KUALA LUNMPUR:Permohonan untuk pertukaran segera guru-guru yang bertugas di Sabah dan Sarawak ke Semenanjung hanya akan ditimbangkan sekiranya mereka mempunyai alasan kukuh seperti faktor keselamatan dan kesihatan.
Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, prosedur itu akan dipertimbangkan jika guru berkenaan mengalami kes seperti masalah kesihatan yang serius atau menerima ancaman dari pihak lain.
Beliau menegaskan, kementerian secara dasarnya tidak melayan sebarang permohonan untuk berpindah di luar dari tempoh yang ditetapkan untuk membuat permohonan pertukaran iaitu pada April dan November.
"Kebiasaannya, guru-guru dari Semenanjung yang bertugas di Sabah dan Sarawak dibenarkan memohon untuk kembali (bertugas di Semenanjung) melalui portal on-line Sistem Pertukaran Guru yang dibuka pada bulan April dan November.
"Tetapi saya tidak pernah mendengar mengenai pertukaran yang berlaku di luar tempoh ini, melainkan seperti kes-kes melibatkan faktor keselamatan dan kesihatan," katanya, Ahad.
Dr Mohd Puad mengulas dakwaan sesetengah pihak mengatakan guru-guru di Sabah ditawarkan untuk pulang ke Semenanjung walaupun di luar tempoh permohonan.
Beliau juga menafikan dakwaan mengatakan kementerian mengambil langkah memanggil guru-guru di Sabah pulang kerana mahu mengurangkan perbelanjaan memandangkan elaun guru yang bertugas di negeri itu lebih tinggi.
"Tidak ada dasar pilih kasih di sini, elaun yang diberi kepada guru-guru di sana sama saja, cuma yang membezakan adalah tahap-tahap P1, P2 dan P3.
"Elaun guru-guru P3 sebagai contoh, lebih tinggi memandangkan kesukaran yang mereka hadapi untuk sampai ke kawasan tersebut," katanya. -BERNAMA
Petikan: mStar Online
No comments:
Post a Comment