Friday, March 23, 2012

NILAI: CUEPACS menggesa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengeluarkan pekeliling berhubung pelarasan gaji baru bagi kakitangan awam mengikut Skim Saraan Malaysia (SSM) selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pekeliling itu perlu diedar segera kepada semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan bagi membolehkan pembayaran gaji baru dengan kenaikan antara tujuh dan 13 peratus dibuat kepada semua kakitangan awam mulai bulan depan.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah mengumumkan pelarasan gaji baru kakitangan awam iaitu kenaikan antara tujuh dan 13 peratus tetapi pihaknya masih menunggu pekeliling itu untuk membolehkan setiap agensi membuat kiraan gaji untuk dibayar pada bulan berikutnya.
“Selagi pekeliling belum keluar, semua agensi tidak boleh membuat kiraan gaji untuk membayar dan kita pekeliling itu mesti selesai hujung bulan ini,” katanya selepas menyampaikan wacana bertajuk ‘Mentransformasikan Skim Perkhidmatan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA)’ di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, semalam.

Pada 8 Mac lalu, Najib mengumumkan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan mengembalikan SSM yang ditambah baik dengan pelarasan gaji antara tujuh dan 13 peratus.

Omar berkata, jika JPA lewat mengeluarkan pekeliling itu, ia akan menyukarkan jabatan dan agensi kerajaan membuat kiraan gaji baru, selain perlu membayar tunggakan gaji lebih tinggi pada masa depan.

Mengulas penubuhan suruhanjaya bagi mengkaji secara komprehensif dan holistik perkhidmatan awam negara yang turut diumumkan Perdana Menteri, Omar berkata, ia perlu disegerakan memandangkan pihaknya sudah bersedia dengan kertas kerja daripada 23 kesatuan sekerja bernaung di bawah CUEPACS. –BERNAMA

Petikan: Berita Harian Online

Wednesday, March 21, 2012

SPM Terbaik Tempoh Lima Tahun

Gred Purata Nasional (GPN) capai 5.04 tahun lalu

PUTRAJAYA: Pencapaian Gred Purata Nasional (GPN) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun dengan 559 calon berjaya memperoleh Gred Cemerlang Tertinggi A+ bagi semua mata pelajaran yang diambil.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud, berkata indeks keseluruhan GPN tahun lalu mencapai 5.04 berbanding 5.19 pada tahun sebelumnya Beliau berkata, daripada 559 calon yang mendapat Gred Cemerlang Tertinggi, 506 adalah calon Sekolah Kementerian Pelajaran yang meningkat sebanyak 143 calon, berbanding 363 pada 2010.

Katanya, 53 lagi calon adalah daripada sekolah lain yang turut meningkat berbanding 40 calon pada 2010.

“Bagi prestasi mengikut mata pelajaran teras dan lokasi, pencapaian calon luar bandar dalam mata pelajaran Bahasa Melayu tidak menunjukkan perbezaan yang ketara, tetapi pencapaian subjek Sains lebih baik berbanding calon bandar.

“Bagaimanapun, usaha perlu dipertingkatkan untuk merapatkan jurang dengan calon bandar bagi subjek Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral,” katanya ketika mengumumkan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2011, di sini, semalam.

Mengikut kaedah yang diguna pakai oleh Kementerian Pelajaran dan Lembaga Peperiksaan, semakin kecil nilai GPN, lebih cemerlang pencapaian keputusan keseluruhan.
Sebanyak 468,808 calon mendaftar untuk menduduki SPM pada 2011, berbanding 467,970 pada 2010 di sebanyak 3,533 pusat peperiksaan di seluruh negara. Daripada jumlah itu, 412,028 adalah calon sekolah kementerian, manakala 7,155 calon Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Sekolah Perantis Tentera.

Baki 7,925 adalah calon Sekolah Menengah Agama Negeri; 12,487 calon Sekolah Menengah Agama Rakyat serta sekolah swasta dan 29,213 calon persendirian.

Mengenai pencapaian sekolah, beliau berkata, ia dinilai berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) dengan 80 sekolah mencapai Cemerlang, 400 Baik, 1,679 Memuaskan dan 49 tahap Berpotensi.

Katanya, prestasi mata pelajaran yang dinilai menerusi Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) pula meningkat 63 daripada 112 mata pelajaran berdasarkan penilaian empat kategori iaitu cemerlang, kepujian, lulus dan gagal.

Selain itu, seramai 343 daripada 662 calon berkeperluan khas berjaya mendapat sijil berbanding 319 pada 2010.

Tujuh calon iaitu tiga calon rabun, seorang cacat pendengaran dan tiga calon kecacatan lain berjaya meraih gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Petikan: Berita Harian Online

Wednesday, March 7, 2012

Pelarasan Gaji Berkuatkuasa 1 Jan

PUTRAJAYA, 8 Mac (Bernama) -- Pelarasan gaji yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak Khamis akan berkuatkuasa 1 Jan tahun ini dan dibayar mulai bulan ini atau April, kata Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman.

Katanya ia berdasarkan kepada perbincangan Cuepacs dengan Perdana Menteri sebaik selesai Perhimpunan Khas Penjawat Awam Bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini di mana pengumuman itu dibuat.

"Sama ada pembayaran akan dibuat secara penuh atau berperingkat, ia bergantung kepada jabatan masing-masing," kata Omar ketika ditemui pemberita selepas itu.

Pada perhimpunan itu Perdana Menteri turut mengumumkan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan mengembalikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang akan ditambah baik.

Najib turut mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 13 peratus untuk Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta Kumpulan Pelaksana Gred 1 hingga 54; sembilan peratus untuk Gred Utama dan Gred Khas C,B dan A; lapan peratus Kumpulan Turus III dan Turus II; dan tujuh peratus untuk Kumpulan Turus I dan Ketua Setiausaha Negara.

Omar berharap pengumuman itu disambut baik 1.4 juta penjawat awam dan tiada lagi suara tidak puas hati sebaliknya mereka perlu membalas keperihatinan kerajaan dengan bekerja lebih rajin serta berusaha meningkatkan produktiviti.

Mengenai penubuhan suruhanjaya yang akan turut disertai wakil Cuepacs untuk mengkaji secara menyeluruh perkhidmatan awam Malaysia, beliau berharap suruhanjaya itu akan memberi tumpuan kepada tuntutan Cuepacs yang lain.

Mengenai Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) beliau berkata, PTK kekal dimansuhkan seperti mana yang diumumkan sebelum ini dan diganti dengan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK).

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Lok Yim Pheng berkata pengumuman Perdana Menteri itu turut menggembira kaum guru.

"Ia jelas menunjukkan golongan pendidik tetap diberi keutamaan oleh kerajaan kerana kenaikan pangkat tidak perlu menunggu masa yang lama iaitu selama 10 tahun," katanya.

Kerajaan mengumumkan akan mengekalkan keputusan penambahbaikan laluan kerjaya berasaskan prinsip "time-based" pegawai Perkhidmatan Pendidikan seperti yang dimumkan dalam Bajet 2012.

-- BERNAMA

Petikan: bernama.com