Wednesday, October 13, 2010

Serap Guru Sandaran Ke Jawatan Tetap Dikaji

KEMENTERIAN Pelajaran sedang membuat kajian khusus mengenai Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) bagi membolehkan mereka diserapkan sebagai guru tetap, kata timbalan menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, kajian itu diharap akan dapat disiapkan dalam masa terdekat untuk menentukan mekanisme supaya guru terbabit berpeluang menjadi guru tetap.

“Jumlah mereka (GSTT) ramai dan mereka ini berminat menjadi guru tetap,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong).

Ketika menjawab soalan asal Ahli Parlimen sama, Mohd Puad berkata, pelantikan GSTT bertujuan menampung keperluan kekosongan jawatan dan kekurangan guru pada satu-satu masa.

Katanya, perkhidmatan GSTT akan ditamatkan setelah kementerian membekalkan guru terlatih ke sekolah yang berkenaan.

Beliau berkata, GSTT yang mempunyai kelayakan dan memenuhi syarat untuk mengikuti latihan perguruan dialu-alukan memohon mengikut bidang perguruan kerana mereka mempunyai pengalaman serta kelebihan menjadi guru berbanding calon bukan daripada kalangan GSTT.

“Antara syarat berkenaan ialah lulus temuduga, Ujian Inventori Sahsiah Keguruan (INSK) dan tapisan yang ditetapkan kementerian. Dasar pengambilan guru pelatih oleh kementerian antaranya adalah berdasarkan data keperluan guru setiap tahun yang dikeluarkan Jawatankuasa Unjuran Keperluan Guru kementerian.
“GSTT yang berjaya mengikuti kursus secara sepenuh masa atau Kursus Dalam Cuti (KDC) akan ditempatkan di sekolah rendah atau menengah kementerian,” katanya.

Petikan: Berita Harian Online

No comments:

Post a Comment