Tuesday, January 31, 2012

Bank Negara Kekal Kadar Faedah Tempatan

BANK Negara Malaysia mengekalkan kadar faedah tempatan pada paras semasa bagi memacu kegiatan ekonomi negara di tengah-tengah kemerosotan keadaan ekonomi dan kewangan dunia.

Bank pusat dalam kenyataannya berkata, Jawatankuasa Dasar Monetarinya (MPC) pada mesyuarat semalam memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang menjadi penanda aras kadar pinjaman asas (BLR) bank tempatan pada kadar tiga peratus.
“Sejak beberapa bulan yang lalu, keadaan ekonomi dan kewangan global mengalami kemerosotan berikutan krisis hutang kerajaan yang bertambah ketara di Eropah, pengukuhan fiskal yang berterusan dan keadaan ketidakpastian dasar yang nyata.
“Peningkatan turun naik pasaran, perantaraan kewangan yang terjejas dan keadaan pasaran pekerja yang lemah terus memberikan kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara maju.

“Keadaan ini telah menyebabkan terdapatnya risiko pertumbuhan global akan menjadi lebih perlahan. Di Asia, meskipun pertumbuhan terus disokong oleh permintaan dalam negeri yang mampan, momentum pertumbuhan menjadi sederhana dalam keadaan persekitaran luaran yang lebih lemah,” katanya.

Bank pusat itu berkata, dari segi ekonomi domestik, petunjuk terkini memberikan gambaran pertumbuhan yang berterusan pada suku keempat tahun lalu, didorong penggunaan domestik dan kegiatan pelaburan yang mapan manakala sektor luaran pula menunjukkan tanda penyederhanaan.

Pada masa akan datang, jelasnya ekonomi negara dijangkakan terus berkembang disokong oleh kegiatan ekonomi sektor swasta yang berterusan selain dikukuhkan lagi oleh perbelanjaan sektor awam.
Keadaan guna tenaga pula, katanya dijangka kekal stabil, sementara prospek bagi sektor berorientasikan dalam negara terus menggalakkan.

“Prospek pertumbuhan keseluruhan bagaimanapun akan dipengaruhi oleh permintaan luaran yang lebih perlahan lantas menyebabkan pertumbuhan eksport dan pengeluaran perindustrian yang lebih rendah,” katanya.

Bank pusat itu menambah, untuk tahun ini, penilaian yang dibuat menunjukkan inflasi dorongan kos akan menjadi lebih sederhana memandangkan kegiatan ekonomi global yang bertambah perlahan akan mengurangkan tekanan terhadap harga komoditi utama.

Katanya, kesan daripada faktor permintaan dalam negeri terhadap inflasi dijangka terkawal, sejajar dengan keadaan permintaan dalam negeri yang stabil.

“Dengan itu, kadar inflasi dijangka menjadi sederhana tahun ini. Namun risiko kepada inflasi mungkin timbul daripada gangguan terhadap bekalan yang akan mengakibatkan kenaikan harga makanan dan komoditi,” katanya.

Bank Negara berkata, dalam penilaian MPC, persekitaran global akan menjadi lebih mencabar pada masa akan datang.

“Memandangkan prospek pertumbuhan ekonomi dan inflasi Malaysia akan dipengaruhi perkembangan luaran ini, MPC akan terus membuat penilaian yang teliti terhadap risiko kepada pertumbuhan dalam negeri dan inflasi,” katanya.

Bank Negara mengekalkan kadar faedah pada paras semasa sejak 5 Mei tahun lalu apabila ia menaikkan OPR kepada tiga peratus daripada 2.75 peratus sebelum itu.

Petikan: Berita Harian Online 1 Februari 2012

No comments:

Post a Comment