Sunday, September 19, 2010

Lima Pelajar Hamil Mendaftar di Sekolah Harapan Hari Ini

JASIN 19 Sept. - Lima pelajar berusia 16 dan 17 tahun termasuk seorang Cina menjadi kumpulan pertama mendaftar masuk ke Sekolah Harapan yang ditubuhkan bagi memberi perlindungan kepada remaja hamil esok.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, mereka akan mendaftar di sekolah yang terletak di Jalan Pegawai itu dengan ditemani keluarga masing-masing.

Menurutnya, empat daripada mereka bersekolah dalam tingkatan lima dan seorang dalam tingkatan empat masing-masing berasal dari negeri ini, Johor, Pahang, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

"Kesemua mereka memasuki sekolah ini atas usaha ibu bapa masing-masing, tiada yang datang secara sukarela.

"Seorang daripada mereka adalah Cina dan ini membuktikan kita tidak mengenakan sebarang sekatan dalam memberi perlindungan kebajikan kepada remaja yang memerlukan," katanya selepas menghadiri majlis bacaan tahlil dan meninjau operasi Sekolah Harapan yang beroperasi kelmarin.

Sekolah Harapan kini beroperasi di dua bangunan lama milik Syarikat Air Melaka Berhad yang diubah suai menjadi sekolah itu beserta sebuah asrama dijadikan pusat penginapan pelajar dikenali sebagai Rumah Harapan di bawah pengurusan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Kata Mohd. Ali, daripada lima pendaftaran pelajar tersebut, tiga dibuat melalui Internet yang diselia JAIM.

Jelasnya, peraturan di Sekolah Harapan tetap sama dengan pusat pemulihan dan sekolah biasa lain termasuk mempraktikkan sistem pembelajaran yang serupa.

"Cuma, kita tetapkan peraturan di sekolah ini bahawa orang ramai tidak dibenarkan memasukinya secara bebas dan gambar pelajar juga tidak boleh dirakam demi menjaga kepentingan mereka," ujarnya.

Beliau memberitahu, pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan keluarga pelajar terlibat berhubung tindakan Mahkamah Syariah mengikut kesalahan di bawah Seksyen 54 Enakmen Kesalahan Syariah 1991.

"Soal tindakan lanjut ke atas pelajar berkenaan terpulang kepada mahkamah. Perkara ini kita akan runding selepas ini. Kita utamakan dahulu kebajikan dan beri perlindungan kepada remaja perempuan yang hamil ini, saya pasti pihak mahkamah akan beri pertimbangan sewajarnya," kata beliau.

Petikan : Utusan Malaysia Online, 20 September 2010

PTPTN: Potong Gaji Mulai Jun 2011

TEMERLOH 19 Sept. – Mulai Jun tahun depan, semua peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diwajibkan membayar balik pinjaman secara potongan gaji bagi menangani masalah hutang tertunggak.

Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said menegaskan, hanya dengan cara itu pihaknya dapat mengutip semula hutang daripada lebih 46,000 peminjam yang liat membayarnya.

Katanya, PTPTN akan membentangkan cadangan meminda Akta PTPTN 1997 berhubung perkara itu di Parlimen selewat-lewatnya awal tahun depan.

‘‘Kita akan membincangkan mengenai pindaan Akta PTPTN 1997 berhubung perkara itu pada hujung bulan ini dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan cadangan itu akan dibentangkan di Parlimen pada Mac tahun depan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Kuala Krau dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Pemangku Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusuf.

Menurut Ismail, PTPTN akan menunggu keputusan kerajaan sebelum melaksanakan skim potongan gaji peminjam bagi mengutip semula pinjaman tabung tersebut.

Kata beliau, PTPTN juga mengambil kira pelbagai perkara supaya tidak mengganggu pemberian pinjaman kepada peminjam lain yang bakal melanjutkan pengajian pada masa depan.

Beliau berkata, pembayaran secara sukarela oleh peminjam seperti melalui pemotongan gaji, bank dan secara atas talian dilihat tidak berkesan apabila 46,000 daripada 1.6 juta peminjam tidak pernah membayar balik pinjaman.

Ismail yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau berkata, sejak 1997 sehingga Julai lalu, PTPTN telah mengeluarkan dana pinjaman sebanyak RM23 bilion daripada jumlah dana yang diperuntukkan iaitu RM35 bilion.

‘‘Sepatutnya Julai lalu kita berjaya mengutip semula RM3.6 bilion daripada RM23 bilion itu namun setakat ini, kita hanya mampu kutip RM1.8 bilion ekoran kedegilan peminjam yang liat membayar semula pinjaman.

‘‘Daripada jumlah keseluruhan 1.6 juta peminjam, hanya 42 peratus atau 600,000 peminjam yang membayar balik pinjaman,” katanya.

Menurut Ismail, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengarahkan PTPTN supaya bekerjasama dengan kementerian dan jabatan kerajaan terlibat bagi mendapatkan data lengkap peminjam.

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my

Petikan : Utusan Malaysia Online, 20 September 2010

Friday, September 17, 2010

Sekolah Hamil Sedia Terima Pelajar Mulai Hari Ini

Sekolah hamil yang dinamakan Sekolah Harapan untuk memberi perlindungan kepada remaja hamil di Jalan Pegawai di Melaka, mula dibuka hari ini walaupun belum mempunyai pelajar.

Pengerusinya, Datuk Ab Rahaman Ab Karim berkata dua bangunan kerajaan telah diubahsuai menjadi sekolah dan asrama yang menelan belanja RM100,000.

"Walaupun sekolah khas di bawah Majlis Agama Islam Melaka (Maim) ini masih belum mempunyai pelajar, ia tetap dibuka dan Maim akan terus menunggu permohonan pelajar hamil untuk memasukinya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan sekolah itu hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Maim, Datuk Ghazale Muhamad dan Penyelia Sekolah Harapan, Saimah Hiran.

Ab Rahaman berkata MAIM mengambil pendekatan "buka dahulu sekolah ini" kerana ia akan lebih memudahkan pihak pentadbiran untuk menguruskan kemasukan pelajar pada bila-bila masa.

"Buat permulaan, mereka mungkin malu lagi, selain itu, ia juga dapat memberi gambaran awal kepada ibu bapa pelajar hamil mengenai persekitaran dan segala kemudahan di sini," katanya sambil menegaskan identiti pelajar akan dirahsiakan.

Beliau berkata keseluruhan bangunan Sekolah Harapan itu dilengkapi penghawa dingin termasuk di tiga kelas dengan setiap kelas menampung antara 10 dan 12 pelajar.

Keseluruhan lantai bangunan sekolah dua tingkat itu juga dipasang dengan permaidani bagi memberi keselesaan kepada pelajar hamil mengikuti pembelajaran, katanya.

"Asrama ini mempunyai lima kakitangan terdiri daripada seorang pemandu, seorang penyelia, pengawal dan dua orang kerani," katanya.

Katanya waktu pembelajaran pula adalah sama seperti waktu sekolah biasa dan kelas termasuk kelas komputer dan kemahiran memasak serta menjahit.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai sekolah ini boleh menghubungi Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Jabatan Agama Islam Melaka, Rahimin Bani di talian 019-6671564 atau 06-2881534.

- Bernama

Petikan: Malaysiakini, 17 September 2010