Friday, October 22, 2010

Perkhidmatan Awam Tulang Belakang Pembangunan Negara

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Rakyat perlu menghargai peranan sektor perkhidmatan awam kerana ia merupakan tulang belakang pembangunan negara.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman berkata, pihak yang suka menghentam sektor awam sebenarnya merupakan golongan yang hanya suka mencari kesalahan orang lain.

"Pihak berkenaan harus sedar akan kepentingan sektor awam. Mereka inilah yang membantu menjadi jentera kepada dasar negara agar mencapai segala pembangunan yang dikecapi sekarang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi peringatan kepada pihak yang sesuka hati menuduh perkhidmatan awam tidak cekap.

Pihak tersebut katanya, kadangkala suka memperbesarkan benda-benda yang kecil dalam usaha menunjukkan perkhidmatan awam tidak cekap.

Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Datuk Mohd. Ali Baharom pula meminta pihak berkenaan berhenti daripada terus mencemuh perkhidmatan awam.

"Saya harap pihak berkenaan tidak menjadi pengkhianat negara sehingga mengadakan tuduhan mengenai aset ketenteraan negara.

"Perkara ini tidak boleh dibiarkan dan tindakan tegas mesti diambil kepada mereka ini. Janganlah mensia-siakan perjuangan anggota keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan serta keamanan negara ini," ujarnya.

Kata beliau, ini tidak bermakna perkhidmatan awam tidak boleh dikritik tetapi ia harus dilakukan sekiranya ia betul-betul berlaku dan bukannya berunsur fitnah.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bekas-bekas Polis, Shafie Bakri berkata, sektor perkhidmatan awam telah terbukti memainkan peranan penting dalam membangunkan negara.

"Sekiranya kakitangan awam yang menjadi kumpulan pelaksana tidak cekap, sudah tentu kita tidak menikmati kemajuan seperti sekarang.

"Kita akui terdapat segelintir penjawat awam yang tersasar daripada objektif dan ia telah digunakan oleh sesetengah pihak untuk memburukkan perkhidmatan awam. Janganlah hanya kerana nila setitik, rosak susu sebelanga," tegasnya.

Petikan: Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment