Tuesday, January 31, 2012

Bank Negara Kekal Kadar Faedah Tempatan

BANK Negara Malaysia mengekalkan kadar faedah tempatan pada paras semasa bagi memacu kegiatan ekonomi negara di tengah-tengah kemerosotan keadaan ekonomi dan kewangan dunia.

Bank pusat dalam kenyataannya berkata, Jawatankuasa Dasar Monetarinya (MPC) pada mesyuarat semalam memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang menjadi penanda aras kadar pinjaman asas (BLR) bank tempatan pada kadar tiga peratus.
“Sejak beberapa bulan yang lalu, keadaan ekonomi dan kewangan global mengalami kemerosotan berikutan krisis hutang kerajaan yang bertambah ketara di Eropah, pengukuhan fiskal yang berterusan dan keadaan ketidakpastian dasar yang nyata.
“Peningkatan turun naik pasaran, perantaraan kewangan yang terjejas dan keadaan pasaran pekerja yang lemah terus memberikan kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara maju.

“Keadaan ini telah menyebabkan terdapatnya risiko pertumbuhan global akan menjadi lebih perlahan. Di Asia, meskipun pertumbuhan terus disokong oleh permintaan dalam negeri yang mampan, momentum pertumbuhan menjadi sederhana dalam keadaan persekitaran luaran yang lebih lemah,” katanya.

Bank pusat itu berkata, dari segi ekonomi domestik, petunjuk terkini memberikan gambaran pertumbuhan yang berterusan pada suku keempat tahun lalu, didorong penggunaan domestik dan kegiatan pelaburan yang mapan manakala sektor luaran pula menunjukkan tanda penyederhanaan.

Pada masa akan datang, jelasnya ekonomi negara dijangkakan terus berkembang disokong oleh kegiatan ekonomi sektor swasta yang berterusan selain dikukuhkan lagi oleh perbelanjaan sektor awam.
Keadaan guna tenaga pula, katanya dijangka kekal stabil, sementara prospek bagi sektor berorientasikan dalam negara terus menggalakkan.

“Prospek pertumbuhan keseluruhan bagaimanapun akan dipengaruhi oleh permintaan luaran yang lebih perlahan lantas menyebabkan pertumbuhan eksport dan pengeluaran perindustrian yang lebih rendah,” katanya.

Bank pusat itu menambah, untuk tahun ini, penilaian yang dibuat menunjukkan inflasi dorongan kos akan menjadi lebih sederhana memandangkan kegiatan ekonomi global yang bertambah perlahan akan mengurangkan tekanan terhadap harga komoditi utama.

Katanya, kesan daripada faktor permintaan dalam negeri terhadap inflasi dijangka terkawal, sejajar dengan keadaan permintaan dalam negeri yang stabil.

“Dengan itu, kadar inflasi dijangka menjadi sederhana tahun ini. Namun risiko kepada inflasi mungkin timbul daripada gangguan terhadap bekalan yang akan mengakibatkan kenaikan harga makanan dan komoditi,” katanya.

Bank Negara berkata, dalam penilaian MPC, persekitaran global akan menjadi lebih mencabar pada masa akan datang.

“Memandangkan prospek pertumbuhan ekonomi dan inflasi Malaysia akan dipengaruhi perkembangan luaran ini, MPC akan terus membuat penilaian yang teliti terhadap risiko kepada pertumbuhan dalam negeri dan inflasi,” katanya.

Bank Negara mengekalkan kadar faedah pada paras semasa sejak 5 Mei tahun lalu apabila ia menaikkan OPR kepada tiga peratus daripada 2.75 peratus sebelum itu.

Petikan: Berita Harian Online 1 Februari 2012

CUEPACS Ancam Buat Sendiri

KUALA LUMPUR: CUEPACS yang mengancam menarik diri daripada pasukan petugas khas semakan semula Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) jika tiga lagi wakilnya tidak dilantik, menubuhkan Jawatankuasa Bertindaknya sendiri bagi menyediakan kertas kerja komprehensif berhubung penambahbaikan skim berkenaan.

Jawatankuasa yang diketuai Timbalan Presiden CUEPACS I, Azih Muda itu diberi tanggungjawab untuk menyediakan kertas kerja berkenaan dalam tempoh tiga minggu sebelum diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, penubuhan jawatankuasa itu mendapat sokongan penuh kepimpinan tertinggi kesatuan berkenaan pada bengkel khas SBPA anjuran CUEPACS yang diadakan semalam.
“Kertas kerja itu amat penting kerana ia adalah berdasarkan lima tuntutan utama yang dibangkitkan CUEPACS minggu lalu untuk dipertimbangkan dalam semakan semula skim SBPA.

“Jawatankuasa itu turut dianggotai sembilan pegawai CUEPACS dan 13 wakil kesatuan gabungan termasuk kumpulan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD), persatuan akademik dan profesional.

“Jika pasukan petugas khas semakan semula SBPA diberi tempoh tiga bulan untuk membuat kajian..., CUEPACS pula akan menyediakan kertas kerja dalam tempoh tiga minggu dan akan menyerahkannya kepada Perdana Menteri selewat-lewatnya pada Mac ini,” katanya di sini, semalam.

Lima tuntutan CUEPACS adalah mengkaji semula pindaan gaji kakitangan Gred 54 dan ke bawah, kedudukan kekananan dalam Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum bertukar kepada SBPA, kedudukan gaji penjawat awam yang sudah mencapai tangga gaji maksimum, kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus serta menyemak kembali penstrukturan semula di semua gred.
Omar berkata, CUEPACS juga akan menghantar surat rasmi kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan hari ini berhubung penyertaan tiga lagi pemimpin kanan kesatuan sekerja dalam pasukan petugas khas semakan semula SBPA.

Sementara itu, Pengerusi pasukan petugas khas semakan semula SBPA, Tan Sri Ismail Adam berkata, pihaknya akan menjalankan tanggungjawab seperti diamanahkan kerajaan dalam menyempurnakan penambahbaikan mengenai skim berkenaan.

“Kita mengalu-alukan sebarang idea untuk penambahbaikan SBPA, jika CUEPACS menubuhkan jawatankuasa bertindak tidak menjadi sebarang masalah kerana mereka juga kemungkinan mempunyai pandangan atau idea tersendiri,” katanya.

Oleh:  S Anand Kumar

Petikan: Berita Harian Online 1 Februari 2012

Thursday, January 19, 2012

BNM Diramal Turunkan OPR

KUALA LUMPUR 19 Jan. - Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas menjelang suku kedua tahun ini, kata Bank of America Merrill Lynch (Merrill Lynch).

Ekonomis Penyelidikan Globalnya, Chua Hak Bin berkata, langkah tersebut bertujuan merangsang ekonomi semasa negara.

''Bank-bank pusat ASEAN dan kerajaan mempunyai ruang untuk memberi maklum balas agresif melalui polisi monetari dan fiskal sekiranya krisis semakin teruk.

"Mengurangkan tekanan inflasi dan nominalisasi polisi monetari sejak dua tahun lalu memberikan ruang kepada bank-bank pusat di rantau ini untuk mengurangkan atau menurunkan OPR,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media mengenai tinjauan ekonomi 2012 di sini hari ini.

Tambah Hak Bin, untuk tahun ini Merrill Lynch menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah sekitar 3.6 peratus walaupun berhadapan dengan ketidaktentuan pasaran seperti di Amerika Syarikat (AS), zon Eropah serta keadaan politik semasa.

''Ia (angka itu) masih menunjukkan pertumbuhan sihat pada tahun ini,'' jelasnya.

Sementara itu, katanya, hutang isi rumah negara bakal mengalami peningkatan pada tahun ini walaupun pelbagai langkah telah diambil oleh BNM.

''Hutang isi rumah Malaysia merupakan antara yang terbesar di rantau ini dan akan terus meningkat.

''Langkah membendung peningkatan tersebut yang dilakukan BNM terutama dalam kad kredit hanya memberi kesan sedikit kepada keadaan keseluruhan isu tersebut,'' tambahnya.

Dipetik daripada: Utusan Malaysia Online 20 Januari 2012