Saturday, January 14, 2012

Pelaburan Dalam Pendidikan

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta dalam bidang pendidikan amat penting dalam merealisasikan aspirasi menjadi negara berpendapatan tinggi.

Kata Timbalan Perdana Menteri, walaupun pendidikan adalah tanggungjawab asas kerajaan, namun dengan kerjasama kedua-dua sektor, sasaran melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir pada masa depan dapat dicapai.

Kata beliau, pelaburan dalam pendidikan juga mengalami peningkatan jangka panjang yang ketara. Justeru itu, kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan jumlah sumbangan Pendapatan Negara Kasar (PNK) menerusi sektor itu daripada RM27.1 bilion pada 2009 kepada RM60.7 bilion (2020).

"Pendidikan dalam erti kata yang lebih mendalam harus menggarap nilai-nilai murni, pemikiran kritis, kepimpinan dan komunikasi di samping pengetahuan teknikal bidang masing-masing.

"Sahsiah murid secara holistik akan memberi impak berganda terhadap daya saing ekonomi dan sosial serta pembangunan negara secara menyeluruh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Program Pembangunan Bakat Muda Axiata di sini, hari ini.

Menerusi program itu, Axiata akan melabur sekurang-kurangnya RM100 juta dalam tempoh 10 tahun menerusi Tabung Yayasan Axiata sebagai biasiswa untuk memupuk bakat-bakat muda Malaysia dengan harapan melahirkan pemimpin masa hadapan dan ketua industri.

Pelajar-pelajar terpilih akan ditempatkan di institusi-institusi pengajian tinggi yang mempunyai reputasi di Malaysia serta di seluruh dunia.

Muhyiddin menambah, adalah penting untuk bakat-bakat muda negara ini diiktiraf dan dipupuk daripada usia muda untuk mengharungi masa depan yang semakin mencabar.

Justeru kata beliau, program Axiata itu merupakan satu inisiatif dalam membangunkan individu yang berpengetahuan luas dengan minda yang terbuka.

"Tahniah kepada Axiata kerana mempunyai pandangan jauh dalam membangunkan program seperti ini tanpa mengambil kira latar belakang pelajar," ujarnya.

Oleh KAMIL MASLIH dan MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

Petikan Utusan Online: 14 Januari 2012

No comments:

Post a Comment