Friday, October 1, 2010

Kerajaan Tetap Laksanakan Cadangan Gaji Minimum: Subramaniam

GENTING HIGHLANDS: Kerajaan akan tetap melaksanakan cadangan gaji minimum walaupun dibantah Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan akan berusaha meyakinkan MEF mengenai kepentingan pelaksanaan gaji minimum menerusi perbincangan antara kementerian dan persekutuan itu kelak.

"Kementerian berharap supaya MEF akan setuju apabila kerajaan membuat keputusan muktamad mengenai pelaksanaan gaji minimum tersebut, kerana dasar yang diperkenalkan kerajaan ini adalah untuk jangka masa panjang," katanya selepas merasmikan persidangan peniaga kertas ke-49 di Pusat Konvensyen Genting Highlands di sini, hari ini.

Beliau berkata, kementerian memahami tindakan MEF membantah cadangan itu kerana mereka mempunyai pandangan berbeza.

Katanya, ia akan meliputi semua sektor termasuk perusahaan kecil serta sederhana, dan apabila diperkenalkan kelak, semua majikan perlu mematuhi dasar tersebut kerana kerajaan akan bertindak sebagai agensi pemantau.

Mengulas isu pembekuan penghantaran pembantu rumah Indonesia ke Malaysia, Subramaniam berkata, ia masih di peringkat perbincangan, dan kedua-dua pihak sedang mencari jalan penyelesaian terbaik.

Selain itu, kata putus berhubung isu lain seperti gaji minimum dan cuti rehat pembantu rumah juga belum dicapai.
Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Muhaimin Iskandar sebelum ini mengarahkan penghantaran pembantu rumah republik itu ke negara ini dibekukan berikutan kejadian dera oleh majikan terhadap golongan itu di Malaysia.

Sebelum itu, dalam ucapannya, Subramaniam berkata, usaha sama serta penubuhan perkongsian serta pejabat di Malaysia dan India oleh ahli FPTA serta Persatuan Saudagar Kertas Malaysia, bakal membawa kepada penembusan kompetitif dalam pasaran global.

Bagaimanapun, beliau menggesa peserta industri berkenaan supaya sentiasa mengutamakan teknologi hijau dalam setiap aspek operasi mereka yang membabitkan tanah dan penjimatan tenaga, pengurusan sisa pepejal, udara dan penulenan air serta kitar semula.

Subramaniam berkata, peserta industri perlu mencontohi inovasi yang digunakan industri kertas Eropah iaitu menggunakan bahan boleh dibaharui, sebahagiannya daripada pengurusan lestari hutan, dengan penanaman pokok yang cepat tumbuh seperti kayu putih dan akasia.

Pendekatan hijau ini telah membantu meningkatkan kawasan hutan daripada 25 peratus pada abad lalu kepada 29 peratus pada ketika ini, katanya. - BERNAMA

Petikan: Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment