Monday, January 16, 2012

250 Juta Pengguna Internet di China Guna Weibos

JUMLAH pengguna internet di China meningkat hampir 56 juta tahun lalu kepada separuh bilion dan hampir separuh daripadanya menggunakan weibos atau laman blog mikro, mengikut statistik rasmi negara itu semalam.

Populasi dalam talian China, yang teramai di dunia itu, meningkat kepada 513 juta pada 2011, naik 12.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, kata Pusat Maklumat Rangkaian Internet China (CNNIC) dalam kenyataannya.
Sementara itu, sejumlah 48.7 peratus atau hampir 250 juta rakyatnya kini menggunakan weibos, berbanding hanya 63.1 juta pada 2010, sekali gus meletakkan cabaran besar kepada percubaan kerajaan untuk mengawal maklumat dalam negara yang memilik penduduk berjumlah 1.3 bilion itu.
Weibos, sebuah perkhidmatan blog mikro seperti Twitter, yang diharamkan di China, menjadi perantara paling popular bagi pengguna web untuk melepaskan kemarahan mereka terhadap rasuah, skandal dan bencana atau untuk mengingatkan orang ramai mengenai protes atau tunjuk perasaan.

CNNIC berkata, jumlah mereka yang menggunakan komunikasi tradisional, laman web forum atau blog semakin menurun.

Kerajaan negara itu menyekat kandungan Internet yang dianggap sensitif dari segi politik dalam sistem penapisan besar yang dipanggil ‘Great Firewall Of China’ dan amat bimbang kuasa internet dalam mempengaruhi pandangan umum.

Dalam cubaan untuk mengenakan lebih kawalan terhadap weibo, bandar tertentu seperti Shanghai dan Beijing kini mengkehendaki pengguna mendaftar nama sebenar bagi memudahkan pihak berkuasa mengesan mereka.
CNNIC berkata, jumlah penduduk luar bandar menggunakan internet juga meningkat tahun lalu, iaitu 8.9 peratus kepada 136 juta pada 2011. Bagaimanapun, terdapat perbezaan tinggi di antara jurang golongan kaya dan miskin.

Lebih 70 peratus penduduk Beijing menggunakan internet tahun lalu, hanya 24.2 peratus melayari internet di daerah barat daya Guizhou, kawasan termiskin di China. – AFP

Petikan: Berita Harian Online 17 Januari 2012

No comments:

Post a Comment