

Katanya, kadar bayaran peminjam yang berbeza seperti ada yang membayar penuh, kurang atau separuh menyebabkan proses pengiraan caj satu peratus itu berubah-ubah bagi setiap individu.

''Tetapi PTPTN menjanjikan supaya ia dapat menghijrahkan semua peminjam seboleh-bolehnya sebelum pertengahan tahun depan,'' katanya. – Utusan

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH

Petikan: Utusan Malaysia Online, 23 September 2010.

Sunday, September 19, 2010

PTPTN: Potong Gaji Mulai Jun 2011

TEMERLOH 19 Sept. – Mulai Jun tahun depan, semua peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diwajibkan membayar balik pinjaman secara potongan gaji bagi menangani masalah hutang tertunggak.

Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said menegaskan, hanya dengan cara itu pihaknya dapat mengutip semula hutang daripada lebih 46,000 peminjam yang liat membayarnya.

Katanya, PTPTN akan membentangkan cadangan meminda Akta PTPTN 1997 berhubung perkara itu di Parlimen selewat-lewatnya awal tahun depan.

‘‘Kita akan membincangkan mengenai pindaan Akta PTPTN 1997 berhubung perkara itu pada hujung bulan ini dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan cadangan itu akan dibentangkan di Parlimen pada Mac tahun depan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Kuala Krau dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Pemangku Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusuf.

Menurut Ismail, PTPTN akan menunggu keputusan kerajaan sebelum melaksanakan skim potongan gaji peminjam bagi mengutip semula pinjaman tabung tersebut.

Kata beliau, PTPTN juga mengambil kira pelbagai perkara supaya tidak mengganggu pemberian pinjaman kepada peminjam lain yang bakal melanjutkan pengajian pada masa depan.

Beliau berkata, pembayaran secara sukarela oleh peminjam seperti melalui pemotongan gaji, bank dan secara atas talian dilihat tidak berkesan apabila 46,000 daripada 1.6 juta peminjam tidak pernah membayar balik pinjaman.

Ismail yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau berkata, sejak 1997 sehingga Julai lalu, PTPTN telah mengeluarkan dana pinjaman sebanyak RM23 bilion daripada jumlah dana yang diperuntukkan iaitu RM35 bilion.

‘‘Sepatutnya Julai lalu kita berjaya mengutip semula RM3.6 bilion daripada RM23 bilion itu namun setakat ini, kita hanya mampu kutip RM1.8 bilion ekoran kedegilan peminjam yang liat membayar semula pinjaman.

‘‘Daripada jumlah keseluruhan 1.6 juta peminjam, hanya 42 peratus atau 600,000 peminjam yang membayar balik pinjaman,” katanya.

Menurut Ismail, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengarahkan PTPTN supaya bekerjasama dengan kementerian dan jabatan kerajaan terlibat bagi mendapatkan data lengkap peminjam.

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my

Petikan : Utusan Malaysia Online, 20 September 2010